https://critoxium.com/shop/

Terkini

Kita memilih satu jalur berfikir sahaja.

Oleh Fathi Aris Omar

Apa beza simbol "salib" di pangsapuri di Jelutong, George Town dengan isyarat jari tengah ustaz dari Kedah atau perkataan "pa*tat"?

Ketiga-tiganya subjektif, oleh itu kita pilih mengikut selera dan kepentingan kita. Kadang-kadang kita "double standard" dalam menilai hal-hal subjektif ini. 

Misalnya mereka yang anti-ustaz dari Kedah itu, yang dikatakan menunjukkan isyarat lucah, tidak menganggap simbol di bangunan di Pulau Pinang itu lambang "salib".

Mereka menganggap orang yang nampak begitu "terlalu sensitif" pada huruf T gergasi. Kalau lihat huruf t, pastilah orang itu membayangkan simbol Kristian.

Tetapi mereka yang sama tidak pula mempersoalkan, kenapa simbol jari tengah boleh menjadi lucah? Bukankah ia hanya jari semata-mata?

Seperti juga simbol "salib" tersebut, bukankah ia hanya susunan lampu dalam reka bentuk lambang ala Kristian?

[Nota: pemaju menjelaskan lampu itu membawa maksud lain, 王 atau "wang" (raja) atau "ong" (nasib baik). Tetapi PAS mendakwa ia projek Kristian yang jelas]

Begitu juga kesialan nombor 4 atau kelucahan kata "pa*tat. Atau tafsiran berbeza antara "tuak" dan "nira".

Nombor 4 akan dirasakan sial kepada mereka yang faham begitu tetapi mereka yang di luar kefahaman itu tidak akan nampak begitu. Begitu juga nombor 8 yang dikaitkan dengan tuah.

Pa*tat bagi orang Terengganu tidak lucah sama sekali. Istilah ini dituturkan antara ibu bapa dengan anak-anak dalam nada biasa, tanpa rasa geli atau keji. Pa*tat hanya bermaksud bawah atau dasar sesuatu objek.

Semuanya ini proses pemaknaan yang berubah-ubah dan boleh dipolitikkan. Oleh kerana makna masuk dalam wilayah politik, kita akan memilih mengikut selera politik kita.

Tetapi kita tidak sedar, atau pura-pura tidak sedar, maka kita memilih satu jalur berfikir sahaja.

Jadi, akhir kata, simbol di bangunan itu "salib" atau bukan "salib"? Tanyalah diri sendiri, jari tengah dan pa*tat itu lucah atau tidak?

Di waktu mana ia lucah, di waktu mana ia tidak lucah? Di waktu mana ia simbol agama, di waktu mana ia bukan simbol agama? Di waktu mana ia sial, di waktu mana ia tidak sial?

Hakikatnya, dalam kehidupan ini, walau kita mengubah makna menjadi 3A atau 3B, aras empat sesebuah bangunan akan kekal sebagai aras empat.

Kita tidak mampu membina tingkat 5 terapung-apung di udara!

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.