Lantik ahli politik kontroversi undang masalah
Oleh IR HJ KHAIRIL NIZAM KHIRUDIN
PELANTIKAN ahli-ahli
politik daripada parti komponen PH diletakkan untuk menerajui institusi
atau badan penting negara dan awam dilihat bukan lagi langkah intervensi
untuk kepentingan sosial dan mencapai tujuan organisasi. Sebaliknya
pelantikan sepenuhnya melibatkan kalangan ahli politik di kedudukan
berkaitan jelas menunjukkan perlumbaan rakus membolot jawatan antara
parti-parti berkenaan.
Sikap ‘kebulur’ jawatan dengan
memfaraidkan kedudukan yang ada ternyata bersifat untuk memenuhi
keperluan dan kepentingan parti. Natijahnya, diyakini usaha ke arah
menggerakkan urus tadbir yang profesional dan mencapai matlamat
penubuhan institusi berkenaan akan terkandas. Hanya akan membiakkan lagi
kronisme, nepotisme dan kleptokrasi yang ditentang kembali berulang.
Harapan rakyat bagaikan musnah melihat
segala janji dan komitmen dinyatakan dahulu semuanya adalah kepalsuan
dan penipuan. Hasrat melihat institusi atau badan berkenaan bebas dari
pengaruh politik, berintegriti dan diyakini awam, profesional dan
cemerlang, kini hanya tinggal kenangan. Sedangkan, ianya dinyatakan
sendiri oleh pemimpin-pemimpin yang sedang memegang tampuk kuasa ketika
ini.
Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad
ketika di Langkawi pada November tahun lalu menjamin bahawa kerajaan
tidak akan melantik penyokong parti memegang jawatan dalam jabatan atau
institusi di bawahnya. Sebaliknya tegas beliau, mahukan ia dianggotai
kalangan mereka yang terlatih dan cekap bagi mengembalikan pentadbiran
terbaik dan menjamin masa hadapan.
Nada seumpama pernah disuarakan juga
Menteri Belia dan Sukan, Syed Sadiq Syed Abd Rahman dan Naib Presiden
PKR, Rafizi Ramli yang menolak lantikan ahli politik ke jawatan
berkaitan sukan dan Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC). Namun kini,
pelantikan yang sedang dilakukan mencabuli pendirian sendiri dan hasrat
banyak pihak khususnya rakyat atas impian perubahan diharapkan.
Sekali gus, reformasi institusi yang
dilaungkan PH hanyalah retorik manis memperdayakan rakyat. Malang lagi,
bukan sahaja dilantik dalam kalangan ahli politik, tetapi juga mereka
yang terkenal dengan kontroversi. Paling ketara adalah kelayakan
profesionalisme dan kepakaran individu yang dilantik itu. Hampir pasti,
mereka itu sebenarnya dilihat sebagai proksi mewakili motif parti
masing-masing.
Demikian itu, campur tangan secara
eksklusif bakal berlaku. Paling dirisaukan terkini atas Yayasan Dakwah
Islamiah Malaysia (YADIM) yang menyaksikan ‘penguasaan’ langsung ahli
politik PAN dan DAP, sedangkan ia institusi berkaitan kepentingan Islam.
Apakah kredibiliti DAP terhadap hal ehwal Islam di negara ini,
sedangkan PAN pula bukan lagi rahsia adalah ‘khadam’ yang mengikut
telunjuknya.
Apakah tiada lagi kalangan pakar dalam
negara ini sesuai dilantik di kedudukan berkenaan? Atau inilah petunjuk
bahawa PH mengenepikan mereka yang berkelayakan? Atau sebenarnya PH
gagal mendapat kepercayaan golongan tersebut? Mungkin inilah sebabnya
dapat dilihat berlaku peletakan jawatan ramai profesional dan pakar dari
institusi atau badan berkaitan sejak PH memerintah.
“Terus Mara”
IR HJ KHAIRIL NIZAM KHIRUDIN
Timbalan Ketua Pemuda
Dewan Pemuda PAS Malaysia
Tiada ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.