https://critoxium.com/shop/

Terkini

Saya 1,200, mereka 9,000, kata Dr Mahathir mengenai tangkapan ISA

PETALING JAYA: Tun Dr Mahathir Mohamad berkata beliau merupakan bekas perdana menteri yang paling cermat dalam menggunakan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) berbanding 3 perdana menteri sebelumnya.

Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu berkata selama 22 tahun menjadi perdana menteri, beliau hanya menangkap seramai 1,200 orang, berbanding di zaman Tunku Abdul Rahman, Tun Abdul Razak dan Tun Hussein Onn.

“Di zaman Tunku Abdul Rahman, beliau jadi perdana menteri selama 13 tahun lebih 2,000 orang ditangkap guna ISA. Tun Abdul Razak jadi perdana menteri selama 6 tahun, juga 2,000 lebih orang ditangkap guna ISA.

“Tun Hussein Onn jadi perdana menteri 5 tahun, 4,000 orang ditangkap. Tetapi saya hairan tidak ada siapa marah pada mereka,” katanya menjawab soalan dalam sesi khas bersama anak muda di Perpustakaan Komuniti Petaling Jaya, malam tadi.

Dr Mahathir mempersoalkan mengapa Tunku, Tun Razak dan Tun Hussein tidak menjadi sasaran.
“Bahkan mereka lebih bengis daripada saya,” tambahya.

ISA sering dikaitkan dengan Operasi Lalang yang dijalankan di bawah pentadbiran Dr Mahathir pada Oktober 1987, di mana 106 orang termasuk aktivis masyarakat, pemimpin NGO, ahli politik pembangkang, intelektual dan aktivis pelajar ditahan tanpa perbicaraan.

Dr Mahathir berkata penangkapan ISA ketika pentadbirannya mempunyai alasan yang kuat berbanding penangkapan masa kini di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012, atau Sosma.

“Berbeza dengan zaman ketika saya guna ISA sebab mereka boleh gugat keharmonian negara. Itu sebab mereka ditangkap,” katanya.

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.