Antara hipokrit, kejujuran
Oleh
Orang yang hipokrit pula hidup dalam
kepura-puraan dan ada perbezaan karakter. Di luar sikapnya berbeza jika
dibandingkan di rumah. Di pejabat sikapnya lain-baik, peramah, suka
membantu, lemah-lembut tutur bicara, sopan dan suka membahagiakan orang.
Bagaimanapun di rumah iaitu ketika bersama keluarga sikapnya 100
peratus bertukar. Ibarat hujan dengan panas dan malam dengan siang.
Di
rumah dia menjadi garang, pemarah, kasar, suka membuat ahli keluarganya
stres, tidak bertanggungjawab, tidak mesra dan tidak penyayang. Ingatlah
sikap hipokrit tidak bagus dan tidak disukai orang. Bak kata peribahasa
Melayu umpama ‘talam dua muka’. Jadilah seorang yang jujur terutama
pada diri sendiri. Lebih baik kita tidak disukai atas faktor menjadi
diri yang sebenar daripada disukai disebabkan diri yang hipokrit.
Siapakah diri yang sebenar? Diri yang sebenar
ialah diri semasa kita kanak-kanak, ketika jiwa bersih. Fitrahnya semua
bayi dilahirkan dalam keadaan suci, ibarat kain putih. Namun suasana
yang dilaluinya sehingga dewasa telah mewarnai hidupnya, dengan pelbagai
warna kehidupan. Oleh itu jika kita tersilap membuat pilihan dalam
membuat keputusan dan tidak pandai mengawal minda, kita tidak akan
menjadi diri yang sebenar lagi.
Justeru, untuk menjadi diri yang sebenar,
asasnya ialah kejujuran. Kejujuran ukurannya pada hati. Hati yang bersih
akan menghasilkan tindakan yang bersih. Menurut Imam al-Ghazali; “Hati
manusia ibarat kolam. Segala anggota dan pancaindera yang zahir seperti
mata, telinga, lidah dan lain-lain umpama sungai. Apabila anggota dan
pancaindera terlibat dengan dosa, maka setiap dosa yang dilakukan itu
akan mengalir ke dalam hati. Maka akan rosak binasalah seluruh
kehidupan.”
Ini kerana kejujuran tidak mudah terpedaya
dan diperdaya, walaupun diumpankan dengan wang ringgit, emas permata,
pangkat mahupun harta di hadapan mata.
Kejujuran ialah perisai bagi orang yang
berpegang kepada prinsip hidup. Ertinya kita tidak mudah terpengaruh
dengan persekitaran dan tahu memilih yang baik atau buruk sepanjang
kehidupan. Kita yang mencorakkan bentuk kehidupan. Kebal daripada
pengaruh luaran biarpun kita berada dalam suasana itu.
Terpengaruh
Umpama ikan di lautan, tidak masin biarpun
sepanjang hayat berendam dalam air laut. Sebaliknya, bagi orang yang
‘menjual’ kejujurannya, dia mudah terpengaruh dan ‘gelap mata’ dengan
peluang yang terdedah di hadapan mata.
Orang begini dipanggil, orang yang kehidupan
berlaku ‘ke atas’ iaitu apa-apa yang dilihat, didengar dan dialaminya
dipercayai terus masuk ke dalam mindanya, tanpa tapisan untuk menolaknya
sekali gus mudah dipengaruhi. Jadilah dia seperti ikan di darat,
setelah digaramkannya maka masinlah ikan tersebut.
Tegasnya, sama ada kita seorang yang mudah
dipengaruhi oleh persekitaran atau yang mempengaruhi persekitaran,
bergantung kepada kejujuran diri, yang datang dari hati. Untuk tahu
siapa diri ini yang sebenar, nilailah akhlak kita sama ada baik atau
buruk.
Cermin diri untuk melihat kelemahan diri
sendiri, bukannya mengambil kanta pembesar dan halakan kepada orang lain
untuk melihat dan menilai mereka. Dengan kanta pembesar seseorang tidak
akan nampak diri yang sebenar dan kanta pembesar hanya menyerlahkan apa
yang hendak dilihat tentang orang lain sahaja. Tetapi, dengan melihat
diri di cermin, kita nampak diri sendiri dan boleh serlahkan segala
kekurangan.
Kejujuran perlu dibina melalui hati atau
dunia dalaman yang positif. Kaedahnya dengan cara mengawal lidah,
meningkatkan ketakwaan, memberi nasihat dan mendidik hati bersabar.
Seperti kata-kata Khalifah Umar al-Khatab; “Aku mengamati semua sahabat
dan tidak menemukan sahabat yang lebih baik daripada menjaga lidah. Aku
memikirkan tentang semua pakaian, tetapi tidak menemukan pakaian yang
lebih baik daripada takwa. Aku merenungkan tentang segala jenis amal
baik, namun tidak mendapat yang lebih baik daripada memberi nasihat
baik. Aku mencari segala bentuk rezeki, tetapi tidak menemukan rezeki
yang lebih baik daripada sabar.”
Maka jelaslah dalam kehidupan manusia ini,
apa-apa yang lahir daripada percakapan atau tulisan boleh menggambarkan
hati dan fikiran kita. Daripada hati dan fikiran yang baik akan lahir
kata-kata yang baik.
`Berani kerana benar’ itulah kata orang
tua-tua dahulu untuk berdiri di jambatan kejujuran. Berserahlah kepada
Allah. Seterusnya amalkanlah lima perkara ini. Pertama, hati mesti
lurus. Bagaimana Allah hendak menolong kita kalau hati tidak lurus
kepada-Nya.
Kedua, ibadah mesti bagus, kerana Allah cipta
kita sebagai hamba-Nya untuk beribadah. Ketiga, hidup harus lurus.
Hanya di jalan Allah kita akan mendapat takdir terbaik. Keempat, ikhtiar
harus serius. Jangan setengah jalan ketika berusaha sebaliknya
ikhtiarlah bersungguh. Kelima, taubat terus menerus kerana niat yang
salah, amal yang buruk boleh diperbaiki oleh taubat. Jom jaga diri, jaga
akidah, ibadah dan akhlak.
Tiada ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.