https://critoxium.com/shop/

Terkini

Bagi PAS dan Umno, PRU14 tragedi buat Melayu, Islam

Malam tadi menandakan kali pertama Presiden PAS Abdul Hadi Awang dan pemangku Presiden Umno Mohamad Hasan bergandingan dalam satu pentas ceramah.

Bertempat di kubu kuat PAS di Felda Sungai Koyan, mereka menyifatkan PRU ke-14 - yang mana BN buat kali pertama hilang kuasa - sebagai tragedi buat orang Melayu dan Islam.

"Kita menyaksikan PRU ke-14 yang menjadi pukulan dahsyat kepada umat Islam di Malaysia.
"Tidak semena-mena, umat Islam yang menjadi majoriti besar di negara ini, menjadi tulang belakang politik Malaysia, memilih kerajaan yang didominasi bukan Islam. Sangat malang bagi mereka," kata Hadi di program Pentas Perdana malam tadi.

Mohamad pula mendakwa Malaysia bawah pentadbiran Pakatan Harapan (PH) menyaksikan orang Melayu dan Islam telah diperlekehkan.

"Selepas 9 Mei, iklim politik negara kita sudah berubah... Bangsa kita diperlekehkan, agama kita diperkecilkan.

"Sehingga ketika baca doa pun mesti baca (doa) lima agama, mereka kata ini untuk menyamaratakan agama-agama dalam negara ini.

"Ini kita amat kesali kerana tiada mana-mana agama yang boleh disamakan dengan Islam," katanya lagi.
Mohamad yang juga bekas menteri besar Negeri Sembilan kemudian mendakwa kini ada usaha untuk menutup sekolah tahfiz.

"Sehinggakan usaha dilakukan untuk menutup sekolah tahfiz, kerana (dikatakan) di situlah ada anasir yang boleh memecahbelahkan rakyat pelbagai kaum.

"Tetapi mereka tak tanya pula mengapa SJK (sekolah jenis kebangsaan) masih bertambah. Di situlah kebencian terhadap orang Melayu disemai," katanya lagi.

Mahathir boneka DAP

Mereka juga menjelaskan kepada hadirin mengapa DAP tidak boleh dipercayai.

Calon PH pada PRK Cameron Highlands, M Manogaran adalah daripada DAP, sementara BN mencalonkan bekas pegawai polis daripada masyarakat Orang Asli, Ramli Mohd Nor.

Mohamad menyifatkan parti itu sebagai "musuh" yang "tiada perasaan belas ihsan terhadap orang Melayu dan agama Islam".

"Ingatlah DAP ini musuh kita... Mahu negara ini mengamalkan dasar sama rata - agama, bahasa dan kerakyatan (dengan) hak sama. Tiada hak istimewa (seperti) yang wujud dalam Perlembagaan kita," katanya.
Malah, katanya lagi, Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad hanyalah boneka parti komponen PH itu.

"Apa boleh buat, perdana menteri kita datang dari parti yang tidak kuat," katanya merujuk kepada Bersatu yang memiliki kerusi parlimen jauh lebih sedikit berbanding DAP dan juga PKR
.
DAP tak ada konsep dosa dan pahala

Abdul Hadi pula berkata pengundi perlu menolak DAP kerana parti itu tiada konsep dosa dan pahala.
"Masalah dosa dan pahala tiada dalam DAP dan parti bukan Islam. Kita mesti pilih (pihak) yang ada konsep ini.

"Orang Melayu dan Islam wajib - bukan sunat lagi - memilih wakil yang membawa suara Islam," katanya.

Program itu disertai kira-kira 1,000 hadirin yang rata-ratanya memakai pakaian berwarna hijau - warna yang sinonim dengan PAS.

PAS sekali lagi tidak bertanding dalam PRK bagi memberi laluan kepada BN. Program malam tadi merupakan acara terbesar yang melibatkan kedua-dua pihak setakat kempen ini.

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.