Hal demikian ini kerana PH melihat kemenangan di Cameron Highlands akan menjadi titik tolak penting untuk menguasai Pahang dalam pilihan raya umum akan datang manakala BN pula yang terus mendapat sokongan Pas ingin membuktikan mereka sudah bangkit daripada kekalahan pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

BN pada kali ini melakukan satu transformasi mengejutkan apabila memilih individu yang tidak mewakili mana-mana parti komponen sebagai calon mereka. Tambahan pula Ramli Mohd. Nor turut dilihat calon sempurna yang heavyweight kerana di samping berlatar belakang bekas pegawai kanan polis, calon ini juga merupakan anak tempatan dan lebih signifikan apabila datangnya dari suku kaum Orang Asli.

Untuk rekod, ini kali pertama wakil suku kaum Orang Asli diberikan kepercayaan untuk bertanding dalam kerusi Parlimen dan jika menang, beliau akan menjadi ahli Parlimen daripada masyarakat Orang Asli. Harus diingat, pengundi Cameron Highlands dalam kalangan masyarakat Orang Asli mewakili 22 peratus daripada seramai 32,048 pengundi keseluruhan dan peratusan ini bakal memainkan peranan besar dalam menentukan calon yang menang kelak.

Sengit

Jadi calon PH yang juga bekas calon kawasan Parlimen itu pada PRU-14, M. Manogaran bakal berhadapan dengan cabaran yang besar untuk melakar sejarah baharu di Cameron Highlands. Walaupun beliau pada kali ini mewakili pihak Kerajaan Persekutuan berbanding status pembangkang ketika PRU-14, namun laluannya tetap berliku dan tidak boleh terlalu yakin akan menang dengan mudah. Satu lagi rekod juga kelihatan tidak begitu memihak kepada PH apabila Pas sekali lagi memberi laluan kepada BN dan menyokong calon BN tersebut.

Saingan lima penjuru ketika PRU-14 dengan Pas turut bertanding menyaksikan berlaku perpecahan undi yang sangat ketara antara PH, BN dan juga Pas di mana calon BN, Datuk C. Sivarraajh hanya menang dengan majoriti 597 undi. Maka undi penyokong Pas kali ini turut dilihat faktor yang cukup penting.

Jadi, sekali lagi pertembungan BN-PH ini menarik perhatian khalayak untuk melihat apakah kesudahannya kelak. Bagi para penganalisis politik, calon mana yang menang tidak menjadi isu utama yang menjadi daya tarikan. Hal ini kerana kalau PH kalah sekalipun tidak akan menjejaskan status sebagai kerajaan yang memerintah, begitu juga jika BN berjaya mengekalkan kerusi tradisi ini pun tidaklah membawa sebarang impak besar sehingga mampu menggugat kedudukan PH di Parlimen. Jadi yang menjadi perhatian dan bakal menarik tumpuan semua ialah, Cameron Highlands dilihat platform terbaik untuk menguji populariti dan penerimaan rakyat terhadap parti masing-masing.

Bulan madu

Setelah hampir lapan bulan membentuk kerajaan, PH sepatutnya mengambil peluang ini untuk menilai sejauh mana masyarakat menerima corak pemerintahan mereka. Hal ini penting kerana kita percaya tempoh berbulan madu meraih kejayaan membentuk Kerajaan Persekutuan buat pertama kali setelah menumbangkan BN sudah berakhir. Ini adalah masa untuk PH bekerja keras membina semula rakyat dan negara. Kita perlu terima kenyataan betapa PRU-14 menyebabkan rakyat berpecah belah mengikut ideologi politik masing-masing dengan lebih ketara. Ini ditambah dengan pelbagai isu kontroversi dan sensitif yang telah berlaku sehingga kelihatan menggores hati dan perasaan orang Melayu dan juga umat Islam. Provokasi demi provokasi yang dilakukan oleh pihak tidak bertanggungjawab semakin membimbangkan. Malah keadaan ekonomi global dan juga negara yang masih bergelora dilihat mengeruhkan lagi keadaan.

Jadi, PH perlu menggunakan Cameron Highlands sebagai platform untuk menerangkan kepada rakyat tentang hala tuju dan masa depan yang dijanjikan bukan sahaja untuk Cameron Highlands tetapi untuk keseluruhan rakyat Malaysia. Di samping itu, ini juga masa terbaik untuk PH melakukan perubahan yang besar di kawasan Parlimen ini yang sering dihantui dengan pelbagai masalah setempat seperti isu kesesakan lalu lintas, isu alam sekitar, masalah golongan peneroka dan petani serta kebajikan masyarakat Orang Asli. Sebagai parti kerajaan, PH sepatutnya menggunakan peluang ini untuk menyelesaikan isu-isu tersebut yang membelenggu masyarakat setempat sekian lama. Walaupun kerajaan negeri masih di bawah BN tetapi sebagai Kerajaan Persekutuan, PH boleh memainkan peranan yang lebih besar.

50:50

Bagi BN pula, Cameron Highlands menyediakan satu lagi platform terbaik untuk menilai penerimaan rakyat selepas PRU-14 tempoh hari. Ini masanya BN membuktikan bahawa mereka benar-benar sudah berubah dan mula bangkit daripada kekalahan lepas. Pemilihan calon langsung dalam kalangan orang tempatan dengan latar belakang yang baik ini sepatutnya dimanipulasi sepenuhnya untuk meyakinkan para pengundi bahawa ini adalah BN versi baharu yang sudah bersedia untuk menghadapi PRU-15 kelak.

Harus diingat, seluruh rakyat Malaysia sedang memerhatikan apakah langkah-langkah transformasi yang sedang dilakukan oleh BN dan sejauh mana BN serius melakukan perubahan dan sejauh mana juga BN mahu kembali berkuasa dan membela nasib rakyat. Inilah cabaran sebenar BN di Cameron Highlands. Malah jangan lupa rakyat terutamanya orang Melayu juga sedang memerhati dan menilai status hubungan akrab BN-Pas yang dilihat semakin erat selepas PRU-14 lalu.

Walaupun calon PH mungkin kelihatan sebagai calon pilihan untuk menang terutamanya kerana mewakili pasukan kerajaan tetapi cabaran hebat daripada calon BN yang mewakili suku kaum Semai tidak boleh dipandang ringan. Jujurnya bagi penulis, PRK ini menjanjikan pertembungan buku dengan ruas yang cukup menarik di mana peluang BN dan juga PH tetap seimbang atau 50-50. Parti dan calon yang mampu memenangi hati para pengundi dengan manifesto dan perancangan yang dapat menyelesaikan masalah mereka pasti menjadi pilihan utama pengundi.

Justeru, semua calon yang bertanding wajar menggunakan tempoh kempen yang ada untuk mendekati semua pengundi dan menerangkan perancangan masing-masing. Kita juga berharap agar tidak lagi berlaku sebarang aktiviti tidak bermoral seperti rasuah dan sogokan. Bertandinglah secara gentleman. Kalah menang adalah adat pertandingan dan biar pengundi membuat pilihan tanpa sebarang paksaan dan terimalah apa jua keputusannya kelak dengan hati yang terbuka.

PENULIS ialah Timbalan Pendaftar Fakulti Kejuruteraan Universiti Putra Malaysia (UPM).