Zahir PAS dekati kerajaan, tapi perasaan PH bersekedudukan BN
Oleh ALANG IBN SHUKRIMUN
SAYA tidak akan sekali-kali
menafikan dakwaan PAS kini lebih lunak dengan kerajaan. Pimpinan PAS
memang kerap menyertai program anjuran kerajaan berbanding dahulu. PAS
juga mengambil sikap tidak menyerang kerajaan semberono tanpa fakta dan
bukti. Selain itu PAS banyak berbincang dengan kerajaan serta
mencadangkan beberapa perkara untuk penambahbaikan pentadbiran negara,
dan sebahagiannya telah pun diimplementasikan oleh kerajaan.
Hal ini kerana PAS memperkenalkan atau
dalam bahasa lebih tepatnya mendokumentasi dan menguatkuasakan konsep
politik baharu yang dikenali sebagai Budaya Politik Matang dan Sejahtera
(BPMS). Politik ini bercanggah dengan budaya politik konvensional yang
menganggap kerajaan sebagai musuh pembangkang. BPMS juga menolak budaya
politik untuk tujuan berebut kuasa semata-mata.
Presiden PAS pernah mengeluarkan
kenyataan bahawa PAS bersedia menjadi penasihat yang bebas kepada
kerajaan. PAS sedia untuk dijemput ke mana-mana agensi mahupun jabatan
yang kebuntuan dalam mencari solusi merawati penyakit negara. Ini kerana
PAS memiliki anggota dari berbagai profesion dan kepakaran. Tetapi
tidaklah bermaksud PAS mendamba posisi khusus dalam kerajaan. PAS lebih
selesa sebagai badan pengimbang kepada kerajaan.
Walau bagaimanapun, PAS sehingga kini
masih belum memiliki apa-apa hubungan rasmi dengan mana-mana parti
pemerintah. PAS membentuk tahaluf bersama parti dan NGO dalam
pakatan Gagasan Sejahtera (GAGASAN). Dengan erti kata lain, PAS menolak
untuk bergabung sama ada dengan BN mahupun PH kerana kedua-duanya pada
masa ini tidak menepati syarat yang diharuskan untuk bertahaluf menurut ijtihad Majlis Syura Ulamak PAS.
Apa yang pelik, puak-puak PH daripada
pemimpin tertinggi hinggalah yang bertaraf macai semuanya memutar
belitkan pendirian PAS ini sebagai helah untuk bergabung dengan Umno.
Dimainkan siang dan malam dengan harapan berjaya memperbodohkan rakyat
dengan persepsi jahat. Setiap kali berucap sama ada di Parlimen, pentas
ceramah, wacana, mahupun dalam tulisan, pasti elemen UG diselitkan.
Hakikatnya, hati dan jiwa PH lebih dekat
dengan BN. Walaupun mereka tampak bermusuh, tapi dari segi perangai dan
perilaku, mereka ibarat adik beradik kembar. Berikut antara sikap
mereka yang boleh dijadikan contoh:
i) BN dan PH kedua-duanya tidak bersih
dari siasatan SPRM. Mengikut dakwaan agensi pencegahan rasuah itu, 71
orang pemimpin BN dan 21 dari PH dalam siasatan mereka antara 2013
hingga 2017. PAS pula 0.
ii) BN dan PH kedua-duanya menukar
Dewan Rakyat menjadi medan maki hamun, mencarut dan haru-biru. Bodoh,
bangang, bacul, apa sahaja ayat yang tidak melambangkan moral dan nilai
Timur boleh didengari di Parlimen. Macam reban ayam pun ada dibuatnya.
Tetapi PAS boleh menukar Dewan Rakyat menjadi bilik kuliah dan wacana
ilmiah.
iii) BN dan PH kedua-duanya berkongsi
matlamat menjatuhkan PAS di Kelantan. Isu Pasar Pasir Puteh digunakan
kedua-dua mereka untuk memburukkan kerajaan negeri. Mengikut kenyataan
Timbalan Menteri Besar, kebanyakan peniaga yang berdegil adalah
penyokong Umno. Tetapi PAN turut menumpang mereka atas tujuan yang sama.
iv) BN dan PH kedua-duanya tidak serius
dalam isu perundangan Islam. RUU355, RUU164, isu murtad, kita boleh
lihat ketidak konsisten kedua pihak ini walaupun majoriti pemimpin
mereka dari kalangan orang Islam. Begitu takut dengan ugutan sebahagian
bukan Islam yang tidak mahu Islam dimartabat.
v) BN dan PH kedua-duanya suka guna
pendekatan lompat parti dan curi kerusi. Masa pilihan raya bertanding
atas tiket parti A, tetapi lepas pilihan raya suka-suka hati tukar parti
pula. Tetapi PAS sangat tidak bersetuju dengan sikap tak bermoral dan
tidak menghormati pengundi ini. PAS mendesak supaya akta anti lompat
parti diperkenalkan.
vi) BN dan PH kedua-duanya mengakui GST
cukai paling efisyen. Keduanya tidak mahu memansuhkan akta GST.
Cadangan PH hanya mahu mengenakan kutipan pada kadar 0 peratus, dan
berkemungkinan akan dinaikkan dari semasa ke semasa. Cadangan terbaharu
PH, mengembalikan cukai SST yang sudah dimansuhkan kerajaan, tetai masih
tidak jelas apakah akta GST akan dimansuh.
viii) BN dan PH kedua-duanya menuduh PAS mempergunakan agama. Tetapi hakikatnya mereka sendiri mempergunakannya. BN sudah pandai bercakap bab taat, wala, yahanana, dan berhasrat tubuh Dewan Ulama. PH pula befatwa berdosa undi PAS. DAP yang sekular itu pun lantik agamawan untuk urus isu agama.
Banyak lagi contoh yang boleh
menunjukkan perkongsian hati dan jiwa kedua gabungan parti politik ini.
Walaupun mereka tampak bergaduh, tetapi dari dimensi lain mereka
sebenarnya begitu dekat. Benci tapi rindu.
Kata orang, biasanya yang selalu
bergaduh akhirnya akan berkahwin. Maka tak mustahil kalau keadaan
mendesak, kedua anjing dan kucing ini boleh berkahwin selepas PRU14
nanti. Politik itu seni seribu kemungkinan.
Tiada ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.