https://critoxium.com/shop/

Terkini

Selamat Datang Anwar Ke Parlimen

Oleh Mohd Sayuti Omar

 Anwar Ibrahim akan mulai melangkah ke parlimen dan berada dalam dewan bersama 221 ahli parlimen lain. Anwar duduk sebagai ahli parlimen biasa dari Port Dickson.

Dengan menerima pengakuan Anwar untuk melakukan reform ke atas parlimen agar bergerak sejajar dengan semangat dan iltizam kerajaan Harapan, diharap beliau mampu melakukannya.

Reform parlimen bermakna memperbaiki apa-apa undang-undang, polisi dan dasar kerajaaan yang tertakluk dibawah bidang kuasa parlimen. Isu rasuah, penyelewengan, governance dan sebagainya pasti akan menjadi keutamaan. Untuk ini mungkin Anwar dilantik menjadi Pengerusi khas kepada apa-apa badan bersabit itu di peringkat parlimen.

Perkara lain yang diharapkan juga, antaranya mahu melihat perjalanan mesyuarat parlimen berjalan dengan tertib, penuh profesional dan kurang perbahasan mencemarkan dewan. Anggota dewan pula dapat dibimbing agar berfungsi sepantasnya. Anwar boleh lakukan memandangkan beliau mempunyai pengalaman luas serta kualiti kepimpinan bertaraf world class.

Sepatah ucapannya semasa menyambut kemenangan malam semalam, beliau menyebut antara yang perlu dilakukan ialah menggilap idealisme kepimpinannya. Kita percaya kalau semua sepakat untuk berubah, sidang parlimen negara nanti akan menjadi sebuah persidangan yang akan dihormati oleh dunia.

Untuk mencapai ini tidak sukar kalau semua wakil rakyat menumpukan kepada tanggungjawab masing-masing, menginsafi keberadaan mereka di situ, menggunakan dewan benar-benar sebagai ruang untuk bermesyuarat demi rakyat dan tidak dijadikan ruang untuk menunjukkan belang kesombongan, menunjukkan kebabilan mulut, atau pun disendaki dengan jenaka-jenaka meloyakan, yang kontras dengan kedudukan setiap anggota itu sebagai anggota dewan yang mulia.

Kepada Anwar diucapkan selamat datang, dan walaupun tanpa jawatan rasmi dalam kerajaan, tetapi keberadaan beliau bersama Dr Mahathir, Zahid Hamidi, (Ketua Pembangkang) Abdul Hadi Awang, Lim Kit Siang dan Najib Razak boleh mengapai apa yang diharapkan itu. Trims

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.