https://critoxium.com/shop/

Terkini

Penyakit "Malaysia baharu"

Oleh Haris Zalkapli

Bila diperhati, sangat mudah kelihatan satu sikap kumpulan yang merasakan mereka sudah menang dan menguasai, dan sudah tidak memandang berat keperluan menghormati orang lain, malah mengabaikan dan melanggar standard tadbir urus yang dilaungkan mereka sendiri. Sikap ini termasuk sekali kegembiraan berlebihan, "euphoria," dan juga "hubris" yang tidak dapat ditahan lagi.

Sebahagian pendirian yang terzahir ini berpunca daripada mentaliti dan dibina dan dikukuhkan sendiri ke atas diri masing-masing, sehingga pembawaan budaya politik yang gasar ini tertonjol dengan tidak terkawal. Sikap ditunjukkan ini juga mendedahkan sifat perkauman dan kompleks superiority yang telah lama diterima tanpa dipersoalkan.

Ini jelas diperhatikan melalui kecenderungan satu golongan besar kaum bukan Melayu (dan Melayu juga) yang secara nominalnya mengikut ideologi liberal Barat, walaupun jelas ikutan ini berjalan dengan selektif menurut syahwat dan keperluan politik semasa menghadapi kumpulan masyarakat konservatif.

Golongan ini kelihatan mewarisi sikap penjajah, kolonialis yang melihat orang Melayu dan golongan konservatif dari sudut yang penuh masalah. Mereka sangat cenderung untuk mempermasalahkan hal-hal orang Melayu dan Muslim, melihatnya sebagai penyakit yang perlu dirawat (problematizing dan pathologizing).

Dalam media tertentu, mudah ditemukan tulisan-tulisan bertema "kenapa Melayu jadi begini?," "kenapa Melayu sukar berubah?," dan pelbagai lagi persoalan lain, yang sebenarnya tidak kurang penting untuk disoal pada kaum bukan Melayu.

Ini boleh dilihat dengan jelas melalui banyak isu yang dibingkai sebagai masalah dikait dengan "kemunduran" dan "hambatan agama" orang Melayu Muslim, seperti perkahwinan di bawah umur, masalah sekolah tahfiz, hal ehwal halal dan malah sebarang usaha penghayatan agama oleh pihak konservatif.

Apa yang dapat diperhatikan ialah semua hal orang Melayu dan berkait Islam dilihat melalui perspektif yang menghina dan merendahkan (disdain dan derision). Kenyataan-kenyataan orang bukan Melayu termasuk pemimpin parti-parti politik yang mengaku mendukung "Malaysia baharu" sudah dengan terang menunjukkan sifat ini.

Maka tidak hairan respons dan reaksi orang Melayu seperti disaksikan sejak beberapa bulan lalu terzahir. Berdasarkan perkembangan semasa, terutama tekanan ke atas orang Melayu yang terus kuat, dijangka keadaan tidak akan reda dalam masa terdekat.

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.