Bahaya ambil suplemen secara berlebihan
Oleh Rabiatul Adawiyah
Obses terhadap makanan tambahan atau suplemen tanpa mengetahui maksud dan fungsi sebenarnya untuk tubuh badan hanya akan membawa keburukan berbanding kebaikan yang cuba dicari.
Obses terhadap makanan tambahan atau suplemen tanpa mengetahui maksud dan fungsi sebenarnya untuk tubuh badan hanya akan membawa keburukan berbanding kebaikan yang cuba dicari.
Walaupun suplemen sama ada luar negara
atau produk tempatan kian tumbuh bak cendawan dan menjadikan pilihan
banyak untuk pengguna, persoalannya, adakah semua suplemen itu selamat
atau memudaratkan?
Ketua Jabatan Dietetik dan Sajian Hospital
Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar, Khairul Nizam Mat Nayan baru-baru
ini menyarankan individu yang sihat dan tiada sebarang masalah kesihatan
tidak perlu mengambil makanan tambahan kesihatan (suplemen). Katanya,
individu yang sihat jangan sesekali mengambil makanan tambahan itu untuk
penjagaan kesihatan berdasarkan diagnosis sendiri semata-mata tanpa
mendapatkan khidmat nasihat daripada pakar terlebih dahulu.
Beliau
menarik perhatian bahawa pengambilan makanan tambahan itu yang
berlebihan sememangnya tidak memudaratkan kesihatan dalam tempoh jangka
pendek, namun dikhuatiri boleh merosakkan organ dalaman bagi jangka
panjang.
Contohnya pengambilan vitamin larut
lemak seperti A, D, E, K yang berlebihan akan memberikan kesan kepada
hati. Sungguh pun vitamin-vitamin ini diperlukan oleh tubuh, ia
sebenarnya boleh didapati dengan mudah dan mencukupi daripada makanan
semula jadi yang dimakan.
Sekiranya kita
terlalu berlebihan mengambil vitamin tambahan ini, ia akan terkumpul di
hati yang lama-kelamaan akan menjadi toksin sehingga menjejaskan fungsi
hati.
Sementara itu, orang ramai turut
tertarik dengan status dalam Facebook milik Pakar Perunding Perubatan
dan Nefrologi dari Hospital Sultan Haji Ahmad Shah di Temerloh, Dr.
Rafidah Abdullah: “Berlambak di wad yang buah pinggangnya lagi cepat
rosak sebab produk macam-macam. Pesakit kronik mohon JANGAN SENTUH
produk apa pun!”
Mengulas lanjut isu
tersebut, Pakar Perubatan Dalaman, Hospital Pakar KPJ Johor, Datuk Dr. M
Singaraveloo memberitahu, makanan tambahan atau suplemen ialah elemen
tambahan kepada diet harian dan membekalkan nutrisi yang lengkap
sekiranya terdapat kekurangan di dalam diet harian.
“Suplemen
mengandungi vitamin, mineral, asid amino, herba atau bahan dari
tumbuh-tumbuhan yang digantikan di dalam bentuk pil, kapsul, tablet atau
di dalam bentuk cecair. Suplemen digunakan sebagai tambahan di dalam
diet untuk melengkapkan diet seimbang tetapi tidak boleh dianggap
sebagai pengganti makanan,” jelasnya.
Sementara
itu, Kementerian Kesihatan menyarankan pengambilan makanan sihat
menerusi ‘Malaysian Dietary Guidelines 2010’ yang menggariskan 14 mesej
penting dengan salah satu mesej ditekankan adalah mengambil pelbagai
jenis makanan mengikut piramid makanan. Justeru, individu yang sihat
tubuh sudah memadai mengamalkan pemakanan seimbang daripada makanan
semula jadi seperti sayur-sayuran dan buah-buahan serta ikan untuk
mengekalkan kesihatan yang baik.
Menjelaskan
fungsi suplemen, Dr. M Singaraveloo Suplemen berkata, suplemen berfungsi
untuk mengimbangi diet yang tidak mencukupi, meningkatkan imuniti dan
juga meningkatkan kecergasan tubuh badan. Selain itu, suplemen juga
boleh membantu meningkatkan stamina dan melindungi sistem badan dari
jangkitan penyakit.
“Sesetengah suplemen
boleh menyebabkan risiko pendarahan sekiranya diambil sebelum atau
selepas pembedahan dan juga memberi kesan terhadap tindak balas tubuh
kepada ubat bius (anesthesia). Kebanyakan suplemen mempunyai bahan aktif
yang boleh memberi kesan terhadap tubuh badan terutamanya jika makanan
tambahan diambil bersama ubat-ubatan yang lain,” katanya.
Dr.
M Singaraveloo memberi contoh vitamin K boleh yang mengurangkan
keupayaan ‘Coumadin’ bertindak balas untuk mengelakkan pembekuan darah,
suplemen seperti ‘Wort St. John’ dapat mengurangkan keberkesanan ubat
seperti antidepresen dan pil perancang. Suplemen antioksidan seperti
vitamin C dan E pula dapat mengurangkan keberkesanan beberapa jenis
kemoterapi kanser.
Tiada ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.