Yadim Akan Terus berkerjasama Dengan Semua Pihak
Acara penyerahan watikah pelantikan Ahli Lembaga Pemegang Amanah (ALPA) YADIM untuk sesi 2019 - 2020 yang ditandatangani oleh Perdana Menteri telah disempurnakan oleh Menteri di JPM (Hal Ehwal Agama) hari ini.
Dengan penyerahan watikah ini, pembentukan organisasi YADIM di semua peringkat telah lengkap.
YADIM akan terus mara untuk mendepani sebarang cabaran dakwah demi menjayakan gagasan Rahmatan Lil Alamin dalam kerangka maqasid syariah dan model Malaysia.
Menterjemahkan gagasan itu, YADIM komited untuk memastikan dakwah Islam terus subur dan Islam serta nilai-nilai murninya diterima menjadi pegangan hidup segenap lapisan masyarakat rakyat Malaysia.
Kerjasama yang sedia terjalin antara YADIM dengan semua pihak akan terus diperkasa dan ruang-ruang kerjasama baru akan terus diteroka bagi membolehkan misi dakwah YADIM terus melebar dan mengakar dalam masyarakat.
YADIM bersedia untuk bekerjasama dengan semua pihak, sama ada badan-badan NGO, badan-badan sukarela, agensi swasta, parti-parti politik dan orang perseorangan dalam apa jua bidang yang membuka dan menyuburkan ruang dan medan dakwah Islamiah.
Hal ini kerana YADIM sedar, tanpa kerjasama dengan semua pihak, medan dakwah YADIM akan terbatas dan matlamat dakwah YADIM tidak akan tercapai.
Semoga Allah senantiasa bersama YADIM dan membimbing semua warga YADIM; yang terdiri daripada ALPA, pengurusan tertinggi dan semua warganya untuk menyempurnakan tugas dakwah yang mulia ini.
Kepada Allah jua kami memohon hidayah dan inayah dalam menyempurnakan amanah besar ini.
ZOLKHARNAIN ABIDIN
Timbalan Yang Di Pertua YADIM
Tiada ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.