https://critoxium.com/shop/

Terkini

Najib ke China saja, Mahathir ke Jepun

Oleh SUBKY LATIF

 DALAM masa kurang daripada enam bulan berkuasa semula sudah tiga kali Perdana Menteri Mahathir pergi ke Jepun. Jika dia berundur dalam masa dua tahun seperti yang disebutnya, berapa kali agaknya dia ke Jepun. Dan kalau digenapkan tempoh lima tahun, tak terbilang kita berapa kali dia ke negeri matahari terbit itu.

Manakala Najib pula selama sembilan tahun jadi Perdana Menteri, sekejap-sekejap ke China, sekejap-sekejap ke China. Berapa kali? Tidak terbilang. Mungkin tidak banyak sangat, tetapi kekerapannya ke Tongsan itu dikira banyak bagi seorang Perdana Menteri sebuah negara.

Jika setahun sekali, sembilan tahun, dikira banyaklah tu.

Mujur tidak sampai macam Norodom Sihanouke, mendiang raja Kampuchea dulu. Bukan saja terlalu kerap ke Beijing, malah selalu tinggal lama di sana, tidak salah kalau ada yang mengibaratkan lebih lama di Beijing daripada dalam negeri.

Jika Najib begitu, maka teruk sangatlah. Lainlah jika dia ada penyakit yang perlukan rawatan China, seperti Sihanouke dulu.

Mungkin dia seperti ayahnya Tun Razak yang saya kira mengkagumi Mao Zedung. Saya mengikutinya ke acara normalisasi diplomat Malaysia-China suku kedua tahun 70-an dulu. Mao berada dalam kemuncak keagungannya terutama kumpulan Kata-Kata Mao yang mesti dihafal oleh setiap pemimpin dan rakyatnya.

Setiap tempat yang Tun kunjungi, dia akan ulas perkembangan di situ sesuai dengan apa yang Mao kata dalam kumpulan kata-katanya. Mao masa itu masih sensitif bagi politik Malaysia. Saya takjub apa jadi pada Tun sekejap-sekejap menyebut Mao kata begitu dan begini.

Adapun Najib agaknya demi mendapatkan sebanyak-banyak pelaburan dari rejim yang suka menabur kepada negara miskin di Asia dan Afrika.

Dalam bahasa diplomasi, pemimpin selalu keluar negeri bagi mendapatkan pelaburan dikira menjual negaranya bagi beroleh banyak pelaburan luar. Tentang pelaburan China di bawah Najib ada yang kata Malaysia seperti betul-betul dijual seperti Singapura dijual kepada British dulu.

Bagi Mahathir sejak jadi Perdana Menteri, memandang ke timur saja. Yang terpandangnya Jepun saja. Semuanya mesti belajar dari Jepun; akademiknya, cara bekerjanya, budayanya, hidup dan jaganya. Cuma khutbah Jumaat tidak dalam bahasa Jepun.

Pelaburan adalah ditagih sangat. Banyak juga pelaburan yang diperolehi, tapi rasanya tidak sampai menjual negeri kepada Jepun seperti menjualnya kepada China.

Kajian terus dibuat apa Malaysia dapat dari pandang ke Jepun? Mungkin semuanya memandang saja Jepun. Budaya kerjanya tidak. Yang membuat kerja bagi orang Malaysia ialah orang Bangladesh, Indonesia, Nepal dan lain-lain.
Hingga orang atas pun berebut-rebut menjual izin kerja kepada abang Bangla.

Mungkin yang hendak diambil dari Jepun itu terganggu kerana tempoh 2003 hingga 2018 kuasa terlepas dari Mahathir. Apa yang Mahathir mahu tidak bagai yang dia mahu. Hingga Malaysia tidak memandang ke timur tetapi memandang ke Teluk Bangla.

Sekarang dia balik memerintah, mahu Wawasan 2020 yang diasasnya khatam di bawahnya. Maka tidak membuat masa, jika ada masa hendak ke Jepun saja.

Jepun dikatakan sedia bagi pinjam bagi menyelesai/meringan timbunan yang ada sekarang. Jepun pun setuju timbang adakan universiti Jepun di sini yang boleh memfasihkan bahasa Melayu graduannya sama dengan fasih Jepun dan Inggerisnya.

Najib ke timur juga, tapi sebelah China. Mahathir ke timur Jepun. Kerana pandang ke timur itu cetusan original Mahathir, tafsiran Mahathir yang terpakai. Pandang ke timur kembali ke Jepun.

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.