https://critoxium.com/shop/

Terkini

Rakyat Malaysia hidup melarat, didera majikan di Korea Selatan

KUALA LUMPUR: Ada rakyat Malaysia di Korea Selatan hidup seperti pelarian dan menyembunyikan diri daripada pihak berkuasa. Mereka itu antara kira-kira 5,000 rakyat Malaysia yang bekerja dan menetap secara haram di Korea Selatan, lapor The Star.

Satu pasukan yang dihantar portal mStar Online mendapati ramai rakyat Malaysia terkandas dan hidup melarat. Antara mereka yang ditemui mengalami kecacatan kekal kerana kemalangan di tempat kerja dan ada juga yang jatuh miskin dan hidup menumpang selepas dipecat majikan.

Pasukan itu pergi ke kawasan Itaewon di ibu negara Korea Selatan, Seoul, dan pekan Daeso dan Muguk di daerah Eumseoung, kira-kira 80km dari Seoul.

Menurut The Star, rakyat Malaysia pergi ke Korea Selatan kerana diumpan iklan pekerjaan yang menjanjikan upah lumayan. Mereka membayar ribuan ringgit kepada ejen sebagai yuran dan memasuki negara itu menggunakan visa pelancong.

Malangnya, seperti pekerja dari negara lain yang datang ke Malaysia untuk mencari pekerjaan, mereka mendapati realiti kehidupan tidak seperti yang dijanjikan.

Laporan memetik seorang rakyat Malaysia yang hanya mahu dikenali sebagai Farhan berkata dia dan 2 rakan sudah lebih 2 bulan hidup menumpang selepas dipecat tanpa dibayar gaji oleh sebuah syarikat pemprosesan rumpai laut. Mereka baru sahaja bekerja di sana selama seminggu.

“Saya dipecat kerana demam seminggu selepas mula bekerja. Kami bergantung kepada rakan-rakan untuk makan,” katanya.

Beliau berkata mereka kadang-kadang hanya mampu memakan biskut. Pada hari biasa mereka menumpang rumah kawan tetapi menumpang tidur di Masjid Pusat Seoul pada hujung minggu.
Tinjauan di masjid itu menemui beberapa beg di sepanjang koridor masjid, dipercayai milik pekerja asing yang menumpang tidur.

Seorang lagi rakyat Malaysia memberitahu pasukan itu, dia menumpang sebuah rumah sempit bersama-sama 18 penghuni lain.

Wanita itu yang bekerja di ladang bawang dan ubi keledek berkata, rumah itu terlalu sesak sehingga ada yang terpaksa tidur di depan tandas atau lantai dapur.

Dia dan rakan serumahnya berkata ada kes rakyat Malaysia didera secara fizikal jika tidak bekerja dengan cepat.

Rakyat Malaysia yang lain mengesahkan mereka sering dieksploitasi kerana status haram mereka, dan dipaksa bekerja berjam-jam tanpa berehat dan dilarang bercakap dengan rakan sekerja.

Sesetengah majikan menahan gaji mereka kerana merasakan pekerja Malaysia tidak berani mengadu kepada pihak berkuasa.

Laporan mengatakan ramai rakyat Malaysia yang menderita di sana mendiamkan diri kerana takut ditahan pihak berkuasa Korea Selatan.












Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.