https://critoxium.com/shop/

Terkini

Umno perlu adaptasi saranan NACP

Baru-baru ini, kerajaan melancarkan Pelan Antirasuah Nasional (NACP) 2019-2023.
Antara lain, pelan itu bermatlamat untuk memperkukuhkan aspek integriti merentasi semua bidang di Malaysia, seterusnya menjadikan negara ini bebas daripada gejala rasuah pada satu hari nanti.

Pelan ini mencadangkan beberapa strategi berkaitan penerapan nilai-nilai integriti dan langkah-langkah penambahbaikan berkaitan pembanterasan gejala rasuah, dengan menjadikan politik sebagai salah satu daripada sektor utamanya.

Untuk itu, Umno sebagai sebuah parti politik paling lama dan paling besar dalam negara perlu menerima pelan ini dengan matang, jujur dan secara terbuka.

Umno perlu berjiwa besar untuk menerima seterusnya meneliti setiap cadangan serta langkah-langkah penambahbaikan yang dikemukakan dalam pelan ini, khususnya yang melibatkan sektor politik.

Beradaptasi pada pelan ini adalah peluang serta kesempatan terbaik Umno untuk mengubah tanggapan dan memperbetul persepsi umum terhadap nilai dan amalan selama ini.

Peluang ini juga sebenarnya wajar dimanfaatkan parti untuk seterusnya meyakinkan rakyat bahawa Umno kini dalam proses berubah dan bakal kembali tampil dengan wajah baru melalui penekanan kepada soal nilai, etika dan integriti sebagai naratif utama yang mendasari parti.

Oleh yang demikian, Pemuda Umno Pasir Gudang mencadangkan agar sebuah jawatankuasa kerja di peringkat pusat dan negeri ditubuhkan untuk mengadaptasi saranan-saranan yang terkandung dalam NACP tersebut.

Memandangkan Umno juga kini dalam proses mendapatkan maklum balas dan pandangan untuk meminda beberapa perkara dan fasal dalam perlembagaan parti, Pemuda Umno Pasir Gudang ingin mencadangkan agar saranan yang terkandung dalam NACP wajar diambil kira dan dijadikan sebahagian daripada inputnya.

Jawatankuasa Perlembagaan dan Peraturan Umno dipengerusikan oleh Naib Presiden Mohamed Khaled Nordin.

NOOR AZLEEN AMBROS ialah ketua Pemuda Umno Pasir Gudang.

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.