Kemasukan Sheikh Omar akan menjahanamkan YADIM
Oleh Ahmad Albab
KATA Menteri di Jabatan
Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof, pelantikan Adun DAP
Paloh, Sheikh Omar Ali sebagai anggota lembaga pemegang amanah Yayasan
Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) tidak sepatutnya mencetuskan
kontroversi kerana pemilihannya dibuat berdasarkan kelayakan
dimilikinya.
Kata Datuk Seri Dr Mujahid lagi: “Sheikh
Omar dilantik atas kelayakannya sebagai seorang yang ada latar belakang
agama. Tidak ada persepsi (negatif), dia seorang Muslim, ada merit dan
dia juga ada sumbangan idea yang baik sebelum ini. Dia seorang aktivis
dengan pemahaman Islam yang jelas.”
Kita tidak pernah menafikan kelayakan
dimiliki Sheikh Omar yang disebut-sebut sebagai mendapat pendidikan
peringkat ijazah dalam bidang Usuluddin di Universiti Malaya (UM) dengan
pengkhususan dalam dakwah.
Yang kita persoalkan ialah kedudukan
Sheikh Omar sebagai wakil DAP dalam YADIM dan dakwaan Datuk Seri Dr
Mujahid bahawa Sheikh Omar adalah “seorang aktivis dengan pemahaman
Islam yang jelas.”
Tujuan penubuhan YADIM, iaitu untuk
menyelaraskan kegiatan badan-badan dakwah serta NGO agar berjalan
seiring dan sejajar dengan dasar negara serta menjadi pemangkin ke arah
penyebaran dakwah di Malaysia, terang-terang bercanggah dengan tujuan
penubuhan DAP, iaitu untuk mewujudkan sebuah negara Sekular di Malaysia.
Dalam negara Sekular DAP, urusan agama,
termasuk urusan dakwah, tidak boleh dijadikan urusan negara kerana bagi
DAP urusan agama begini adalah urusan peribadi rakyat Malaysia manakala
YADIM pula adalah sebuah institusi negara untuk menyelaraskan serta
menjadi pemangkin ke arah penyebaran dakwah di Malaysia.
Lihat sahaja kenyataan Ketua Parlimen
DAP, Lim Kit Siang, ketika mengalu-alukan kemasukan Sheikh Omar ke dalam
DAP pada 20 Jun 2015: “Saya menerima dengan senang hati kemasukan
Sheikh Omar menyertai DAP. Sama ada pemuda Melayu atau bukan Melayu
tanpa mengira kaum, agama dan tempat, yang berkongsi prinsip bersama DAP
dan objektif untuk mencapai impian Malaysia.”
Lihat pula pengakuan Sheikh Omar ke atas
keakuran beliau terhadap ingatan Lim Kit Siang melalui kenyataan beliau
ini: “Menurut perlembagaan parti, DAP merupakan sebuah parti Sekular...
Bagi DAP, urusan beragama adalah bersabit seorang hamba dengan
Tuhannya.”
Nilailah pula pemahaman Islam Sheikh
Omar melalui kenyataan beliau ini: “Usaha DAP seperti melawan
penindasan, menentang perkauman sempit, membetulkan urus tadbir serta
ekonomi negara, melawan ketirisan dan rasuah dan sebagainya perlu
diteruskan. Itulah Islam!”
Bagaimana agaknya orang yang mempunyai
pemahaman Islam yang bercanggah dengan pemahaman Islam YADIM, dan yang
berada dalam sebuah parti yang tujuan penubuhannya terang-terang
bercanggah dengan tujuan penubuhan YADIM, boleh dilantik sebagai anggota
lembaga pemegang amanah YADIM?
Tiada ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.