Perkukuhkan hubungan dua hala - Dr Samsuri
Oleh KHAIRUL AZLAM MOHAMAD
DUNGUN: Pertemuan
tidak rasmi dalam kunjungan hormat oleh Presiden PAS, Dato' Seri Tuan
Guru Abdul Hadi Awang dan Menteri Besar Terengganu, Dr Ahmad Samsuri
Mokhtar kepada Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad adalah bagi
mengukuhkan hubungan dua hala.
Sehubungan itu, Dr Samsuri berkata,
pihaknya berbesar hati dengan penerimaan Tun Dr Mahathir secara positif
pada pertemuan di Yayasan Kepimpinan Perdana Putrajaya
itu kelmarin.
Menurutnya, dalam pertemuan pertama tidak rasmi itu tiada agenda khusus yang dibincangkan antara kedua-dua pihak.
"Pertemuan itu adalah pertemuan tidak
rasmi dan kunjungan itu tidak ada apa-apa agenda khusus. Apa pun, kami
amat berbesar hati atas penerimaan Tun Dr Mahathir Mohamad.
"Apa yang pentingnya ialah bahawa
keperluan untuk kita (PAS) perkasakan, perkukuhkan hubungan antara
kerajaan negeri dengan Kerajaan Pusat.
"Hubungan itu haruslah, walaupun
mungkin berlaku perbezaan politik dan suasana politik Malaysia sekarang
ini sangat unik sebenarnya. Bukan Terengganu sahaja yang mempunyai
perbezaan pentadbiran politik dengan Kerajaan Persekutuan. Ada beberapa
negeri yang lain.
"Keperluan menjalinkan hubungan yang
lebih baik. Alhamdulillah, kami di peringkat kerajaan negeri Terengganu
membawa mesej, kami amat menghargai akan peranan, hubungan yang perlu
diperkukuhkan antara kerajaan negeri dengan Kerajaan Pusat.
"Alhamdulillah, Tun (Mahathir) juga memberi respon
yang sangat positif. Kita ingin membina negeri dan negara ke hadapan.
Perkara yang lepas itu sudah lepas, dan kita ingin membina (negara) ke
hadapan," jelasnya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui
media pada Majlis Kesyukuran dan Berbuka Puasa Bersama Menteri Besar
Terengganu di Masjid Hadhari, Paka, di sini kelmarin.
Ditanya adakah Kerajaan PAS Terengganu
membincangkan isu tuntutan royalti, Dr Ahmad Samsuri memaklumkan
pihaknya, belum bersedia mendedahkan apa-apa perbincangan itu kepada
pihak media.
Tiada ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.