https://critoxium.com/shop/

Terkini

PH akan bertahan selepas selesaikan semua masalah - Tun M

LANGKAWI: Tun Dr Mahathir Mohamad yakin, Pakatan Harapan (PH) tidak akan menjadi kerajaan sepenggal, selepas menyelesaikan pelbagai masalah ditinggalkan pentadbiran negara yang terdahulu.

Perdana Menteri berkata, kerajaan ketika ini sedang bekerja keras memperbetul segala kerosakan dilakukan kerajaan terdahulu termasuk membayar kembali semua hutang yang ditinggalkan.

Katanya, keadaan bertambah sukar apabila ada individu cekap di dalam kerajaan, terpaksa dibuang kerana terbabit rasuah dan digantikan individu baharu yang kurang berpengalaman.

“Saya tidak fikir PH kerajaan akan jadi kerajaan sepenggal. Pertama kita hadapi banyak masalah ditinggal kerajaan terdahulu, tidak seperti ketika saya mula mentadbir pada 1981 kerana semuanya berkeadaan baik.

“Ketika itu semua keputusan kerajaan dilaksanakan, tetapi sekarang ini kita kena bersihkan kerajaan, kena cari wang untuk bayar hutang sehingga kita terpaksa berhentikan orang yang cekap kerana terbabit rasuah,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyaksikan Projek Demostrasi 5G Malaysia di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Langkawi di sini, hari ini.

Dr Mahathir menjelaskan PH juga berhadapan masalah menceritakan kebaikan yang sudah dibuat kerajaan sehingga orang ramai beranggapan pemimpin yang melakukan kesalahan adalah yang terbaik.

Jelasnya, beliau juga tidak faham bagaimana rakyat masih terpengaruh dengan pemimpin yang berhadapan perbicaraan kerana menipu dan mencuri duit sehingga menganggap individu ini sebagai baik.

“Jika pengundi mahu orang ini balik mereka boleh pilih pada PRU-15, tetapi selepas itu jangan berharap PH akan ambil dan betulkan semula.

“Jika pengundi berasa penyangak patut tadbir negara kerana beri banyak duit, sila teruskan kerana PH tidak akan berikan duit begitu sahaja,” katanya.

Mengulas mengenai laporan Reuters melaporkan kenyataannya sebagai mengatakan PH akan menjadi kerajaan sepenggal, Dr Mahathir yang juga Pengerusi PH, berkata pakatan itu tidak akan jadi kerajaan sepenggal.

"Saya tidak fikir kita akan jadi kerajaan sepenggal. Kita kalah dalam tiga empat Pilihan Raya Kecil, tetapi itu tidak bermakna kita akan kalah dalam Pilihan Raya Umum.

"Itu (PH kerajaan sepenggal) adalah pandangan Reuters dan saya ada pandangan sendiri," katanya.

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.