Iktibar daripada Perancis
Oleh MOHD NASIR ABDULLAH
MUNGKIN ramai yang
menyokong Perancis pada final Piala Dunia dua hari lalu. Sama ada
sememangnya menyokong daripada awal, ataupun menjadi sebahagian daripada
lalang-lalang yang meliuk lentok ditiup angin. Biarkanlah, ianya hanya
untuk suka-suka. Tiada satu sen pun yang mereka hulurkan kepada anda,
sama ada penyokong asli tegar, mahupun penyokong tiruan selepas mereka
menang.
Namun di sebalik semua itu, saya yakin
dan percaya, terutama kepada golongan muda, mereka tidak mengetahui
beberapa peristiwa menarik berkenaan pasukan Perancis ketika mereka
mempunyai satu pasukan yang kuat, tetapi gagal melayakkan diri ke Piala
Dunia pada tahun 1994 di Amerika. Cerita yang menarik, dengan nama dan
watak-watak yang sangat terkenal, terbabit di dalam pertelingkahan itu
sehingga mengecewakan seluruh rakyat Perancis dan peminat mereka.
Eric Cantona dan David Ginola, dua watak
utama dalam pertelagahan di dalam pasukan kendalian Gerald Houllier
itu. Pada ketika itu, Perancis menduduki kumpulan yang dianggap mudah
bersama Bulgaria dan juga Israel, sebuah pasukan kerdil dan tidak pernah
menang dalam kumpulan itu. Maka dengan keyakinan tinggi, Perancis pasti
akan mara ke Piala Dunia. Kisah kekecewaan itu bermula apabila Perancis
hanya perlu paling kurang satu seri. Maka pertemuan kedua-duanya itu
adalah bertemu Israel dan Bulgaria di Paris.
Secara tiba-tiba, Perancis kalah kepada
Israel di Paris. Pasukan yang turut dibintangi Jean Pierre Papin, Didier
Dechamps (Pengurus Perancis sekarang), Lilian Thuram, Benard Lama dan
ramai lagi, dikutuk oleh peminat mereka sendiri. Mereka sedar, mereka
mesti bangkit. Kali ini, Bulgaria bakal menjadi mangsa ledakan kemarahan
mereka. Tibalah hari penentuan dengan Bulgaria. Pada minit ke 89,
Perancis masih seri dengan 1-1. Bola berada di kaki David Ginola. Di
sebalik Ginola boleh melambat-lambatkan permainan, beliau memilih untuk
menyilang bola ke arah gol Bulgaria, tanpa ada pemain Perancis.
Hasilnya, bola itu dirampas oleh pemain
Bulgaria dan dalam masa yang singkat, mereka berjaya menyumbat gol
kemenangan. Sumpah seranah oleh Houllier tertuju kepada Ginola.
Perbalahan dalam pasukan mereka kian membarah. Ginola kemudiannya
mendakwa Papin dan Cantona mendapat kedudukan istimewa di sisi Houllier.
Walhasilnya, kerana bermusuh, tidak mengendahkan semangat profesional,
maka yang kalah dan menanggung malu, bukan sahaja mereka, malah seluruh
rakyat dan peminat Perancis.
Bersambung lagi kisah mereka di Euro 96
di England. Masih membenci sesama sendiri, mereka membuatkan kepala
jurulatih Aime Jacque pening. Masing-masing mendakwa merekalah bintang
bagi pasukan Perancis. Dakwa Cantona, jika dia dipilih, Ginola mesti
keluar. Begitu juga sebaliknya di pihak Ginola. Akhirnya kedua-duanya
disingkirkan daripada skuad, satu tindakan berani oleh jurulatih bagi
menyelamatkan keadaan daripada menjadi lebih parah. Akhirnya dua tahun
berselang, Perancis berjaya merangkul kejuaran Piala Dunia buat kali
pertamanya. Ini adalah secebis sejarah bola sepak Perancis.
