https://critoxium.com/shop/

Terkini

Perangi kafir, pelihara non-Muslim

Oleh

KATA kafir biasanya digunakan bagi menggambarkan sikap atau tindakan negatif. Seperti disebut di dalam Quran, kafir adalah “menutupi”.

Sesiapa yang menutupi kebenaran, mereka itulah orang-orang kafir. Digambarkan di dalam Quran sikap mereka seolah-seolah pekak, menutup mata, mengalih pandangan, mengunci kalam di atas jalan siratul mustaqim – merekalah kelompok yang dilaknat Tuhan.

Maka, melawan kekafiran dianggap sebagai iman. Sedangkan, menolak keimanan tidak bererti menolak Tuhan. Buktinya orang kafir tidak menolak Tuhan. Mereka cuma ingkar terhadap perintah beriman kepadaNya.

Janganlah memandang kafir melalui jalur doktrinisasi agama, kategori, kelompok, atau wacana. Jangan sempitkan makna kafir. Seperti yang selalu kita bayangkan bahawa kafir itu sinonim bagi agama selain Islam. Sedangkan kafir itu sikap, perbuatan. Bukan agama. Bukan ideologi.

Makna kafir tidak statik. Bahkan seringkali berubah-ubah mengikut kesesuaian konteks seperti digambarkan di dalam Quran.

Kafir merujuk kepada sikap. Tidak kira agama apa pun – Kristian, Buddha, Hindu. Termasuklah ajaran dibawa Muhammad – Islam.

Malangnya, umat Islam dipaku dengan makna kafir hasil doktrinisasi agama. Sekali gus mereka gagal memahami sejarah konteks dan audiens –  semantik terma kafir. Sebahagian umat terus membakulkan terma kafir kepada pengertian sempit iaitu kelompok di luar Islam. Jadinya, penganut agama lain dimuktamadkan sesat.

Itulah takrifan dalam pemikiran kebanyakan Muslim – cetek dan sempit. Konotasi kata kafir yang negatif dilemparkan semberono kepada non-Muslim.

Justeru, berpusu-pusu golongan Muslim mahu membimbing mereka yang dianggap sesat ke jalan lurus melalui medan dakwah – Islam.

Islam dimaktubkan sebagai satu-satunya agama yang diredaiNya, bukan Kristian, Hindu mahupun Buddha.

Surah Ali-Imran, ayat 19 dijadikan hujah. Terus noktah. Berpaksi itu, Islam tidak ada kompromi lagi. Tidak rahmah. Tiada toleransi. Tidak ada belas kasih. Mereka dilabel kafir – selama-lamanya dilaknat Tuhan.
Tafsiran sebegini mengikut pemikir Islam, Muhammad Abduh dalam Tafsir al-Manar adalah kesesatan yang mengundang ketegangan dan kegagalan toleransi serta nilai universal.

Bagi beliau, jalan yang lurus adalah jalan yang dipandu melalui keimanan sejati dan dibuktikan melalui amalan baik. Yang pasti, jalan itu mengakui keselamatan semua agama di dunia ini – itulah al-Islam.

Namun, kerana sikap eksklusif dan ego, kita buang semua itu. Malah, kita boikot barangan kafir. Jangan bekerjasama dengan kafir. Jangan ambil dana daripada kafir.

Pengetahuan dan ilmu dari kafir mesti diragui. Tidak ada sekelumit keredaan kafir terhadap muslim. Kafir sentiasa bermusuh dengan Islam – jangan bersangka baik dengan apa-apa pun yang namanya kafir.

Dalam politik, kita larang kafir memimpin negara. Berdosa melantik kafir sebagai ketua negara. Undi untuk kafir juga haram.

Jangan bertahaluf siyasi dengan puak kafir. Biar negara dipimpin oleh muslim korup asalkan bukan kafir. Sebagus mana, seamanah manapun, jika kafir tidak layak untuk memimpin.

Sikap itu akhirnya merebak kepada amalan kafir mengkafirkan sesama umat atas perbezaan ideologi dan politik.

Darah kafir jadi halal. Mereka wajib diperangi demi syiar Islam. Tanpa teragak-agak para jihadis mengebom gereja, atau lokasi tumpuan kafir. Jihad paling akbar dianggap memerangi kafir laknatullah.

Fenomena ini harus kita luruskan. Apakah benar kelompok seperti di atas wajar dipanggil kafir?

Buku agama salah tafsir

Umpama setitis biru nila ke dalam baldi kecil, air akan berubah warna. Pengetahuan setitis nila mencorak bentuk pemikiran beragama.

Selama-lamanya kita sesatkan kelompok non-Muslim. Itulah titis nila yang kita aliri dalam pemikiran. Namun, ia tidak sama jika sebaldi nila biru dicurah ke lautan, ia tidak memberi kesan sedikit pun pada warnanya dek luas dan dalamnya lautan.

