https://critoxium.com/shop/

Terkini

Ahmad Maslan mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Pontian, Datuk Seri Ahmad Maslan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas dua pertuduhan pengubahan wang haram berjumlah RM2 juta yang diterima daripada bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak menerusi sekeping cek.

Mengikut pertuduhan pertama, Ahmad Maslan didakwa atas kesalahan tidak mengisytiharkan pendapatan yang diterima beliau daripada Najib berjumlah RM2 juta menerusi sekeping cek AmIslamic Bank Berhad pada 27 November 2013.

Sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM5 juta atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali.

Manakala dalam pertuduhan kedua, beliau didapati mengeluarkan keterangan palsu terhadap Pegawai Penyiasat SPRM berhubung cek tunai berjumlah RM2 juta pada 4 Julai 2019 di Bilik Sidang Media, Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur.

Sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM3 juta atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya sekali.

Timbalan Pendakwa Raya, Norzilati Izhani Zainal @Zainol memohon agar mahkamah mengenakan wang jaminan sebanyak RM1 juta atas alasan pertuduhan yang agak serius.

Mahkamah kemudian memerintahkan Ahmad Maslan membayar wang jaminan sebanyak RM500,000 berserta seorang penjamin selain passport antarabangsa diserahkan kepada mahkamah.

Hakim, Azman Ahmad menetapkan tarikh 21 Februari sebagai sebutan semula kes.

Ahmad Maslan diwakili peguam Hamidi Mohd Noh.


Ahmad Maslan ditahan pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) semalam pada jam 10.10 pagi selepas hadir melengkapkan proses keterangan sebelum dibebaskan dengan jaminan SPRM.

Terdahulu, beliau tiba di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur pada jam 8.03 pagi bersama beberapa individu.

Turut hadir memberi sokongan merupakan beberapa pimpinan UMNO, antaranya Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, Datuk Seri Asyraf Wajdi, Tan Sri Annuar Musa dan Datuk Seri Noh Omar.

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.