https://critoxium.com/shop/

Terkini

Fahami hukum jual beli naskhah al-Quran, air zamzam


Oleh Saadiah Ismail

PERNIAGAAN atau muamalat menjadi cabang penting dalam fiqh Islam hingga mempunyai syariat menetapkan prinsip umum yang perlu dipatuhi umat Islam.

Pada masa sama, sesuatu urus niaga bukan hanya perlu dilihat dalam konteks fiqh berasaskan hukum lima, iaitu wajib, sunat, harus, makruh dan haram, bahkan mempunyai adab untuk memastikan pelaksanaannya diberkati Allah SWT.

Apatah lagi sekiranya ia membabitkan sesuatu yang mempunyai kedudukan dalam agama atau memiliki hubungan kerohanian seperti naskhah al-Quran atau air zamzam.

Abu Said RA meriwayatkan Nabi SAW bersabda: Peniaga yang jujur dan amanah akan bersama nabi, orang jujur dan orang syahid. (HR Tirmizi)

Ia menunjukkan perniagaan bukan sahaja bidang untuk membuat keuntungan dunia, bahkan menjadi jambatan untuk memperoleh laba berganda di akhirat.

Bagaimanapun, jual beli sesuatu barangan yang mempunyai kedudukan dalam Islam itu, menimbulkan tanda tanya dalam kalangan orang awam kerana seolah-olah wujud hukum berbeza berbanding produk lain di pasaran.

Daripada sudut lain, ia memberi kesan positif demi menjaga kehormatan dan nilai barangan berkenaan tetapi tidak boleh sampai boleh disalahertikan hingga mengundang masalah.

Pensyarah Kanan, Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr Mohammad Nidzam Abdul Kadir, berkata menjalankan urusan berjual beli barangan yang mempunyai kedudukan dalam Islam tidak dihalang atau dilarang dalam agama, sebaliknya dapat memberi manfaat kepada pembeli.

Beliau berkata, sesuatu yang memberi manfaat wajar disebarkan, tetapi memandangkan ia berkaitan dengan agama, ia dilihat sebagai sensitif demi memelihara kesuciannya.

“Contohnya naskhah al-Quran sebagai kitab suci umat Islam, masih boleh dijual beli demi manfaat kepada

pembelinya tetapi perlu disertakan adab yang sebaiknya.

“Walaupun tidak mempunyai sebarang halangan diniagakan, bagi memastikan kesuciannya terpelihara, naskhah al-Quran tidak boleh dijual kepada orang kafir kerana dikhuatiri mereka tidak menghormatinya.

“Kedudukan agama terpelihara dan tidak membabitkan sebarang elemen luar daripada Islam. Selain itu, penjual juga perlu peka dengan perkara itu agar tidak bertentangan dengan Islam,” katanya

Daripada sudut pembeli, Mohammad Nidzam berkata, mereka perlu memiliki adab sebaik memiliki barangan berkenaan dengan menjaga kehormatan, bertanggungjawab dan memelihara barangan suci berkenaan daripada diperlekehkan.

Beliau menjelaskan masyarakat Islam juga perlu memahami dan tidak menyalahertikan sesuatu penjualan barangan berkaitan Islam hingga mewujudkan perbalahan sesama sendiri.

Katanya, isu berkaitan penjualan air zamzam umpamanya, biarpun dikaitkan dengan kedudukan dalam Islam, tiada sebarang dalil atau syarak bahawa ia haram dijual.

“Diakui air zamzam memang memiliki fadilatnya dan kita boleh mendapatkannya secara percuma saja di Arab Saudi tetapi tidak semua orang berkemampuan untuk ke sana dan mendapatkannya.
“Jadi secara logiknya, urusan jual beli air zamzam tiada sebarang halangan, tetapi ketetapan pihak berkuasa untuk memastikan air zamzam tidak dieksploitasi haruslah dipatuhi.

“Hal ini untuk mengelakkan sebarang penipuan berlaku, namun dari hukum untuk menjual beli air zamzam ini tidaklah haram sekali pun ia memiliki kedudukan baik dalam agama.

Beliau menasihatkan masyarakat jangan tersalah anggap mengenai penjualan barangan yang memiliki kedudukan dalam agama, sebaliknya memelihara adab dan tatacara selepas memilikinya.

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.