https://critoxium.com/shop/

Terkini

Malaysia bukan negara sekular

Oleh Prof Madya Dr Mohamed Azam Mohamed Adil

PERDEBATAN sama ada Malaysia negara sekular timbul sekali lagi dalam forum anjuran G25 baru-baru ini. Dalam laporan berjudul Administration of Matters Pertaining to Islam, ia menganggap Malaysia negara sekular kerana laporan Kertas Putih Suruhanjaya Reid bermaksud sedemikian.

Laporan G25 menyatakan peruntukan Islam sebagai agama Persekutuan seperti termaktub dalam Perkara 3(1) Perlembagaan Persekutuan hanya bersifat rasmi dan tidak lebih daripada itu.
Namun, meneliti semua peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan, tidak terdapat langsung perkataan sekular. Bahkan Islam satu-satunya agama disebut dalam Perlembagaan itu. Berbeza negara seperti Turki dan India yang secara jelas menyebut perkataan sekular dalam Perlembagaannya.

Dari sudut sejarah, Tanah Melayu dianggap ahli sejarah sebagai negara Islam melihat kepada undang-undang dilaksanakan ketika itu. Sebelum kedatangan penjajah Belanda dan British, undang-undang terpakai meliputi undang-undang Islam dan adat.

Hukum Kanun Melaka sebagai undang-undang pokok mempengaruhi undang-undang di negeri lain, banyak mengandungi peraturan dan hukuman berlandaskan agama Islam dan adat Melayu.

Kedatangan Belanda di Melaka dan seterusnya menjajahi seluruh Tanah Melayu tidak sedikit pun memberi kesan kepada aspek undang-undang terpakai ketika itu.

1. Hanya dengan kedatangan British, undang-undang Islam sedikit demi sedikit diketepikan dan diganti undang-undang Inggeris. Apabila Tanah Melayu mencapai kemerdekaan, tiada satu perisytiharan dibuat mengatakan negara ini ialah negara Islam. Perisytiharan Malaysia sebagai negara Islam hanya dibuat 44 tahun kemudian oleh Perdana Menteri Malaysia Keempat, Tun Dr Mahathir Mohamad pada 29 September 2001.

Asalnya, peruntukan Islam sebagai agama negara tidak terdapat dalam draf awal Perlembagaan. Hanya Hakim Abdul Hamid dari Pakistan membangkitkan persoalan itu dalam lampiran laporan suruhanjaya. Selepas itu, Parti Perikatan mencadangkan satu peruntukan mengenai agama Islam sebagai agama Persekutuan dimasukkan dalam perlembagaan tanpa sedikit pun menyisihkan hak bukan Islam dalam menganut, mengamal dan menyebar agama mereka.

Awalnya, Raja-Raja Melayu menentang kemasukan peruntukan ini bimbang kuasa baginda berkurangan kerana perkara mengenai agama Islam terletak di bawah kuasa Raja-Raja Melayu.
Akhirnya setelah diyakinkan, Raja-Raja Melayu bersetuju dengan syarat kuasa baginda dalam hal ehwal Islam tidak tergugat.

Memang benar Suruhanjaya Reid ada menyatakan peruntukan ini tidak sama sekali mengetepikan status Malaysia sebagai negara sekular tetapi ia sama sekali tidak wujud dalam draf akhir Perlembagaan itu sendiri.

Justeru, mana mungkin negara ini dilahirkan dan dibangunkan secara sekular? Pada pengamatan penulis, hujah menyatakan Malaysia negara sekular, kurang tepat. Terdapat banyak peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan memberi keistimewaan kepada agama Islam.

Perkara 3(1) meletakkan Islam sebagai agama Persekutuan dan Perkara 12(2) membenarkan kerajaan membelanjakan duit negara bagi pembangunan agama Islam, menunjukkan Malaysia bukan negara sekular.

Almarhum Tunku Abdul Rahman, Perdana Menteri pertama menjelaskan dalam sesi Parlimen bahawa negara ini ialah negara sekular dan peruntukan Islam dalam Perlembagaan Persekutuan hanyalah untuk tujuan rasmi negara. Namun, penjelasan itu tidak menjejaskan kedudukan sebenar Perlembagaan Persekutuan yang sama sekali tidak menyebut perkataan sekular. Malah, peruntukan itu lebih memihak bagi mereka mengatakan Malaysia negara Islam.

