https://critoxium.com/shop/

Terkini

Zuraida yakin Lembaga Disiplin adil, tak dipengaruhi pimpinan PKR

AMPANG: Naib Presiden PKR, Zuraida Kamaruddin mempertahankan ucapannya di sebuah hotel pada awal bulan lalu dan yakin Lembaga Disiplin akan bertindak adil terhadapnya tanpa dipengaruhi kepimpinan parti, susulan surat tunjuk sebab yang diterimanya kelmarin.

“Saya diberikan tempoh 14 hari untuk jawab. Saya akan jawab isu dibangkitkan, cumanya saya tidak boleh sebutkan isunya ketika ini. Apa yang penting, segala ucapan saya adalah benar.

“Saya yakin dengan Lembaga Disiplin. Saya harap mereka lakukan kerja mereka tanpa dipengaruhi kepimpinan parti. Saya yakin mereka akan beri penilaian adil terhadap saya,” katanya yang juga ahli Parlimen Ampang sewaktu ditemui di Pasar Pekan Ampang hari ini.

PKR mengeluarkan surat tunjuk sebab kepada Zuraida kelmarin dan memberi 14 hari kepadanya untuk membuat penjelasan yang dipercayai berhubung ucapannya pada awal bulan lalu.
Setiausaha Agung PKR, Saifuddin Nasution Ismail dilaporkan berkata, Lembaga Disiplin akan membuat keputusan selepas mendengar penjelasan menteri perumahan dan kerajaan tempatan itu.

Zuraida didakwa menghina ahli parti dan mendedahkan butiran perbualannya dengan Presiden PKR, Anwar Ibrahim, ketika berucap dalam satu majlis makan malam pada 8 Dis lalu.

Beliau mendakwa Anwar cuba meyakinkannya salah seorang lelaki dalam video seks sejenis yang tersebar Jun tahun lalu ialah Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali.

Ketua Wanita Pakatan Harapan itu turut mendakwa penilaian Anwar dilihat terjejas akibat pengaruh “budak pampers” dan “gengster” dalam parti yang merujuk Pengarah Komunikasi PKR, Fahmi Fadzil serta Ketua PKR Perak, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak.

Ditanya tindakan 9 ketua negeri mendesak PKR memecatnya, Zuraida berkata: “Tidak mengapa, itu bukan standard saya.”

Semalam, 9 ketua PKR negeri mendesak Lembaga Disiplin memecat Zuraida atas dakwaan menghina parti dan tidak menghadiri semua 13 mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat (MPP) tahun lalu.

Ketua PKR Kedah, Johari Abdul Ghani mendakwa kehadiran dan kedudukan Zuraida dalam parti hanya mengeruhkan keadaan serta memberi imej negatif kepada PKR.

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.