https://critoxium.com/shop/

Terkini

Umno sedia ubah keputusan pecat, terima semula Muhyiddin, kata Tok Mat

PETALING JAYA: Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan memberitahu hari ini bahawa parti itu bersedia menerima semula Muhyiddin Yassin sekiranya perdana menteri itu berminat untuk berbuat demikian.

Mohamad berkata, Umno juga boleh mengubah keputusan pemecatan terhadap Muhyiddin yang dibuat pada 2016.

Bahkan katanya, Muhyiddin juga tidak pernah meninggalkan Umno.

“Beliau bukan meninggalkan parti, beliau dipecat. Kalau beliau ada hasrat untuk kembali kepada parti, parti boleh menerima dan kita boleh ubah keputusan memecatnya.
“Kami mengalu-alukan jika perdana menteri ada hasrat nak kembali pada Umno, lebih baik begitu,” katanya dalam satu wawancara bersama portal berita, Malaysia Post hari ini.

Mohamad berkata, urusan pentadbiran Muhyiddin di Dewan Rakyat juga akan menjadi mudah memandangkan beliau akan disokong oleh ahli Parlimen Umno, selain urusan pembahagian kerusi sewaktu pilihan raya juga akan menjadi lebih senang.

“Beliau akan jadi perdana menteri yang didukung parti besar dan mempunyai ahli Parlimen yang agak banyak, lebih mudah dan orang kata lebih senang.

“Untuk hadapi pilihan raya juga tidak jadi masalah, pembahagian kerusi pun senang kerana semua dalam Umno,” katanya.

Muhyiddin sebelum ini dipecat dari Umno pada 24 Jun 2016. Keputusan pemecatan itu berpunca daripada tindakannya mempersoalkan isu 1MDB yang dikaitkan dengan bekas presiden Umno dan perdana menteri, Najib Razak.

Muhyiddin kini merupakan presiden PPBM.

Pada masa sama, Mohamad berkata, beliau tidak mempunyai masalah untuk Umno mencalonkan Muhyiddin sebagai perdana menteri sekiranya memenangi pilihan raya umum ke-15.

Beliau juga tidak menafikan prestasi Muhyiddin sebagai perdana menteri dan penerimaan beliau dalam kalangan rakyat pada ketika ini amat tinggi.

“Mengapa tidak kita ambil peluang untuk bawa beliau sebagai calon perdana menteri untuk Muafakat Nasional (MN) atau Perikatan Nasional. Tak ada isu. Paling penting kita dapat kemenangan selesa,” katanya.

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.