https://critoxium.com/shop/

Terkini

Iran pamer pelancar peluru berpandu baharu, beri amaran AS bakal diaibkan lagi


Iran memperkenalkan pelancar peluru berpandu baharu ketika komander kanan tenteranya menggembar-gemburkan keupayaan republik Islam itu menerusi mesej penuh cabaran kepada Amerika Syarikat (AS).

"Pelancar yang mampu menembak dua peluru berpandu bahan api cecair secara serentak diperkenalkan buat pertama kali," lapor televisyen kerajaan Iran pada Sabtu.

AFP yang memetik televisyen kerajaan juga menyiarkan rakaman ketua Pengawal Revolusi, Ahmad Vahidi dan ketua pasukan aeroangkasa pasukan itu, Majid Mousavi, meninjau pangkalan peluru berpandu bawah tanah.

Kedua-dua komander itu dipaparkan menaiki kenderaan melalui terowong panjang yang dipenuhi deretan peluru berpandu, pelancar serta pelbagai kelengkapan ketenteraan lain.

"Kerugian yang dialami musuh kita hanyalah permulaan. Kita akan menyaksikan penghinaan ke atas mereka," kata Vahidi, yang mengetuai Pengawal Revolusi sebagai cabang ideologi dalam angkatan tentera Iran.

"Keupayaan kita meningkat sepanjang dua konflik terakhir, dan persenjataan berprestasi tinggi kita mampu menggerunkan musuh," kata Mousavi.

Pendedahan ini dibuat beberapa bulan selepas tercetusnya perang Timur Tengah pada 28 Feb lalu apabila serangan AS-Israel membunuh pemimpin agung Iran, Ali Khamenei.

Iran bertindak balas dengan melancarkan peluru berpandu dan dron ke arah negara-negara di seluruh rantau itu, manakala kumpulan militan yang disokongnya di Lubnan, Yaman dan Iraq turut menyertai konflik berkenaan.

Semasa fasa perang paling sengit, serangan AS-Israel menyasarkan keupayaan peluru berpandu Iran dan sekali lagi membedil tapak nuklearnya, namun tahap kerosakan sebenar masih tidak jelas.

Awal bulan ini, Iran turut mendedahkan pangkalan peluru berpandu bawah tanah baharu yang menempatkan peluru berpandu balistik, peluru berpandu krus serta pelancarnya.

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.