Zuhud bukan kerana agama
Oleh Wan Ji Wan Hussin
Heboh dalam media maya dan media cetak berkenaan Mercedes Benz dengan harga dikatakan sampai RM700,000 sebuah.
Heboh, apabila kereta mewah itu ada kaitan dengan negeri yang sebelum ini tersebar berita kononnya ada masalah kewangan sehingga tanpa bantuan kerajaan pusat, perjalanan pentadbiran negeri akan terbantut.
Heboh, apabila kereta mewah itu ada kaitan dengan satu berita bahawa kerajaan pusat baru sahaja menghulur bantuan kewangan kepada negeri tersebut.
Mereka mula mempersoalkan, kenapa negeri yang jauh lebih kaya dan punyai kemasukan kewangan negeri yang lebih tinggi seperti Selangor, MB dan exco kerajaan mereka menaiki kereta yang jauh lebih murah berbanding Mercedes Benz.
Semasa
pemerintahan Allahyarham Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat, isu
kenderaan mewah tidak kedengaran sangat. Pendekatan zuhud yang menjadi
amalan harian beliau memberi kesan pada persepsi politik Kelantan.
Antara dua MB
Kenapa ini berlaku? Pada saya, apabila wujud dua era pemerintahan, sudah pasti rakyat akan membuat perbandingan. Untuk saya, itu perkara biasa dan menjadi lumrah bagi kehidupan manusia.
Ini bukan sekadar pandang tilik rakyat dalam membandingkan antara era pemerintahan Nik Aziz dengan Ahmad Yakob, tetapi berlaku juga perbandingan antara era BN dan PH dalam pemerintahan di peringkat Pusat.
Walaupun ramai marah terhadap skandal 1MDB yang melibatkan Najib, tetapi dalam banyak polisi ekonomi, tidak sedikit rakyat yang lebih selesa dengan pendekatan ahli parlimen Pekan itu berbanding Mahathir.
Malah, tidak sedikit juga rakyat membandingkan antara pentadbiran Mahathir dalam PH yang seakan-akan gagal membawa keseimbangan kaum berbanding era pentadbiran Mahathir semasa menjadi perdana menteri keempat semasa dalam BN dulu.
Semenjak
isu Mercedes Benz dengan harga dikatakan berharga sampai RM700,000
sebuah dan melibatkan pemimpin PAS Kelantan, sudah ramai pengamal media
sosial membandingkan kepimpinan yang zuhud tanpa melihat apa anutan
agama pemimpin terbabit.
Terkenal tak bermewah-mewah
Semua ini diangkat kerana mereka mahu membandingkan pemerintahan khalifah Islam terdahulu dengan pentadbiran PAS di Kelantan yang sejak sekian lama melaungkan slogan "Islam".
Dengan sebab slogan Islam yang dilaungkan oleh pemimpin PAS juga, ada pihak yang mula membandingkan pemimpin PAS dengan beberapa pemimpin bukan beragama Islam yang terkenal kerana tidak bermewah-mewah.
Jika dari Malaysia, sudah ada yang membandingkan pemimpin PAS dengan Dr Michael Jeyakumar Devaraj yang pernah menjadi Ahli Parlimen Sungai Siput yang "istiqamah" dengan Volvo buruknya semasa berkhidmat di Dewan Rakyat dulu.
Ketika Mujica bersara daripada politik pada 2015, BBC menggelarkannya sebagai “presiden paling miskin di dunia”. Dan dikatakan juga bahawa semasa bergelar presiden, Mujica mendermakan 90 peratus daripada gajinya setiap bulan - berjumlah RM46,560 - untuk tujuan amal.
Perbandingan lain ialah antara pemimpin PAS dengan Mark Rutte yang merupakan Perdana Menteri Belanda yang sejak 2010 lagi hidup sederhana, dan masih tinggal di apartmen yang dibelinya setelah memperolehi sarjana muda sejarah dari Universiti Leiden pada 1992.
Dikatakan juga bahawa beliau hanya memiliki sebuah kereta terpakai Saab 93 yang dibelinya pada 1999, dan masih gemar mengayuh basikal dari kediamannya ke pejabat setiap hari.
Semua perbandingan ini keluar, tidak lain dan tidak bukan, kerana pemimpin PAS yang dahulunya melaungkan soal kezuhudan, kini kelihatan tidak lagi zuhud apabila menggunakan hujah agama untuk mengsakralkan kemewahan mereka; apabila memerintah negeri yang rakyatnya sedang mengalami masalah kemiskinan; apabila isu asasi seperti air masih tidak dapat selesaikan; apabila soal kebersihan masih membelenggu.
Walau bagaimanapun, ada hikmahnya berlaku kejadian sebegini. Sedikit sebanyak, manusia - rakyat Malaysia khususnya - semakin faham bahawa soal kezuhudan tidak ada kaitan dengan apa-apa anutan agama seseorang.
Kita boleh saja menemui non Muslim zuhud dan memiliki sifat bertanggungjawab terhadap rakyatnya, dan boleh sahaja kita jumpa Muslim yang kuat solat dan berpuasa, tetapi tidak ada amanah dalam pentadbiran politik.
Tiada ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.