https://critoxium.com/shop/

Terkini

Institusi Islam dalam era Pakatan Harapan

Oleh Prof Madya Dr Shamrahayu A Aziz

HAL-HAL berkaitan institusi Islam antara perkara yang viral di media sosial pasca Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14). Walaupun begitu, sehingga kini tidak banyak kenyataan berkaitan perkara ini disuarakan oleh wakil kerajaan. Saya percaya, kedudukan Islam serta institusinya yang nyata disebut dalam Perlembagaan Persekutuan mendapat perhatian sewajarnya oleh barisan kepemimpinan negara.

Ini berdasarkan pernyataan yang disebut dalam Buku Harapan: Membina Negara Memenuhi Harapan (Buku Harapan). Saya petik beberapa bahagian dalam Buku Harapan untuk ditatapi oleh pembaca.

Antara lain, Buku Harapan menyatakan bahawa;
"Falsafah pentadbiran Pakatan Harapan adalah berdasarkan falsafah dan lunas-lunas Perlembagaan Persekutuan, Rukun Negara, visi yang telah dibawa oleh para pejuang negara... Matlamat ini terangkum dalam Maqasid Syariah (matlamat Syari'ah yang lebih tinggi) buat memandu program pembangunan negara yang akhirnya memberi rahmat dan keadilan untuk seluruh rakyat Malaysia".

"Pakatan Harapan mengulangi ikrar yang telah termaktub dalam Perjanjian Pakatan Harapan (9 Januari 2016) iaitu akan: Mempertahankan Perlembagaan Persekutuan; Islam sebagai agama bagi Persekutuan dan agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman dan harmonis di negara ini sejajar dengan Perkara 3; serta melindungi kedudukan istimewa orang Melayu dan Bumiputera Sabah serta Sarawak dan kepentingan sah kaum-kaum lain yang sejajar dengan Perkara 153... Mempertahankan peranan dan tanggungjawab institusi Raja Berperlembagaan".

Perincian kepada petikan di atas didapati pada halaman 45 hingga 47 dan janji ke-11 PH untuk "Mengembalikan maruah orang Melayu dan institusi-institusinya".

Antara lain, dinyatakan pada halaman 45 bahawa "Kuasa Raja-Raja Melayu dalam mentadbir agama dan adat istiadat Melayu akan dikembalikan ke negeri-negeri dan campur tangan Kerajaan Pusat akan dihentikan".

Pentadbiran berdasarkan keadilan, maqasid syariah

Berdasarkan petikan dari Buku Harapan di atas, adalah didapati bahawa PH berjanji untuk melaksanakan sebuah pentadbiran yang berdasarkan kepada keadilan dan maqasid syariah dengan mengambil perhatian mengenai kedudukan Islam sebagai agama bagi negara dan mengiktiraf kebebasan beragama dengan formula aman dan harmonis.

Buku Harapan juga menyatakan ikrar untuk menjaga keistimewaan Melayu dan Anak Negeri Sabah dan Sarawak serta kepentingan sah komuniti lain seperti yang diiktiraf oleh Perkara 153.

Mengenai Islam, seperti yang kita dapati pada prinsip dan peruntukan Perlembagaan Persekutuan, terutama dalam Perkara 3(2), Islam adalah urusan negeri dan Islam adalah terletak hak pada raja bagi negeri, sama ada dalam hal perundangan serta pentadbirannya.

Bagi negeri yang tidak mempunyai Raja (Melaka, Pulau Pinang, Sabah dan Sarawak) dan Wilayah Persekutuan (Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya), hal ehwal Islam adalah terletak hak kepada Yang di-Pertuan Agong dan Parlimen adalah badan perundangan berkaitan Islam bagi Wilayah Persekutuan.

Secara umumnya, apa yang dinyatakan dalam Buku Harapan tidak mengecewakan kedudukan Islam dan institusi berkaitan Islam, terutama institusi beraja.

Adalah jelas, dari dulu sehingga kini bahawa kedudukan Islam di negeri tidak menjadi persoalan besar kerana ia adalah manifestasi kepada persetujuan yang disepakati institusi beraja.

Ia dengan jelas sekali dimaktubkan dalam Perlembagaan Persekutuan.

Jaminan kedudukan Islam

Jaminan yang diberikan kepada kedudukan Islam di negeri serta jaminan supaya Islam dinaungi Raja, menunjukkan kerajaan amat memahami kedudukan Islam serta peranan yang perlu dimainkan oleh raja-raja bagi negeri sebagaimana diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan.

Kesan baik daripada pendekatan ini ialah ia akan mengurangkan kebarangkalian bahawa hal berkaitan Islam dijadikan bahan untuk memancing undi atau menjadikan Islam sebagai subjek kepartian dalam arena politik.

Justeru, kesan daripada pendekatan ini di peringkat kerajaan bagi setiap negeri ialah, negeri juga hendaklah mengambil inisiatif dalam pentadbiran negeri masing-masing agar peranan dan fungsi Raja berkaitan Islam, sentiasa dihormati pimpinan negeri.

Dalam merealisasikan kuasa dan fungsi Raja mengenai agama Islam di negeri, ia juga memerlukan komitmen tinggi daripada kerajaan negeri mengenai hal ehwal Islam dengan memberi penghormatan kepada Raja sebagai Ketua Agama Islam.

Dalam menggubal dasar pentadbiran di negeri, hendaklah juga mengambil kira dan memberikan kepentingan kepada kedudukan institusi beraja dalam hal berkaitan Islam.
Tiada campur tangan politik

Secara jelasnya juga, semua institusi Islam adalah bertanggungjawab secara langsung kepada institusi beraja dan seharusnya tiada campur tangan politik dalam pelaksanaan Islam secara pentadbiran atau perundangan.

Oleh itu, dalam realiti pelaksanaan fungsi dan kuasa institusi Islam pada peringkat negeri, ia perlu dilaksanakan dengan cekap dan berwibawa agar kuasa yang berada di bawah naungan Raja tidak dipandang serong dan menjadi bahan bicara negatif mana-mana pihak.

Institusi Islam, termasuk institusi pentadbiran, perundangan dan pendidikan, seperti Majlis Agama Islam, Jabatan Agama Islam, Jabatan Mufti dan Mahkamah Syariah semestinya mempunyai peranan masing-masing untuk menunjukkan martabat sebenar agama Islam.

Pada masa sama, ia mengangkat kemuliaan institusi beraja sebagai institusi yang menaungi agama Islam.

Sementara itu, undang-undang Islam dan fatwa di negeri perlu diberikan nafas baharu.

Ini termasuk proses penambahbaikan perundangan dan juga reformasi dalam proses penguatkuasaan undang-undang Islam. Perkara serupa perlu berlaku dalam hal berkaitan pendidikan Islam.

Semua ini perlu diperkasakan di negeri dan Raja perlulah memainkan peranan utama dalam menggerak dan merealisasikan kedudukan Islam di negeri-negeri.

Mengenai jaminan Kerajaan Persekutuan terhadap kedudukan Islam dan institusi beraja, sudah tentu sebagai rakyat, kita membaca dan menghayati janji berkaitan.

Sudah tentu kita amat mengharapkan agar kerajaan berterusan menjaga kedaulatan institusi beraja, kedudukan Islam sebagai agama negara serta memastikan semua institusi Islam berjalan seperti dihasratkan Perlembagaan Persekutuan di bawah naungan Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja.

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.