Begitulah teologi mencorakkan jalur pemikiran umat dalam mentakrif makna kafir. Itulah yang umat percaya – kafir adalah non-Muslim. Begitulah dogma pemikiran umat. Akhirnya, kita cuma memberi imej Islam sebagai agama bengis, eksklusif dan ekstrem.

Ini tidak selari dengan tafsiran Quran. Tafsiran kafir sangat beragam. Buktinya, 525 kalimat kufr disebut dalam Quran. Tidak statik. Ada berbagai-bagai konteks dan tafsiran.

Akibat malas mengkaji Quran, kita longgokan makna kafir pada satu makna tunggal – penolakan ajaran Tuhan dalam kalangan non-muslim. Betapa kita gagal memahami terma kufr yang sebenar-benarnya.

Belum lagi soal pembahagian kata kafir – kafir zimmi, kafir mu’ahad, kafir harbi, kafir musta’man. Pembahagian itu pun tidak lagi relevan pada zaman ini.

Lihatlah silibus Pendidikan Islam dan buku-buku agama. Kita disumbat pula buku-buku dari tafsiran literal.

Para guru dan agamawan mudah berpuas hati dengan olahan makna kafir sekadar kelompok yang mensyirikkan Tuhan. Maka anak-anak kita diajar kefahaman sempit betapa kafir itu Kristian, Buddha, Hindu.

Siapakah kafir?

Tidak semua yang dilabel kafir adalah kelompok yang bertentangan dengan anutan Islam yang mengikut kefahaman hari ini. Pengertian kafir merujuk golongan yang membuat kemusnahan dan tidak tunduk kepada Allah swt. Ia boleh berlaku kepada penganut Islam, juga penganut Kristian, Yahudi, Buddha dan Hindu.

Umpamanya, seseorang beragama Islam tetapi melakukan kerosakan di dunia dan menindas kemanusiaan, ia juga disebut kafir. Begitu juga makna muslim. Bukan semata-mata merujuk orang yang dilahirkan beragama Islam sahaja.

Contohnya, seseorang beragama Buddha, Hindu atau Kristian yang berbuat kebaikan juga boleh dianggap muslim. Ironinya, masyarakat hari ini mudah menuduh golongan selain beragama Islam, amalan mereka tidak akan dihitung Allah swt. Ini nyata bertentangan dengan konsep keadilan dan tidak selari dengan ayat (2:62).

Kafir diambil dari kata kerja “kafara” atau “kufr”. Sebahagian tafsir menyebut “tidak bersyukur” (al-Baidawi hlm 50) dan makna “tidak percaya” sebagai bentuk pengingkaran dari konsep iman.

Sebagaimana kata kufr membawa makna “tidak bersyukur” tercatat pada surah al-Baqarah 2;153, Ibrahim 14;7,15 As-Syu’ara 26;57,58, Al-Naml 27;40, al-Ankabut 29;66, al-Rum 30;33, al-Zumar 39;7 (rujuk Farid Esack, The Qur’an, Liberation and Pluralism).

Bahkan istilah kufr dalam Quran tidak merujuk kepada agama melainkan perbuatan yang jauh dari nilai-nilai ajaran murni. Maka, kata kufr bukan semata-mata soal ketidakpercayaan, bahkan boleh jadi seseorang yang menyedari kenikmatan Tuhan tetapi tidak bersyukur.

Lebih teruk lagi melakukan kerosakan dan menindas kaum lemah (rujuk al-Nisa 4;168). Quran juga menggambarkan kafir bagi kelompok yang tidak peduli sosial – orang-orang yang mendukung ketidakadilan (rujuk al-Baqarah 2;254).

Malah, kelompok Mekah yang diselar kafir oleh Tuhan kerana kezaliman mereka. Tuhan mahukan masyarakat yang adil. Maka Tuhan mengutuk sikap kafir seperti penindasan, keangkuhan dan kesukuan.

Pakar tafsir Quran, Quraish Shihab menyebut kafir juga boleh jadi munafik, kerana kata dasarnya “menutupi”. Maka, menutup kebenaran adalah kafir. Malangnya pemahaman kita semata-mata terkeluar daripada Islam.

Maka datanglah larangan nabi, jangan mengkafirkan orang. Menurut baginda, siapa saja yang melakukan sesuatu yang jauh dari kebenaran walau muslim sekalipun, dihukum kafir.
 
Sesungguhnya terma kafir tidak hanya merujuk kepada non-Muslim tetapi tertakluk kepada semua agama. Justeru, perangilah sikap kafir sebaliknya sayangilah semua umat bersaudara termasuklah non-Muslim.

* Mohd Syazreen Abdullah adalah penulis buku Bercakap dengan Quran dan Membebaskan Allah Dari Islam. Beliau bekas penuntut pengajian Islam di Universiti Yarmouk, Jordan dan aktif menulis tentang isu-isu pemikiran agama dan budaya

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.