Pada malam Final Piala Dunia
yang lalu, di dewan makan tempat saya bekerja, kelihatan satu kelompok
kawan Muslim saya daripada Algeria yang memilih duduk di hadapan skrin
TV bagi menyaksikan perlawanan itu. Sorakan yang agak kuat daripada
mereka, membuatkan saya tersenyum melihat kesungguhan mereka bersorak.
Lantas saya hampiri mereka, pasukan manakah yang disokong mereka. Secara
jama'ei mereka menjawab Croatia. Kenapa tidak Perancis? Saya
sekadar menguji. Mereka benci Perancis. Ini boleh difahami kerana mereka
pernah dijajah oleh Perancis. Maka sorakan mereka berterusan apabila
Croatia menjaringkan gol. Gembira sungguh mereka. Bagaikan berjaya
membedil Perancis apabila Croatia menyumbat gol.
Tetapi di dalam kebencian mereka
terhadap Perancis yang kafir itu, mereka sendiri tidaklah mengamalkan
ajaran Islam yang sebenarnya. Mereka ini, ada yang tidak solat, ada yang
memakai rantai emas. Tidak kita lupa bagaimana FIS, sebuah Parti Islam
di Algeria suatu ketika dahulu pada awal 90-an telah dibunuh
beramai-ramai oleh Kerajaan Algeria. Di hadapan mereka kejadian
pembunuhan itu berlaku dan mereka, sebahagiannya masih menyalahkan FIS
sebagai dalang. Mereka membenci Perancis sebagai penakluk negara mereka,
tetapi mereka memilih juga kumpulan yang tidak membawa mereka kepada
jalan Allah.
Beginilah di mana-mana sahaja, sikap orang Islam yang keliru dalam mengenali yang mana satukah yang dipanggil Hizbullah.
Mereka gagal kerana tidak mahu mengambil al-Quran dan Hadis sebagai
panduan hidup. Maka mereka terselamat daripada mulut harimau, dan sedang
mara ke arah mulut buaya. Begitu juga dengan sikap
cendikiawan-cendikiawan Islam yang bertelagah sesama mereka. Adakalanya,
sudah hampir satu pasukan Islam kepada matlamatnya, maka ditarik oleh
kumpulan Islam yang lain. Saling tak tumpah seperti yang berlaku kepada
Cantona dan Ginola itu. Islam juga yang kalah dan dilihat buruk.
Maka di Malaysia ini juga tidaklah jauh
ceritanya dibanding dengan rakyat Algeria itu. Bencinya mereka kepada
BN, akhirnya sujud menyembah PH yang lebih teruk. BN memerlukan puluhan
tahun untuk menipu, kerana diakui politikus, pada zaman awal
kemerdekaan, Tunku Abdul Rahman tiadalah berbuat onar. Tetapi PH, hanya
memerlukan kurang tiga bulan, sudah cukup mengharukan rakyat. Bagaimana
benci dan meluatnya rakyat kepada BN dahulu, sekarang pun sudah ada yang
kesal dengan pilihan mereka.
Tetapi rakyat masih belum mahu mengubah
untuk memilih Parti Islam PAS yang sudah terbukti tiada penyelewengan
kerana dahsyatnya fitnah yang disebarkan walaupun sehingga kini, masih
belum terbukti. Dan sekarang PAS, walaupun difitnah, telah dan sedang
bekerja keras melaksanakan janji-janji manifesto kerana pengkhianat
kepada janji adalah munafik. Takutnya PAS kepada Allah, berusaha dengan
sedaya mungkin melaksanakannya.
Walaupun buku Manifesto PAS bukannya
Kitab Suci, tetapi janji tetap janji, sama ada di mulut atau pada
tinggalan dakwat, sama ada kepada Muslim atau Kafir, asalkan janji itu
tidak melanggar hak Allah, ia wajib dilaksanakan kerana akan disoal
Allah di akhirat nanti. Maka sokong PAS ialah sebagai jalan keluar
terbaik daripada penipuan politik di Malaysia. Rakyat mesti berani
membuang kedua-dua BN dan PH sebagaimana jurulatih Perancis berkorban
mengenepikan Cantona dan Ginola untuk meraih kemenangan yang lebih
besar.
Al-Khor, Qatar




Tiada ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.