Terkini

Mengapa rakyat cari ‘New Avengers’ selamatkan mereka?

Oleh AMNI JAGAT

Masih berkesempatan untuk menulis berkenaan dengan kehadiran tahun baharu 2020. Tumpuan akan diberikan kepada negeri yang terselatan semenanjung Malaysia. Sememangnya cabaran 20 bulan usia pemerintahan sesebuah kerajaan baharu pasti akan dipesonakan dengan agenda yang dibawa.

Johor yang telah menerima perkhabaran duka pada penutupan hujung tahun lalu dengan berita kekalahan teruk dalam PRK Tanjung Piai, pastinya perkara itu menjadi suatu mimpi ngeri untuk PH Johor bangkit memperbetulkan keadaan.

Teguran demi teguran dengan pelbagai krisis seperti pertukaran Menteri Besar, penguguran Exco, pencemaran alam sekitar, banjir dan isu air mentah yang terputus. Inilah cabaran yang sedang dipikul oleh pemerintahan di negeri ini yang bakal membuka ruang cabaran yang baharu pada tahun yang diwawasankan selama ini.

Negeri yang penuh dengan hasil bumi yang baik ini, baik dari utara, timur, barat mahupun selatan akan diuji dengan susunan program seperti Sukma 2020 dan Tahun Melawat Johor. Perkara itu akan menjadi ukuran graf tahap kemampuan sesebuah kerajaan untuk menunjukkan prestasi yang puncak.

Bertemu dengan seorang individu yang dikenali sebagai Pak Hassan atau nama betulnya Hassan Abdullah, telah menggambarkan bagaimana kekhuatiran beliau melihat angin helaan suara-suara masyarakat yang mahukan perubahan dari sisi pentadbiran dilaksanakan.

Beliau yang merupakan seorang tokoh tempatan di suatu daerah di Johor telah mencadangkan pelbagai pandangan baik di sisi anak muda hinggalah ke peringkat usia tua. Pandangan berkenaan dengan sosial anak muda yang mulai terdesak dalam himpitan hidup dan pelbagai kerosakkan yang berpunca dari peluang tertutup untuk mereka rebutkan adalah salah satu punca besar kekalutan ini.

Minda anak muda yang berumur 45 tahun ke bawah dilihat mulai celaru dalam menilai perkara berkenaan kebaikan dan keburukan. Tiada sempadan yang membataskan diri mereka sehingga ada yang menolak secara terang dan sembunyi berkenaan hukum hakam agama.

Kecelaruan itu membuatkan golongan tersebut secara tidak sengaja terjerumus dalam unsur atau anasir kejam yang memecah belahkan mereka seperti isu perkauman. Pak Hassan juga bermohon agar kerajaan mengadakan dialog dengan pemikir atau wakil-wakil golongan tersebut agar mendengar sendiri luahan mereka sekaligus berusaha untuk membentuk mereka.

Diakui, tugas kerajaan adalah melindungi rakyat di bawahnya supaya mereka akan sentiasa teguh disokong oleh golongan bawahan yang memilih mereka. Masjid Ar-Rahman Ayer Hitam menjadi saksi pertemuan antara saya dan Pak Hassan yang jauh menenggelamkan diri dalam permasalahan masyarakat yang berlaku.

Sambil beliau menghirup kopi panas, helaan seterusnya berkenaan dengan agenda ‘troll’ media yang mudah diterima oleh masyarakat umum di negeri. Antara contohnya adalah seperti isu Sungai Kim Kim dan pencemaran alam yang lain.

Difahami bahawa sikap ‘troll’ ini akan menaikkan golongan kurang pakar dan membunuh suara-suara pakar dalam sesuatu bidang. ‘Troll’ mampu mencapai atau meragut kepercayaan seseorang dengan penyebaran maklumat tersebut.

Puncanya seperti kata orang tua yang berusia 70an itu – Pak Hassan – adlaah disebabkan rakyat mulai merasakan mereka tidak dipelihara dengan baik oleh pemerintah maka apa yang dibuat adalah langkah mengambil tindakan sendiri untuk melindungi diri mereka.

Secara jujurnya, tindakan kerajaan hari ini masih lagi lemah dan kita harus akui dalam usia pramatang memerintah ini, mereka seharusnya banyak mendengar serta berusaha untuk melunaskan apa yang dikhendaki oleh rakyat tanpa takut atau terikat dengan mana-mana kuasa. Ini cabaran yang perlu kerajaan usahakan pada peringkat seawal ini.

Hakikatnya, tiba sahaja tahun baharu seluruh rakyat di negeri ini dikejutkan dengan berita kenaikkan cukai tanah yang membuatkan sekali lagi rakyat di negeri bersifat Takzim (hormat, sembah dan amat hormat) melihat kerajaan seperti tidak mengamalkan nama jolokan negeri itu terhadpa diri mereka.

Kesusahan rakyat untuk mencari peluang pendapatan antara yang kerap dibisikkan oleh mereka di kedai-kedai kopi, pejabat awam dan pasaraya atau gedung membeli belah di negeri ini. Secara sengaja pastinya mereka akan menafikan segala jawapan dari kerajaan dan bagi mereka itu hanya alasan untuk menghalalkan matlamat kerajaan.

Di sini wujud ruang untuk pasukan atau jentera yang sebelum ini tewas dan kembali belajar untuk menonjolkan diri mereka sebagai ‘new avengers’ bagi rakyat. Justeru ruang itu dipenuhi dan penampilan ‘new avengers’ ini berjaya menarik minat golongan rakyat yang memerlukan perlindungan.

Sebelum ini terdapat pemimpin mereka yang dibuang oleh rakyat disebabkan korupsi namun perkara itu terkambus dengan agenda baru menjadi penyelamat kepada rakyat. Teori ‘dalam lemas’ paling sesuai dengan keadaan ini.

Siapa yang melemaskan rakyat, sudah pastinya lautan tersebut dibina oleh kerajaan yang masih lagi bertatih belajar. Dalam pertemuan dengan seorang tauke cina, cadangan yang diberikan adalah dengan fokus kepada keharmonian yang menstabilkan ekonomi negara.

Ah Chin, yang berusia 56 tahun itu berpandangan bahawa peri pentingnya semangat perpaduan untuk fokus kepada tahap keselamatan yang diperlukan rakyat. Prejudis terhadap sesama sendiri, isu sensitif sesuatu kaum, semangat pilih bulu dan kepartian perlu dibunuh.

Selain itu, saranan pengundi parlimen Skudai ini menganggap kerajaan masih tidak berjaya untuk memberikan jaminan keharmonian kepada rakyat. Post mortem dan penyelidikan perlu menumpukan kehendak rakyat.

Susunan kata-kata dari pihak berkenaan bolehlah dirumuskan cabaran kerajaan Johor hari ini adalah menyakinkan terlebih dahulu rakyat di negeri. Pastinya selepas keyakinan itu sudah sebati, akan muncullah kehendak mereka untuk melihat sisi positif kerajaan PH.

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.