https://critoxium.com/shop/

Terkini

Jemaah Tabligh digesa beri kerjasama dengan pihak berkuasa

Oleh Abdullah Cheong

 Yang dihormati syura dan ahli mesyuarat semua tempat syabguzari (markas ijtimak mingguan) yang dimuliakan Allah SWT.

Pihak berkuasa krisis nasional yang terdiri daripada pelbagai jabatan sedang berusaha tanpa mengenal penat dan lelah dalam menangani krisis wabak yang melanda.

Mereka telah mengingatkan kita berulang kali untuk mengambil langkah-langkah sewajarnya dalam mencegah penularan wabak tersebut.

Kami, pucuk pimpinan Jemaah Dakwah dan Tabligh Malaysia, menekankan sekali lagi kepada semua 28 markas (tempat syabguzari) di seluruh negara supaya mematuhi dan mengambil tanggungjawab penuh dalam bekerjasama dengan pihak berkuasa supaya kerisauan, ketegangan dan tanggapan salah (jika ada) dari mana-mana pihak, baik masyarakat umum mahupun pihak berkuasa, dapat diredakan.

Hentikan aktiviti timbul kerisauan

Semua mereka yang menghadiri majlis himpunan "Jor Qudama dan Ulama" tempoh hari hendaklah segera menghubungi pejabat kesihatan daerah masing-masing, atau CPRC hotline, untuk mendapatkan bimbingan dan rawatan perubatan.

Semua aktiviti usaha kita yang boleh menimbulkan kerisauan dan penularan wabak tersebut hendaklah dihentikan serta-merta buat masa ini.

Untuk sepanjang tempoh kuarantin Masjid Sri Petaling, tiada jemaah dibenarkan datang, dan tiada jemaah akan dihantar keluar dari markas kita sehingga keputusan mesyuarat selanjutnya insyaAllah.
Kami harap semua keputusan ini akan dapat ditaati dan dilaksanakan dengan bersungguh-sungguh.
Ingatlah bahawa semua ini adalah ujian daripada Allah SWT. InsyaAllah kita ambil peluang ini untuk menghidupkan amalan di rumah masing-masing, banyakkan berdoa, beristighfar dan menangis kepada Allah SWT, serta tingkatkan fikir risau umat dalam diri kita.

Semoga Allah SWT memberkati semua usaha kita yang sedikit ini dan menjadikan pengorbanan semua sebagai asbab hidayat seluruh alam hingga kiamat insyaAllah.


ABDULLAH CHEONG ialah Ahli Mesyuarat Markaz Dakwah dan Tabligh di Masjid Jamek Sri Petaling menulis bagi pihak kepimpinan majlis syura Tabligh Malaysia.

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.