Umno-PAS: Penganalisis Politik mendahului Tuhan?
Oleh DR KAMARUL ZAMAN YUSOFF
HEBAT sungguh sahabat
saya Dr Mazlan Ali, Pensyarah Kanan Bahagian Politik dan Dasar Awam
Fakulti Perdana, Universiti Teknologi Malaysia (UTM), penganalisis
politik yang berasal dari Terengganu, dalam memberi komen mengenai
kerjasama Umno-PAS.
Selalunya paling tinggi pun penganalisis
politik lain hanya akan berani membuat unjuran atau jangkaan mengenai
prestasi parti-parti politik untuk tempoh lima tahun sahaja, contohnya
kesan kerjasama Umno-PAS ke atas prestasi mereka dalam PRU15 lima tahun
lagi.
Bagaimanapun, hebatnya Dr Mazlan Ali ini
sehingga beliau boleh membuat ramalan spesifik bahawa “Umno dan PAS
bakal menjadi pembangkang untuk tempoh 61 tahun lagi sekiranya gabungan
dua parti terbesar orang Melayu dan Islam itu benar-benar berlaku".
Kata beliau kepada portal berita Malaysia Date Line
semalam, Umno dan PAS akan hancur ekoran kerjasama mereka itu di mana
“terdapat lima faktor mengapa gabungan Umno dan PAS itu akan
menguntungkan Pakatan Harapan dan bakal menghancurkan Umno-PAS”.
Salah satu daripada faktor yang
dinyatakan oleh Dr Mazlan Ali adalah “PAS dilihat sebuah parti yang
ekstrem” di mana kehadiran pemimpin PAS di pentas MCA dalam PRK Balakong
contohnya disifatkan sebagai punca calon MCA mengalami kekalahan dalam
PRK itu.
Tidak pula Dr Mazlan Ali pertimbangkan
kenyataan Penasihat DAP, Lim Kit Siang, dan kenyataan bekas Ahli
Parlimen Jelutong dari DAP, Jeff Ooi, bahawa calon MCA akan kehilangan
wang deposit jika MCA tidak mendapat bantuan daripada pemimpin PAS dalam
PRK itu.
Kata Dr Mazlan Ali lagi: “Hanya Melayu
luar bandar atau desa atau FELDA sahaja yang tertarik dengan isu yang
menjadi teras perjuangan Umno-PAS mutakhir ini. Kebergantungan terhadap
pengundi luar bandar sahaja tidak memungkinkan Umno-PAS mampu menawan
Putrajaya.”
Tidak juga Dr Mazlan Ali pertimbangkan
kenyataan penganalisis politik dari UIA, Dr Tunku Mohar Tunku Mohd
Mokhtar, yang berkata kepada portal berita The Malaysian Insight “terdapat tanda-tanda yang kerjasama Umno-PAS akan memberi manfaat kepada kedua-dua pihak”.
Begitu juga dengan kenyataan wartawan veteran, Zin Mahmud, dalam portal berita Free Malaysia Today
bahawa BN-PAS boleh memenangi Putrajaya, mempertahankan Perlis,
Kelantan, Terengganu dan Pahang tetapi juga menawan Kedah, Perak dan
Melaka.
Kata Zin Mahmud, gelombang konservatif
populis yang menjadi pendekatan BN-PAS ini “menang banyak pilihan raya,
dari Donald Trump di Amerika Syarikat hingga ke Brexit di Eropah” dan
adalah suatu yang tidak mustahil perkara sama boleh berlaku di Malaysia.
Pelik juga bila difikirkan apa perlunya
pihak-pihak tertentu memberikan reaksi yang terlalu keras terhadap
kerjasama Umno-PAS ini jika benar kerjasama ini akan menguntungkan
Pakatan Harapan dan bakal menghancurkan Umno-PAS seperti yang mereka
dakwa.
Penasihat DAP, Lim Kit Siang, umpamanya
sampai boleh menuduh, dalam bentuk pertanyaan, bahawa para pemimpin PAS
di bawah Datuk Seri Abdul Hadi Awang, kini memperjuangkan kleptokrasi
Islam bila bekerjasama dengan para pemimpin Umno.
Tiada ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.