https://critoxium.com/shop/

Terkini

Jawi: Kepelbagaian suara dalam masyarakat Cina

Oleh LIM HONG SIANG

Agak terkejut juga apabila perkongsian saya tentang kalendar tahun 2020 terbitan Tan Kah Kee Foundation mendapat sambutan yang memberangsangkan. Hakikatnya, saya cuma mahu memaklumkan bahawa tatkala masyarakat Cina kelihatan seolah-olah diselubungi sentimen “anti-Jawi”, satu pertubuhan Cina, Tan Kah Kee Foundation telah memilih tulisan Jawi (khat), kaligrafi Cina dan Tamil untuk dijadikan rekaan kalendarnya.

Tujuannya agar masyarakat Melayu tidak pukul rata, dengan tanggapan atau persepsi bahawa hanya ada satu suara dalam masyarakat Cina. Seringkali kita mengandaikan kepelbagaian itu hanya wujud antara kaum, agama, bahasa, budaya yang berbeza, tanpa kita halusi bahawa perbezaan itu juga wujud dalam komuniti agama, kaum, bahasa dan budaya yang sama.

Saya tidak menafikan bahawa sememangnya suara arus perdana masyarakat Cina kurang mesra dengan dasar “pengenalan tulisan Jawi di sekolah jenis kebangsaan”, tetapi setahu saya, ada juga kumpulan yang bersikap terbuka dalam isu ini. Malah, dalam kumpulan yang menolak dasar ini, bertitik tolak dari faktor yang berbeza, dan tidak semestinya kerana sentimen atau “takut dengan Islamisasi” semata-mata.

Ada yang khuatir murid sekolah terbeban untuk menguasai satu lagi tulisan baru, dan jikalau keresahan ini disanggah dengan “ia sekadar pengenalan” – ada pula yang akan membalas, “Jadi untuk apa? Pengenalan dengan tiga muka surat ini bukannya boleh memahirkan seseorang murid untuk menguasai tulisan ini?”



Kelas tulisan Jawi bersama Cikgu Ishak Surin anjuran Memorial Lim Lian Geok.
Apapun, sesuatu yang menarik berlaku lantaran pertikaian yang tercetus. Satu pertubuhan Cina, Memorial Lim Lian Geok, telah mengadakan kelas penulisan kaligrafi Tamil dan Jawi pada hujung Oktober dan awal November 2019, tatkala pertikaian ini masih hangat diperdebatkan.

Cikgu Ishak Surin diundang sebagai guru untuk mengajar tulisan Jawi, dan Dr Velu Perumal pula diundang untuk mengajar tulisan bahasa Tamil – kepada peserta keturunan Cina yang berminat untuk belajar.

Untuk makluman pembaca, (mendiang) Lim Lian Geok adalah pejuang pendidikan bahasa Cina yang terkenal di tanahair, sehingga dinobatkan sebagai “jiwa budaya Cina Malaysia”. Sejarah pelucutan kewarganegaraan Lim Lian Geok mungkin memberi persepsi dalam kalangan masyarakat Melayu bahawa mendiang Lim seorang chauvinis yang tidak taat setia kepada Malaysia.

Ironinya, mendiang Lim pernah menyeru agar komuniti Cina di tanahair ini mengalih kesetiaan mereka dari tanah besar China kepada Malaya (Malaysia) pada zamannya. Memorial ini dibina sempena nama mendiang untuk memperingati semangat perjuangannya. Jikalau diteliti, tidak kurang juga aktiviti anjurannya terbuka untuk disertai komuniti selain masyarakat Cina berbahasa Mandarin.

Saya cuba memahami mesej yang tersirat di sebalik dua reaksi masyarakat Cina yang berbeza ini, untuk kita kaji secara terperinci jalur pandangan mereka. Pengamatan saya begini. Pertama, sama ada kelas pembelajaran tulisan Jawi, mahupun kalendar dengan tulisan Jawi, ia tidak bersifat “paksaan”.

Anda bebas untuk hadir atau tidak kelas tersebut, dan anda boleh memilih untuk memiliki kalendar itu atau tidak. Dalam hubungan ini, tiada “pihak yang berkuasa” dan “pihak yang dikuasai”.

Kedua, ia ditampilkan bersama tulisan kaligrafi lain. Dengan kata lain, jawi bukan satu-satunya tulisan yang mendominasi. Mereka bersikap terbuka untuk mengenali tulisan lain dalam suasana saling menghayati, tetapi kurang selesa seandainya salah satu menjadi dominasi, dianggap lebih unggul dan kemudian dipaksakan kepada yang lain. Mungkin inilah yang dikatakan sebagai “hegemoni” dalam tafsiran mereka.

Memahami psikologi ini membantu kita untuk meredakan situasi, dan barangkali menerokai jalan keluar. Ini kerana seandainya kita membaca reaksi masyarakat Cina sebagai “semuanya menolak”, dengan andaian “mereka menolak kerana tidak menghormati bahasa Melayu”, lantas dibalas dengan reaksi “kami paksa mereka belajar dengan kuasa yang ada dalam tangan”, malah “kita hapuskan sekolah jenis kebangsaan mereka” – sudah tentu ia boleh merobek hubungan masyarakat dan mengeruhkan lagi keadaan.

Masalah sekarang adalah tiada kepercayaan antara kita, ditambah pula dengan kejahilan, prejudis, keangkuhan masing-masing, dan kemudiannya digaul dengan sentimen ketidakpuasan dan kemarahan. Cabaran kita adalah untuk membina jambatan antara komuniti, mencelikkan yang jahil, menghakis prejudis, dan meletakkan ego diri ke tepi. Dalam proses ini, semua pihak perlu berusaha, apatah lagi mereka yang memegang tampuk kuasa.

Kerana berbeza, kita menjadi majmuk. Kerana kemajmukan, Malaysia menjadi indah.

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.