https://critoxium.com/shop/

Terkini

Tok Batin bukan ‘kuli politik’, senang diugut, kata pemimpin Orang Asli

CAMERON HIGHLANDS: Pemimpin masyarakat Orang Asli Cameron Highland tampil mempertahankan Tok Batin yang diugut Ahli Dewan Negara Bob Manolan Mohd untuk menarik gaji mereka yang tidak menyokong Pakatan Harapan (PH) dalam pilihan raya kecil (PRK) kerusi Parlimen Cameron Highlands 26 Jan ini.

Bah Long Siang, pemimpin Orang Asli dari Sungai Ruil berkata, Tok Batin bukan “kuli politik” yang senang diugut supaya mengikut segala arahan mana-mana pemimpin politik.

Katanya, Tok Batin tidak dilantik menerusi lantikan politik, sebaliknya dipilih masyarakat Orang Asli mengikut kampung masing-masing.

“Benda macam itu, yang dikeluarkan oleh senator Bob Manolan bagi saya sebagai masyarakat Orang Asli, sama juga Tok Batin, amat mengecewakan kami.
“Sepatutnya beliau sebagai senator lebih faham selok-belok masyarakat Orang Asli ini macam mana. Tok Batin ini siapa yang lantik? Sebenarnya Tok Batin ini dilantik oleh masyarakat kampung, bukan atas lantikan politik. Bukan dilantik untuk ikut apa orang politik suruh.

“Bila beliau buat kenyataan macam itu, kami amat kecewa, sedih dan marah. Beliau sebagai senator tidak patut buat kenyataan seperti itu,” katanya

Katanya, kenyataan Manolan jelas menghina Tok Batin.

Katanya, ugutan yang dibuat Manolan lansung tidak memberi kesan kepada Tok Batin kerana mereka tidak mudah tunduk dengan desakan mana-mana ahli politik dan bersedia melepaskan jawatan.

“Kalau buat ugutan macam itu, Tok Batin ini bila-bila masa sahaja mereka boleh letak jawatan, setakat elaun RM700 hingga RM800 itu berapalah sangat, kerja lain boleh hidup juga. Tok Batin tidak ada elaun pun boleh hidup.

“Tok Batin tidak makan diugut. Pada pendapat saya rata-raya Tok Batin, kalau jawatan mereka ditarik atau tidak dapat gaji, mereka boleh letak jawatan. Tidak ada masalah,” katanya.

Manolan dilaporkan mengugut untuk memecat Tok Batin di Cameron Highlands yang tidak menyokong PH dalam PRK 26 Jan ini.

Bagaimanapun, Manolan kemudiannya menafikan membuat ugutan itu dengan berkata, beliau hanya memberitahu Tok Batin yang merupakan ketua Umno cawangan yang tidak mahu bekerjasama dengan kerajaan persekutuan supaya meletak jawatan.

Sementara itu, wakil persatuan Orang Asli pro Pakatan Harapan yang hanya mahu dikenali sebagai Karim berkata, tindakan Manolan itu kurang bijak dan seolah-olah masih merasakan diri sebagai pembangkang apabila bercakap mengikut emosi.

Katanya, pengundi tidak sepatutnya diugut kerana mengundi adalah hak individu.

“Kita ke arah menyuburkan demokrasi, pilihan untuk mengundi terpulang pada individu. Pendekatan lebih mesra perlu untuk menarik pengundi, oleh itu saya kurang bersetuju dengan kenyataan Manolan,” tambahnya.

“Sepatutnya pihak kerajaan sekarang lebih berhati-hati dalam mengeluarkan kenyataan kerana silap langkah ia akan dimanipulasi pihak lawan,” katanya sambil mendesak Manolan meminta maaf secara terbuka kepada semua Orang Asli di seluruh negara.”

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.