https://critoxium.com/shop/

Terkini

Mudah sangat nak masuk syurga!

Oleh Abdul Jalil Ali 

MEMANG kelakar, sekali gus mengarut! Kalau ikut cakap orang politik, macam mudah sangat untuk masuk neraka, atau masuk syurga.

Keputusan tidak sampai seminit di bilik mengundi boleh menentukan sama ada kita ditempatkan dalam suasana penuh nikmat, atau dihumban ke tempat penuh seksa di akhirat nanti.

Sejak dulu kita sudah dimomokkan oleh orang politik bahawa haram mengundi Umno. Malah, ada amanat yang disebarkan, menegaskan memangkah dacing @ BN berdosa.

Orang ramai diberitahu “kalau hendak masuk syurga, pangkah bulan, sebab hanya Pas boleh membawa orang ke syurga.” Sesetengah orang Melayu @ Islam termakan dengan kempen tersebut.

Pangkah parti sekian-sekian, dijamin masuk syurga. Pangkah parti sekian-sekian, akan masuk neraka.

Semudah itu?

Sesetengah orang politik mudah sangat mencipta hukum sendiri. Sudah kerap sangat mereka menjadikan agama sebagai modal – sebenarnya ugutan! – untuk meraih undi pada pilihan raya.

Malangnya ramai pula pengundi kita yang tanpa berfikir panjang mudah termakan dengan ugutan seperti itu. Mereka ingin mencuba jalan pintas ke syurga.

Pada hal sekiranya mereka berfikir, dan ada asas agama yang kukuh, ugutan orang politik sepatutnya ditolak siang-siang.

Tidak ada sebarang dalil yang menunjukkan pangkah parti bulan boleh masuk syurga.

Orang politik memang sanggup mengeluarkan apa sahaja hukum untuk menakutkan – dan membodohkan – pengundi.

Itu dulu! Sekarang sudah terbalik kot, sebab kedengaran pula suara yang menyebut haram mengundi Pas pada PRU14.

Ada pun yang berkata itu adalah bekas pemimpin parti Islam itu sendiri.

“(Dulu) Pas kata tak pangkah Pas haram sebab akan jatuh kerajaan Islam,” kata Datuk Husam Musa pada satu ceramah 3 Mac lalu.

Beliau yang kini Naib Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) itu menambah: “Ambo (saya) pula kata, kalau mengundi Pas yang menongkat (bantu) Umno yang habiskan duit rakyat, haram.

“Haram undi bulan. Ini ambo nak pegang. Nak tahu yang mana betul, kita berdebatlah,” kata Husam mencabar kepimpinan parti yang telah diceraikannya.

Anggota Parlimen Pas Pasir Mas, Nik Mohamad Abduh Nik tidak senang dengan kenyataan Husam. Beliau menyindir bekas Naib Presiden Pas yang juga Adun Salor itu:

“Sekian lama berada dalam Pas Husam tidak pernah menyatakan perkara sedemikian malah penuh yakin mendapat pahala atas perjuangannya. Bila dia keluar Pas, dia kata berdosa pangkah Pas.”

Biarlah orang politik berdebat mengenai syurga pahala. Orang ramai, khasnya pengundi, jangan pening kepala dan pecah otak memikirkan siapa yang betul dalam hal syurga pahala ini.

Pada hemat saya, pengundi sekarang tidak boleh lagi dimomokkan dengan acah-acah syurga pahala.

Mereka sudah matang, semakin faham bahawa tiada siapa yang boleh menjamin hukuman akhirat kepada seseorang.

Orang politik boleh kempen menjanjikan apa sahaja – langit, bumi, bulan, bintang, syurga – tetapi pengundi yang sudah boleh berfikir tidak mahu diperbodohkan lagi pada PRU14.

Dulu-dulu orang memilih mengikut logo, sebab ramai yang taksub kepada parti. Sekiranya sesuatu parti itu menjadi pujaan, letaklah siapa sahaja calon, walaupun beruk, mereka akan pangkah.

Pilihan raya akan datang mereka tidak lagi melihat parti. Mereka akan melihat siapa calon yang bertanding.

Tidak kira parti dacing, parti bulan, parti bunga atau parti apa sahaja, apa yang akan diperhatikan pengundi ialah calon, bukan lambang.

Maka menjadi cabaran kepada mana-mana parti yang bertanding untuk mencari calon yang betul-betul layak. Tidak kira tua atau muda, calon mesti ada wibawa, bersih.

Kalau diketahui seseorang itu ada kurap dan pekung, jangan dipilih sebagai calon.

Kalau diketahui seseorang itu kaki balun, kaki songlap duit, kaki judi, kaki busuk, jangan ambil sebagai calon.

Cari calon yang bukan sahaja bersih, tetapi dilihat bersih. Inilah ‘winnable candidate’. Masalah di tempat kita ialah semua orang mengaku sebagai winnable candidate.

Semua membodek pemimpin untuk dipilih sebagai calon. Ada yang berjumpa dukun dan bomoh, mengadu hal untuk menjadi calon. Penyangak paling rasuah pun mendakwa “sayalah winnable candidate!”

Dalam hal memangkah di bilik mengundi mungkin kita boleh menimbangkan panduan yang diberi oleh Mufti Perlis Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin.

Kata beliau: “Pengundi hendaklah memilih parti yang paling kurang membawa mudarat.”




























Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.