Roboh Pasar Pasir Puteh tidak patuhi undang-undang?
PAGI semalam gempita seluruh alam,
puak pembenci kerajaan negeri berteriak lagak pahlawan, kononnya membela
para peniaga yang masih tersisa di Pasar Lama Pasir Puteh, yang enggan
berpindah ke Pasar Baharu Siti Hajar.
Ramai yang menuduh kononnya kerajaan
negeri seperti Zionis, seakan-akan Yahudi dan segala bagai watak
antagonis atas kerana kekecohan di tanah Tok Janggut pagi tadi. Husam
pula bersiaran dari nun jauh di bumi London, memperlihatkan keprihatinan
beliau akan isu ini. Dan beliau menasihatkan juga agar kerajaan negeri
menangguhkan tindakan tersebut sehingga selepas PRU nanti.
Adakah Husam fikir kerajaan Negeri
Kelantan ini bersikap hipokrit? Menangguhkan tindakan hanya kerana mahu
menempuh PRU? Ini bukan cara PAS. Sekiranya kebenaran itu pahit, namun
memberi kebaikan kepada rakyat, maka PAS akan terus tempuh dan tangani.
Lantas, mari kita lihat sebentar, adakah
kebisingan pagi tadi berlaku kerana pihak Majlis Daerah tidak mengikut
aturan undang-undang? Adakah pihak berkuasa tempatan melanggar arahan
mahkamah? Atau apa isu sebenarnya? Ayuh ikuti baris demi baris kronologi
kes ini.
Kronologi kes mahkamah Pasar Lama Pasir Puteh
Kes permohonan injunksi oleh peniaga
1 Februari 2017 : Notis dikeluarkan oleh
MDPP mengenai penutupan dan perpindahan premis Pasar Besar Pasir Puteh
ke Pasar Siti Hajar berkuatkuasa 1 Mac 2017. Pemotongan bekalan elektrik
dan air akan dilakukan pada 2 Mac 2017.
28 Februari 2017 : Notis permohonan secara ex parte oleh peniaga memohon perintah injunksi seperti berikut:-
a) MDPP dilarang menghalang operasi
perniagaan di premis Pasar Besar Pasir Puteh dari beroperasi seperti
biasa bermula 1 Mac 2017 sehingga selesai keputusan kes ini.
b) MDPP dilarang memotong bekalan elektrik dan air di Pasar Besar Pasir Puteh.
c) MDPP dilarang mencagar, memajak, memberi sewa atau melupuskan Pasar Besar Pasir Puteh kepada mana-mana pihak.
d) MDPP dilarang meluluskan sebarang kontrak pembinaan semula apa-apa bangunan komersial di tapak Pasar Besar Pasir Puteh.
Mahkamah perintahkan permohonan didengar secara inter parte. Mahkamah tetapkan tarikh 1 Mac 2017 supaya MDPP memasukkan kehadiran.
MDPP terima notis permohonan injunksi daripada peguam peniaga Tetuan N.M Amin & Associates.
MDPP melantik Tetuan Aini Hayati sebagai panel peguam MDPP.
1 Mac 2017 : Mahkamah tetapkan permohonan didengar secara inter parte dan kedua-dua pihak dibenarkan untuk memfailkan affidavit masing-masing.
7 Mac 2017 : Mesyuarat Jawatankuasa Khas Kes Mahkamah Bil.01/2017. Perbincangan mengenai affidavit jawapan MDPP.
26 Mac 2017 : Bicara Tangguh - peniaga minta pengesahan Juru ukur bagi keluasan pasar lama.
16 April 2017 : Bicara Tangguh - mahkamah minta pihak-pihak berbincang dengan cadangan masing-masing.
27 April 2017 : Bicara Tangguh - mahkamah minta pihak-pihak kemukakan gambar perbandingan pasar lama dan pasar baru.
29 Mei 2017 : Keputusan - Mahkamah Tinggi
Kota Bharu menolak permohonan injunksi dengan kos. Arahan pindah
berkuatkuasa selepas 19 Julai 2017 selepas perbicaraan kes Writ Saman
Tuntutan Ganti Rugi.
9 Ogos 2017 : Kes telah difailkan peniaga ke Mahkamah Rayuan. Pengurusan Kes kali-1.
6 September 2017 : Pengurusan kes kali 2.
Peniaga bersetuju menarik balik rayuan injunksi mereka terhadap MDPP
dengan kos sebanyak RM2,500.
