Ismail Lasim letak jawatan MB Negeri Sembilan
Ismail Lasim meletakkan jawatan sebagai menteri besar Negeri Sembilan berkuat kuasa hari ini.
Setiausaha Agung BN Zambry Abdul Kadir berkata pengerusi gabungan itu, Ahmad Zahid Hamidi sudah menerima salinan surat peletakan jawatan Ismail yang diutuskan kepada Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir.
“Pengerusi Barisan Nasional akan mengemukakan cadangan calon Menteri Besar yang baharu untuk dipersembahkan ke hadapan Duli Yang Maha Mulia Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, selaras dengan peruntukan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan,” katanya dalam kenyataan.
Zambry berkata BN berharap langkah itu membuka lembaran baru untuk memulihkan kestabilan politik dan melancarkan semula pentadbiran negeri.
“Sehubungan itu, BN akan memberikan kerjasama sepenuhnya bagi memastikan proses peralihan kepimpinan berjalan secara teratur, dengan mengambil kira kedudukan majoriti Ahli Dewan Undangan Negeri serta perkenan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan.
“BN menghormati keputusan tersebut dan mengucapkan terima kasih atas khidmat bakti Datuk Ismail Lasim sepanjang menjawat jawatan Menteri Besar Negeri Sembilan,” katanya.
Ismail, yang sudah tujuh penggal menjadi Adun Negeri Sembilan, dilantik sebagai menteri besar ke-10 negeri itu pada 2 Ogos selepas gabungan BN-PN memenangi pilihan raya negeri (PRN).
Adun Juasseh berusia 67 tahun itu dipilih sebagai menteri besar ketika krisis adat dan perlembagaan negeri tercetus.
Dua hari sebelum meletakkan jawatan, Ismail mengesahkan dia bersama 10 bekas exco menarik balik kandungan surat yang mempertikaikan kedudukan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan.
Menerusi surat bertarikh 10 Nov, mereka menarik balik kandungan surat kepada Majlis Raja-Raja pada 17 Sept yang menyokong usaha mengiktiraf Tunku Nadzaruddin Tuanku Ja'afar sebagai pemerintah baru negeri itu.
Keputusan tersebut mengambil kira kenyataan Raja-Raja Melayu pada 14 Okt serta perintah Mahkamah Tinggi Seremban pada 5 Jun yang mengekalkan status quo kedudukan Tuanku Muhriz.
“Selagi dia tak tarik balik apa dia kata tu, jangan jumpa saya...” titah baginda ketika menegur Ismail secara terbuka di Kuala Pilah pada 16 Okt, dalam petikan yang dipendekkan.
Bagaimanapun, ketika mengesahkan penarikan balik surat itu pada 14 Nov, Ismail berkata dia masih belum dapat menghadap baginda.
“Kedudukan exco tiada perbincangan lagi setakat ni,” katanya ketika ditanya mengenai kedudukan 10 bekas exco berkenaan.




Tiada ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.