https://critoxium.com/shop/

Terkini

Muhyiddin perlu akur hilang majoriti, kata Mujahid


SHAH ALAM – Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin digesa akur dengan kehilangan jumlah majoriti diperolehnya dan menyerahkan kepada individu yang mempunyai majoriti melalui proses Perlembagaan.

Naib Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Seri Dr Mujahid Yusof berkata, ia supaya sebuah kerajaan yang sah dapat dibentuk dan berupaya mengembalikan kepercayaan rakyat bagi mengatasi masalah pandemik Covid-19.

“Tanggungjawab kerajaan baharu meneruskan peruntukan undang-undang yang ada dengan mengukuhkan konsensus mengatasi isu penularan dan peningkatan Covid-19.

“Pada waktu yang sama, tanggungjawab kerajaan baharu ialah mengembalikan demokrasi dan kepercayaan orang ramai terhadap institusi pemerintahan dengan mengambil masa sebelum pembubaran wajib pada tahun 2023 untuk tujuan tersebut,” katanya menerusi satu kenyataan pada Jumaat.

Baru-baru ini, Ahli Parlimen Machang, Datuk Ahmad Jazlan Yaakob dan Ahli Parlimen Padang Rengas, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz mengumumkan menarik balik sokongannya kepada kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Mohamed Nazri berkata, dengan keputusan yang diambilnya itu, kerajaan PN hanya memiliki sokongan 109 ahli Parlimen.

Mengulas lanjut, Ahli Parlimen Parit Buntar itu menambah, kerajaan baharu itu membentuk satu konsensus lebih besar yang dinamakan sebagai kerajaan Konsensus Nasional.

“Tiada percanggahan dari sudut membentuk ketahanan nasional dalam mengatasi Covid-19 malah ia merupakan satu konsensus.

“Percanggahan pendapat hanyalah kepada cara mengatasi krisis politik yang pada hemat kami harus kembali kepada peruntukan perlembagaan tanpa berkompromi pada asas-asas demokrasi,” katanya.

Mujahid berkata, Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) juga seharusnya tidak perlu digantung.

“Malangnya darurat telah mengurangkan semua peruntukan demokratik malah hak asasi dan institusi keperwakilan tidak lagi berperanan secara sepenuhnya,” katanya.

Sehubungan itu, Mujahid menggesa agar konsensus bersama dibina dan mencari jalan penyelesaian memahami pendekatan mengatasi krisis politik yang menjejaskan kepercayaan rakyat terhadap institusi pemerintahan dan politik.

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.