Menyiasat Jho Low seperti menyiasat Najib
Oleh Subky Latif
KAPAL mewah Jho Low, Equanimity
yang dicari Jabatan Keadilan (DOJ) Amerika Syarikat dikesan di perairan
benua Amerika tetapi tuhan hantar ke Bali, di depan muka Malaysia, yang
pembeliannya dikatakan dicuri dari kompeni Kementerian Kewangan
Malaysia.
Tidak perlu lagi jauh mencari dan
tuannya. Tiba-tiba dijumpai di Indonesia. Bukankah ini Allah hendak
menyerahkannya kepada kerajaan dan rakyat Malaysia. Ibarat ikan kita
tidak perlu ke laut jauh, ikan masuk ke bubu tepi rumah sendiri. Buatlah
apa yang dibuat dengannya.
Tetapi Peguam Negara ada dalih untuk
bertindak. Kita tidak tertarik dengan apa jua dalih, tetapi membiarkan
si fulan pergi dengan labu-labunya. Biarkan Jho Low berlayar dengan
bahteranya.
Semua tahu duit kerajaan yang dibancuh
dalam 1MDB hampir habis. Digunakan antaranya membeli kapal mewah
itu. Duit itu tidak pergi sendiri tetapi diambil dari kompeni itu.
Pertama ia diambil dengan kekerasan; rompak atau curi. Jika ini yang
terjadi mengasa wajar mengadu. Kedua ia diambil kerana diberi.
Jika yang mengambilnya Jho Low, maka
1MDB memberinya. Siapa boleh memberi berguni-guni duit 1MDB kepadanya?
Tiada mungkin ia diberi tanpa persetujuan yang paling berkuasa atau yang
paling berkuasa itu suruh beri kepadanya.
Siapa lagi yang paling berkuasa di situ
melainkan Menteri Kewangan yang juga Perdana Menteri. Semua tahu 1MDB
telah hilang duit. Tiada kenyataan yang ia tidak pernah hilang duit.
Tiada bukti dan saksi PM Najib atau sesiapa memberi duit itu kepada Jho
Low.
Siapa juga yang hilang duit, dia mesti
mengadu. Siapa juga yang memberi duit kerana ditipu, dia juga mengadu.
Tetapi siapa juga yang memberi duit kepada orang, nescaya tiada ia
mengadu.
Keluarga diraja Saudi derma RM 2.6
billion kepada Najib tidak mengadu dia. Dalam Islam bersedekah dan
berderma tidak boleh diumumkan. Habis pahalanya. Jika yang memberi duit
pada Jho Low beritahu dia beri duit kepadanya, hilanglah pahalanya.
Berpahala yang memberi duit kepada
sesiapa jika duit itu dia punya. Jika ia duit orang diberi tanpa
pengetahun dan persetujuan tuannya, ia adalah pecah amanah. Pemecah
amanah dan penerima duit orang tanpa kebenaran tuannya, sama-sama besar
dosanya.
Lain-lain harta yang dibeli Jho Low dari
duit yang dikatakan diambil dari 1MDB telah diambil oleh Jabatan
Keadilan Amerika. Yang belum dapat diambil bahtera mewahnya. Bila ia
dikesan berada di Bali, Amerika telah mendapatkan kerjasama Indonesia
menahannya. Tentunya FBI membuat siasatan rapi atasnya.
Indonesia boleh mengambil tahu
tentangnya atau dapatkan sahaja maklumat dari FBI. Tetapi kerana dibeli
dari duit 1MDB, Malaysia berhak peduli atas perkara itu. Jika Malaysia
dikira sebagai mangsa, maka mangsa di mana-mana juga dan sesiapa juga
berhak untuk peduli. Hanya orang seperti Pak Pandir tidak terasa atas
apa juga yang berlaku terhadapnya.
Pegawai tinggi Malaysia ketika rencana
ini ditulis ada dalih tidak pedulikan keberadaan kapal itu di Bali. Ia
bagai bukan Malaysia ada kepentingan. Ertinya Malaysia berlepas tangan.
Apa orang hendak kata, katalah. 1MDB, kerajaan tidak terkesan dengannya.
Tiada ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.