25 September 2017 : Notis penarikan balik rayuan.
Kes injunksi selesai
Ini membawa maksud, injunksi yang dibawa
oleh peniaga untuk menghalang empat perkara seperti dalam catatan di
atas telah gagal. Malahan peniaga sendiri menarik balik rayuan mereka di
Mahkamah Rayuan. Berikut adalah Saman kedua oleh peniaga kepada MDPP
yang juga berlangsung sejak tahun lepas.
Kes saman tuntutan ganti rugi oleh peniaga
27 Februari 2017 : Notis Permohonan tuntutan Persatuan Peniaga terhadap MDPP:-
a) Gantirugi Am
b) Gantirugi Khas
c) Gantirugi Teladan
d) Gantirugi Teruk
e) Faedah 8 peratus ke atas semua jumlah gantirugi dari tarikh penghakiman sehingga selesai
f) Kos anakguam dan peguamcara
g) Apa-apa relief dan perintah yang suai manfaat Mahkamah ditafsirkan sesuai dan adil.
29 Mac 2017 : Pengurusan kes 1.
12 April 2017 : Notis Permohonan MDPP membatalkan tuntutan peniaga.
11 Mei 2017 : Pengurusan kes bagi Notis Permohonan MDPP membatalkan tuntutan peniaga.
29 Mei 2017: Notis Permohonan Persatuan Peniaga untuk meminda pernyataan tuntutan iaitu MDPP dikehendaki menyediakan pasar baru.
6 Jun 2017 : Mesyuarat Jawatankuasa Khas Kes Mahkamah Bil.2/2017. Perbincangan mengenai jawapan defendan .
3 Julai 2017 : Pihak-pihak memfailkan hujahan bagi permohonan MDPP untuk membatalkan tuntutan peniaga.
13 Julai 2017 : Pihak-pihak memfailkan hujahan bagi permohonan peniaga untuk meminda tuntutan mereka.
19 Julai 2017 : Bicara bagi notis permohonan MDPP batal tuntutan peniaga.
Pengurusan kes bagi permohonan peniaga pinda tuntutan mereka. Kes ditangguh berikutan pertukaran peguam peniaga.
21 Ogos 2017 : Bicara bagi Notis Permohonan MDPP bagi membatalkan tuntutan peniaga.
Pengurusan kes bagi permohonan peniaga meminda Pernyataan Tuntutan mereka.
27 Ogos 2017: Keputusan - Mahkamah Tinggi Kota Bharu membenarkan permohonan MDPP membatalkan tuntutan peniaga dengan kos RM2000.
15 September 2017 : MDPP telah membuat hebahan melalui banner.
"Pemberitahuan pengosongan, penutupan,
dan perpindahan Pasar Siti Hajar Pasir Puteh Sentral akan mula
beroperasi pada 15hb Oktober 2017 dan Pasar Lama akan ditutup sepenuhnya
pada 22hb Oktober 2017. Para peniaga diminta berurusan dengan Majlis
Daerah Pasir Puteh."
Nah, melihat kepada kronologi kes di
atas, maka jelas bahawa kes ini bukanlah berlaku secara tiba-tiba.
Bukanlah MDPP bertindak secara wewenang dan menonong. Apatah lagi
bertindak di luar kerangka undang-undang negara. Malahan rentetan kes
ini memperlihatkan bahawa notis demi notis telah diberi kepada peniaga.
Pihak berkuasa tempatan telah bertahun
lamanya berbincang dan memberi masa kepada saki baki peniaga yang enggan
berpindah ini. Dan apa pula kaitan dengan kes mahkamah yang kononnya
akan ada injunksi baharu oleh peniaga untuk menghalang MDPP merobohkan
pasar lama ini? Kes itu hanya akan dimulakan pada hari khamis ini. Ia
belum ada keputusan. Belum ada apa-apa injunksi. Justeru atas dasar apa
menuduh MDPP bertindak bertentangan dengan keputusan mahkamah?
Persepsi demi persepsi dibina untuk
mencalarkan imej kerajaan negeri menjelang PRU ini. Nasib peniaga
diperjudikan oleh politikus yang bersifat desperado. Ia harus
menjadi lebih mudah. Pindah sahaja ke Pasar Baharu Siti Hajar. Pakat
meniaga, pakat cari samah seriyal. Lebih bagus daripada menjadi buah
catur pihak tertentu.
Moga pihak peniaga mendapat yang terbaik
dalam 'perjuangan' mereka. Bincang dan cari penyelesaian yang
menguntungkan semua pihak. Kita pakat bina ekonomi Pasir Puteh. Insya
Allah.
NAZMAN CHE IBRAHIM
Tiada ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.