https://critoxium.com/shop/

Terkini

"Orang fikir soal mati, nak makan susah, kerja tak ada, mereka pula fikir soal naikkan gaji,"


Oleh Mohd Sayuti Omar

Semalam,selepas Asar tadi saya minum petang dengan tiga orang kawan. Seorang orang Negeri Sembilan, seorang orang Johor dan seorang lagi orang Melaka. 
 
Mereka belakanya adalah orang bisnes yang pernah juga berniaga di Kelantan. 
 
Yang seorang lagi pernah berkhidmat di Kelantan sebagai jurutera daerah.
 
Berbagai topik yang dibualkan maklumlah lama tak jumpa. Ternyata topik yang agak panjang mengenai politik kerana mereka mengenali saya sebagai seorang penulis politik. 
 
Tajuk yang tidak ditinggalkan ialah pasal isu kenaikan gaji wakil rakyat yang baru diluluskan. Semua mereka musykil dan meringut dengan kenaikan itu. Masing-masing berpendapat ia sebagai tidak sesuai.
"Orang fikir soal mati, nak makan susah, kerja tak ada, mereka pula fikir soal naikkan gaji," kata yang pernah bekerja di Kelantan itu. Dia rasa pelik dengan cara orang wakil rakyat Kelantan berfikir. Beberapa kali mengucap cicak. 
 
Saya tidak banyak komen apa yang berlaku di negeri saya itu. Cuma apabila mereka bertanya apakah betul orang Kelantan suka bergaduh, (gedebe) berpolitik tidak menguntungkan negeri dan rakyat, tetapi lebih suka memikirkan soal parti, saya hanya menjelaskan begini sahaja. 
 
Orang Kelantan dianggap sebagai unik berbeza dengan negeri lain, termasuk juga cara mereka berpolitik. Keunikan itu ada dua natijahnya menguntung dan merugikan. Ia subjektif. 
 
Tetapi mengenai cara orang Kelantan berpolitik, yang suka bergaduh, bergasak sesama sendiri (gedebe) saya mengisahkan perihal budaya dan tradisi orang Kelantan. Orang Kelantan ada budayanya tersendiri yang jarang ada kepada orang negeri-negeri lain. Budaya ini mungkin baik dikaji kenapa maka wujud budaya ini. Mungkin pengaruh budaya Melayu Selatan Siam merebak ke Kelantan. 
 
Budaya orang Kelantan ialah suka kepada perlawanan. Perlawanan menjadikan satu hobby dan permainan biasa kepada mereka. Ia boleh diperhatikan orang Kelantan akan melawan, atau melagakan apa sahaja untuk hiburan dan juga sebagai mata pencari. 
 
Misalnya melagakan serangga dan binatang, ia dilakukan dari sekecil-kecil serangga hingga kepada sebesar-besar binatang. Mereka akan melagakan semut, ayam, kambing, lembu kerbau. Orang Kelantan akan beradu (melawan) cengkerik, belakang, burung, kura-kura dan sebagainya. Tidak ada pesta lumba kura-kura kecuali di Kelantan. 
 
Tidak hanya serangga dan haiwan yang mereka lagakan atau bertaruh, sebaliknya mereka juga bertewas, permainan tradisional, seperti gasing, wau, kertuk, rebana ubi rebana kerencing dan sebagainya. Tidak di situ sahaja mereka juga bertewas atau berlawan manusia dengan manusia melalui silat, boxsing, tomoi dan sebagainya. 
 
Budaya dan tradisi itu tidak ada di negeri-negeri lain atau kalau ada ia tidak seunik di Kelantan itu. Disebabkan mereka diasuh sejak dari kecil lagi dengan permainan berbentuk judi, hiburan, beradu tenaga dan merebut hadiah itu maka ia terbawa ke dalam politik. Bagi orang Kelantan politik mereka ada seni tersendiri. Sebab itu mereka berpolitik sepanjang masa bukan pada musim-musim tertentu sahaja. 
 
Sebagai menjawab persoalan kawan tadi, politik Kelantan akan berubah daripada apa yang ada sekarang ini sekiranya budaya dan tradisi itu sudah tidak diingat dan dimainkan lagi. Selagi budaya dan tradisi itu masih mengalir ke dalam diri mereka, maka politik yang membudayai tradisi dan budaya itu akan tetap berlaku.
 
Bilakah ia akan berubah? Saya memberi tempoh kepada mereka 499 tahun lagi. Trims.

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.