Daripada ABIM ke Amanah, perjuangan berterusan
Oleh Abu
Firdaus
Dalam
Konvensyen Nasional tahunan Parti Amanah Negara di Alor Setar, Kedah lepas, satu resolusi yang menyokong supaya Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi
perdana menteri telah diluluskan. Ia bukan perkara baharu dan mengejutkan. Ia
merupakan pengesahan perwakilan parti terhadap keputusan pucuk pimpinan untuk
menyokong Anwar sebagai ketua kerajaan Malaysia andai kata Pakatan Harapan
menang.
Lagipun
mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan telah pun membincangkannya, dan ia
juga sudah disetujui bahawa Anwar adalah calon bagi perdana menteri.
Persetujuan ini turut disokong oleh Pengerusi Pakatan Harapan yang juga Pengerusi
Parti Pribumi Bersatu Malaysia, Tun Dr Mahathir Mohamad yang dari tahun 1998
hingga tahun ini adalah memusuhi Anwar.
Tetapi bagi
parti lain dalam Pakatan Harapan iaitu Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP,
Anwar sebagai perdana menteri bukanlah suatu isu. Kedua-dua parti itu menyokong
Anwar untuk menjadi perdana menteri sejak tahun 1998 lagi apabila gerakan
Reformasi dilancarkan.
PKR
tentunya menyokong Anwar kerana itulah rasional penubuhan Parti Keadilan
Nasional. Parti Rakyat Malaysia (PRM) yang bergabung dengannya pada tahun 2003
juga menyokong Anwar sejak tahun 1998. PKR menegaskan prinsipnya supaya Anwar
dijadikan perdana menteri dalam kongresnya tahun ini. Penegasan itu dibuat
ekoran penyertaan PPBM ke dalam Pakatan Harapan.
PAS juga
menyokong Anwar sebagai perdana menteri dari tahun 1998 ketika ia dipimpin oleh
Datuk Fadzil Nor sehinggalah pada tahun 2015 apabila di bawah pimpinan Datuk
Seri Abdul Hadi Awang, parti itu berbalah dengan DAP dan meruntuhkan Pakatan Rakyat.
Ada satu
masa golongan yang menyokong Anwar dalam PAS dipanggil Anwaristas. Umumnya
mereka inilah yang keluar PAS dan menubuhkan Amanah pada tahun 2015.
Tetapi UMNO
khususnya Dr Mahathir sendiri pernah menyokong Anwar untuk menjadi bakal perdana
menteri apabila beliau dipilih sebagai Timbalan Presiden dan Timbalan Perdana
Menteri dari tahun 1993 hingga 1998. Maka sokongan terhadap Anwar bukanlah
perkara baharu.
Dengan
keadaan beliau yang dipenjara dua kali, keutuhan populariti Anwar adalah
mengkagumkan. Rakan-rakan seperjuangannya yang pernah memusuhi turut kembali
menjadi penyokongnya.
Banyak
pemimpin Amanah yang pernah berjuang bersama Anwar ketika dalam Angkatan Belia
Islam Malaysia (ABIM) pada tahun 1970-an dahulu. Paling ketara ialah Timbalan Penasihat
Amanah, Abdul Ghani Shamsuddin, Presiden Amanah, Mohamed Sabu dan Setiausaha
Agung Amanah, Anuar Tahir.
ABIM ketika
di bawah pimpinan Anwar adalah pelopor kepada kebangkitan perjuangan Islam
kontemporari dengan penyertaan anak-anak muda yang komited. Dulu perjuangan
mereka ini dipanggil gerakan dakwah. Kepada mereka yang pernah melalui zaman
itu tentu dapat merasakan nostalgia idealisme perjuangan Islam. Mungkin di
sebalik idealisme itu, aktivis-aktivis ABIM itu juga memiliki sifat naif, suatu
perkara biasa di kalangan anak-anak muda yang cenderong pada politik di
mana-manapun di dunia.
Pada tahun
1970-an itu, Anwar adalah presiden dan Fadzil Nor merupakan timbalan presiden.
Yang Dipertua Agung PAS ketika itu, Datuk Asri Muda mengesan potensi Anwar dan
mengharap beliau menyertai PAS dan bakal menggantikan beliau untuk menerajui
parti itu.
Ekoran
Demonstrasi Pelajar 1974, Anwar ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri
(ISA). Ketika itu Perdana Menteri ialah Tun Razak Hussein dan Menteri Pelajaran
ialah Dr Mahathir. Fadzil Nor pula memangku jawatan presiden ABIM.
Kemudian daripada
itu pucuk pimpinan ABIM memutuskan supaya Fadzil Nor, Nakhaie Ahmad dan Syed
Ibrahim Syed Abdul Rahman menyertai PAS. Tetapi apabila Dr Mahathir menjadi
perdana menteri, Anwar menyertai UMNO dan diikuti dengan beberapa pemimpin ABIM
seperti Datuk Kamaruddin Mohd Nor dan Kamaruddin Jaafar. ABIM secara
keseluruhan tetap menyokong Anwar.
Namun,
Abdul Ghani Shamsuddin memilih untuk aktif dalam Persatuan Ulama Malaysia (PUM)
pimpinan Ahmad Awang. Abdul Ghani menjadi timbalan presiden. Itu semua kisah
sejarah tetapi bekas pemimpin-pemimpin ABIM terus mencorak politik negara.
Walaupun berubah wadah, perjuangan Islam tetap sama. Kini ada antaranya berada
dalam PKR, sementara yang lain pula bersama dengan Amanah. Kamaruddin Mohd Nor
kini bersama PPBM. Tetapi ketiga-tiga parti ini, PKR, Amanah dan PPBM bersama
dam satu Pakatan Harapan yang menyokong Anwar sebagai bakal perdana menteri.
Tiada ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.