https://critoxium.com/shop/

Terkini

Kita ada 12 tahun untuk selamatkan dunia

Oleh HUZIR SULAIMAN

 DALAM laporan 700 muka surat Panel Antara Kerajaan tentang Perubahan Cuaca (IPCC) kepada Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) yang didedahkan di Incheon Korea Selatan 7 Oktober baru-baru ini, laporan itu mendedahkan kesan dan akibat dari peningkatan suhu sebanyak 1.5 darjah Celcius kepada dunia.

Antaranya ialah kenaikan paras air laut, kehilangan terumbu karang, kematian spesis marin yang semakin banyak, musim kemarau, kepanasan melampau dan ribut taufan yang lebih teruk dari apa yang kita sedang alami pada hari ini. Akibat dari keadaan itu juga adalah peningkatan kadar penyakit dan kemiskinan yang akan bergerak seiring dengan peningkatan suhu dunia.

Oleh kerana itu, untuk memastikan kenaikan suhu dunia itu tidak mencecah 1.5 darjah Celcius, pelepasan gas rumah hijau di peringkat global perlu dikurangkan sebanyak 45 peratus menjelang tahun 2030. Antaranya ialah mengurangkan penggantungan kita terhadap arang batu sebanyak 1/3 dari jumlah yang sedang kita gunakan di seluruh dunia.

Beberapa fakta yang ingin saya kongsikan pada hari ini berkenaan peningkatan suhu global adalah seperti berikut:
●     Semenjak tahun 1880-2012, purata peningkatan suhu global sudah meningkat sebanyak 0.85 darjah Celcius. 
●     Untuk setiap kenaikan 1 darjah Celcius, hasil pertanian akan berkurangan sebanyak 5 peratus. Sebagai contoh pengurangan hasil pertanian utama sebanyak 40 megatan semenjak tahun 1981 sehingga tahun 2002 akibat cuaca yang semakin panas.
●     Suhu laut semakin panas, jumlah salji dan ais semakin berkurangan dan paras air laut semakin meningkat.
●     Semenjak tahun 1901 sehingga tahun 2010, purata paras air laut global meningkat sebanyak 19cm. Keluasan kawasan ais di benua Artik sudah berkurangan sebanyak 1.07 juta kilometer persegi dalam tempoh setiap 10 tahun semenjak tahun 1979.
●     Peningkatan paras air laut dijangka akan terus meningkat sebanyak 24-30cm menjelang tahun 2065 dan 40-63cm menjelang hujung abad ini.
●     Pelepasan CO2 telah meningkat sebanyak 50 peratus semenjak tahun 1990.

Untuk memastikan peranan Malaysia dalam mengekang peningkatan suhu dunia ini, pada 16 November 2016, Kerajaan telah meratifikasikan Perjanjian Paris 2015 di New York bersama-sama 175 buah Negara yang lain untuk mengurangkan 45 peratus pelepasan gas rumah hijau menjelang 2030 di mana 10 peratus daripadanya adalah bersyarat melalui pemindahan teknologi dan bantuan kewangan.

Walaupun begitu, selepas 2 tahun sudah berlalu semenjak ratifikasi itu, kita dimaklumkan berdasarkan ucapan YAB Tun Dr Mahathir Mohamad dalam pembentangan usul mengenai Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-11 Oktober baru-baru ini, Pelan Tindakan Mitigasi Nasional akan disediakan termasuk merangka langkah adaptasi perubahan iklim di seluruh Negara.
Tidak adakah Pelan Tindakan Mitigasi Nasional dan Langkah adaptasi perubahan iklim yang diperkenalkan dalam tempoh 2 tahun semenjak ratifikasi Perjanjian Paris 2015 itu?

Oleh kerana itu, Lajnah Asas Tani dan Alam Sekitar PAS Pusat (LATAS) ingin mendesak agar Kerajaan baru di era Malaysia Baru ini dapat mendedahkan prestasi dan pencapaian Pelan Tindakan Perubahan Iklim Jangka Masa Panjang atau "Nationally Determined Contributions" (NDC) yang telah diserahkan kepada Konvensyen Rangka Kerja Pertubuhan Bangsa Bersatu mengenai Perubahan Iklim (UNFCCC) pada 27 November 2015 yang lalu.

Sejauh manakah sasaran Nasional telah dicapai bagi mengurangkan pembebasan karbon di Negara ini?

Walaupun kecewa dengan Tindakan Amerika Syarikat di bawah pentadbiran Presiden baru Donald Trump yang menarik diri dari Perjanjian Paris 2015 setahun yang lalu, LATAS berharap Kerajaan baru yang sedia ada dapat bergerak dengan lebih agresif dari Kerajaan yang lalu dalam memenuhi sasaran tahun 2030 agar peningkatan suhu dunia sebanyak 1.5 darjah Celcius dapat dielakkan demi keselamatan dan kebajikan Rakyat Malaysia khususnya.

Gunakanlah peluang sebaik-baiknya pada bulan hadapan di Persidangan Iklim Katowice di Poland untuk memperjuangkan misi dan sasaran ini kerana tempoh 12 tahun bukanlah tempoh masa yang lama.

(Penulis adalah Ahli Jawatankuasa Lajnah Asas Tani dan Alam Sekitar PAS Pusat (LATAS)) -

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.