Apabila UMNO atau Barisan Nasional (BN) memboikot PRK itu, pemerhati politik meramalkan Anwar akan menang mudah. Bagaimanapun apabila Pas menawarkan diri bersama bekas Menteri Besar Negeri Sembilan, Tan Sri Isa Samad (TSI), maka pertandingan menjadi lebih menarik. Kenapa TSI sanggup meninggalkan UMNO untuk bertanding? Bekas pembantu peribadi Anwar, iaitu Mohd Saiful Bukhari Azlan turut bertanding sebagai calon Bebas. Apakah motif sebenar beliau? Sekadar menyelak kisah lama untuk diingati para pengundi? 

Jika diselak kembali sejarah PRK, pertandingan tujuh penjuru itu mengulangi pertembungan PRK di Ampang Jaya pada Januari 1989. Pertandingan melibatkan calon kerajaan (BN), bekas Menteri Besar (MB) Selangor dan lima calon Bebas lain. Ketika itu, BN menurunkan muka baharu dari MCA, Ong Tee Keat. Bekas MB, Harun Idris pula mewakili Semangat 46 (S46) tetapi terpaksa menggunakan simbol payung. 

Di PD, fokus sudah pasti kepada calon PH, Pas yang menurunkan Lt. Kol (B) Mohd Nazari Mokhtar dan Isa. Sebagai calon kerajaan dan mantan timbalan perdana menteri, sudah tentu Anwar mempunyai kelebihan. Disokong jentera pilihan raya diketuai Menteri Besar Negeri Sembilan, Aminuddin Harun dan isterinya yang juga Timbalan Perdana Menteri, Dr. Wan Azizah Wan Ismail, sudah tentu peluang lebih besar menjadi milik bekas Ahli Parlimen Permatang Pauh itu. Di atas kertas, beliau sudah menang, cuma mahukan kemenangan bergaya dengan majoriti yang lebih besar. Pengundi-pengundi PD sudah tentu mahukan Negeri Sembilan mencatat rekod untuk mendapat seorang Perdana Menteri. 

Walaupun Anwar mempunyai pelbagai kelebihan termasuk tanpa kehadiran BN, Ketua Umum PKR itu tidak memandang mudah atau meremehkan kempen. Anwar mempunyai jadual yang ketat untuk menemui seramai mungkin pengundi yang terdiri daripada pelbagai kaum terutama Melayu, Cina dan India. Mengikuti kempennya baru-baru ini, program bermula seawal sarapan pagi bersama penduduk, diikuti ramah mesra seperti dialog atau ceramah sehingga ke tengah malam seperti tazkirah atau ceramah. Ada ketikanya beliau terlewat menghadiri majlis, mungkin ‘terikat’ pada program sebelumnya. Contohnya pada hari Jumaat lalu, beliau pada mulanya dijadual memberi tazkirah di Masjid Pusasda (Depot RAMD) dalam kawasan DUN Bagan Pinang tetapi terlewat sehingga menjelang azan. Pada sebelah malam, sejurus selesai tazkirah Maal Hijrah di Surau Jamaliah, Taman Intan Duyung juga dalam DUN yang sama, beliau bergegas meninggalkan majlis untuk menghadiri beberapa program lain.

Sebagai wakil kerajaan, Anwar juga mempunyai kelebihan untuk menjanjikan pelbagai projek termasuk dalam industri pelancongan. Hasratnya mahu membina hotel lima bintang. Bagaimanapun, siapa pun yang menang, jangan dilupakan kedudukan hotel atau apartmen yang sama ada terbiar tidak beroperasi atau terbengkalai sehingga ‘merosakkan’ suasana. Banyak ‘bangunan’ dalam keadaan terbiar.

Sementara itu, gerak kerja kempen yang sama turut dilakukan secara aktif oleh Pas dan calon Bebas lain termasuk personaliti media sosial Stevie Chan Keng Leong, pakar perunding pengurusan Kan Chee Yuen dan bekas pensyarah universiti swasta Lau Seck Yan. Mereka turun padang menemui pengundi di lokasi-lokasi pilihan.

Saingan Anwar bagaimanapun lebih kepada calon Pas dan Isa. Pada PRU lalu, calon PKR (PH), Danyal Balagopal Abdullah menang dengan memperoleh 36,225 undi manakala calon BN, V.S Mogan 18,515 dan calon Pas, Mahfuz Roslan memperoleh 6,594 undi. Mampukah Pas mengekalkan jumlah itu serta ‘memancing’ 18,515 undi BN? Siapa pilihan penyokong BN? Apakah mereka beralih kepada PH, Pas atau Isa? 

Mungkinkah penyokong BN akan turut memboikot menyebabkan peratusan keluar mengundi merosot? Sebarang kemungkinan boleh berlaku. Menyelak sejarah PRK atau PRU lalu, amat sukar dan sedikit sahaja calon Bebas memenanginya walaupun mereka adalah nama besar bagi kawasan pilihan raya berkenaan. Presiden penaja Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra), Ibrahim Ali mengakui situasi ini. Beliau mengambil contoh dirinya yang bertanding di kerusi Parlimen Pasir Mas yang dianggap kubu kuatnya. Bertanding setiap PRU sejak 1986 sehinggalah PRU lalu, beliau menang ketika mewakili BN (1986), S46 (1990) dan Pas (2008). 

Beliau juga tewas ketika mewakili BN pada 1995 dan 1999. Ketika bertanding atas tiket Bebas, beliau tewas pada 2004, 2013 dan 2018. Ada juga nama besar yang menang walaupun sebagai calon Bebas. Contohnya di Parlimen Johor Bahru apabila Shahrir Samad yang memenangi kerusi itu pada 1986 atas tiket BN mengosongkan kerusi berkenaan selepas pengharaman UMNO. Beliau mewakili Johor Bahru sejak 1978 dan ketika PRK yang berlangsung pada tahun 1988, beliau menang atas tiket Bebas yang menggunakan lambang kunci. 

Adakah TSI mampu mencipta rekod seperti Shahrir? Isa pernah memenangi PRK di DUN Bagan Pinang dalam kawasan PD pada Oktober 2009. Bekas Ketua UMNO Bahagian Telok Kemang (kini PD) pernah menjadi Ahli Parlimen Jempol. Kini, beliau menggunakan simbol kerusi. Adakah pengundi PD akan menghargai sumbangan Isa? Semuanya bergantung kepada 75,770 pengundi berdaftar. Mereka berhak memilih DSAI atau TSI. Begitu juga peluang Pas dan calon Bebas lain. Mungkinkah ada kejutan calon-calon lain menjelang Sabtu ini?