Mungkin ada sesetengah peguam dan pengamal undang-undang mengatakan kes Che Omar Che Soh lwn Pendakwa Raya [1988] 2 MLJ 55 mengiyakan Malaysia bukan negara Islam dan mengesahkan negara ini adalah negara sekular.

Ketua Hakim Negara, Tun Salleh Abbas (ketika itu) berpendapat agama Islam bukan hanya semata-mata peribadatan khusus, tetapi meliputi satu cara hidup merangkumi pelbagai aktiviti kehidupan sama ada individu mahupun kemasyarakatan seperti undang-undang, politik, ekonomi, sosial, kebudayaan, moral dan kehakiman.

Namun, peruntukan Perkara 3(1) hanyalah bersifat peribadatan dan upacara rasmi sahaja. Menurut Dr Aziz Bari, keputusan kes ini sebenarnya tidak mencerminkan kedudukan sebenar Islam seperti yang dibuat dalam Laporan Suruhanjaya Reid (Kertas Putih).

Keputusan Che Omar tidak boleh sama sekali mempertikaikan perihal kesahihan undang-undang. Ia hanya mengehadkan amalan agama Islam seperti termaktub. Keputusan kes ini tidak sama sekali merendahkan kedudukan agama Islam itu sendiri.

Perayu mempertikaikan sama ada undang-undang wujud dalam negara ini, dalam hal ini, hukuman gantung mandatori bagi kesalahan mengedar dadah adalah bercanggah dengan Perkara 3(1) Perlembagaan Persekutuan. Justeru, undang-undang Islam tidak menghukum orang mengedar dadah dengan hukuman mati.

Kedudukan Islam yang begitu tinggi juga disebut dalam kes Meor Atiqulrahman dll lwn Fatimah Bte Sihi dll [2000] 5 MLJ 375. Hakim Datuk Mohd Noor Abdullah dalam memutuskan kes pemakaian serban oleh tiga murid sekolah mengatakan menurut Perkara 3(1) Perlembagaan Persekutuan, agama Islam ialah ad-deen dan satu cara hidup, bukan khusus untuk upacara rasmi sahaja. Beliau berkata, Islam ialah agama utama, mengatasi agama lain di negara ini, sekali gus status Islam tidak boleh disamakan dengan agama lain.

Prof Emeritus Dr Shad Saleem Faruqi berpendapat dalam sesebuah negara sekular, peruntukan agama rasmi bagi negara lazimnya tidak dimasukkan dalam Perlembagaan negara dan tiada peruntukan serta bantuan diberi bagi aktiviti agama. Namun, perkataan ‘agama’ diulang tidak kurang 20 kali dalam Perlembagaan Persekutuan. Jadi, bagaimana boleh dikatakan Malaysia sebuah negara sekular?

Prof Ahmad Ibrahim juga tidak dapat menerima pandangan mengatakan negara ini sekular.
Menurutnya, perkataan ‘agama’ dalam Perkara 3(1), Perlembagaan Persekutuan seharusnya tidak disempitkan untuk upacara rasmi keagamaan sahaja, tetapi seharusnya meliputi undang-undang utama negara.

Hujah lain ialah lafaz sumpah Yang di-Pertuan Agong setiap kali pertabalan diperuntukkan dalam Perkara 37 diperincikan dalam Jadual Keempat Perlembagaan Persekutuan. Antara lain adalah untuk memelihara setiap masa agama Islam dan berdiri tetap di atas pemerintahan adil serta aman di dalam negeri. Ini mencerminkan Islam diberi tempat tinggi dan tugas dan amanah Yang di-Pertuan Agong adalah untuk memelihara agama Islam.

Kesimpulannya, pandangan mengatakan negara ini sekular, kurang tepat. Perlembagaan Persekutuan sendiri tidak menyebut demikian. Walaupun tidak terdapat peruntukan dalam Perlembagaan itu yang mengatakan Malaysia negara Islam, ciri dan peruntukannya sendiri mengiktiraf negara ini mengagungkan Islam.

Mana mungkin negara sekular memberi keistimewaan luar biasa kepada Islam. Ini terbukti dengan adanya peruntukan dalam Perkara 3(1) yang memperuntukkan Islam ialah agama Persekutuan dan Perkara 12(2) yang memberi keizinan kerajaan membelanjakan duit negara untuk tujuan pembangunan agama Islam. Tambahan pula, Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Melayu diamanahkan untuk memelihara agama Islam di negara tercinta ini.

Penulis adalah Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif, Institut Kajian Tinggi Islam Antarabangsa (IAIS) Malaysia

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.