https://critoxium.com/shop/

Terkini

Madonna, ‘remaja telur’ derma untuk mangsa serangan masjid

OLEH ZAIM BADRUL HISHAM

SHAH ALAM,  Penyanyi popular, Madonna dan pelakon terkenal, Ben Stiller menyalurkan derma ribuan dolar Amerika Syarikat (USD) kepada tabung mangsa serangan di dua masjid di Christchurch.

Derma melalui dana The GoFundMe yang dibuka Guy Oseary, pengurus Madonna dan kumpulan rock U2 itu, menyasarkan 100,000 dolar New Zealand (RM280,000).

Semakan SelangorKini petang tadi menunjukkan ia berjaya mengutip NZD89,481 (RM250,500). Oseary sendiri menyumbangkan sebanyak USD18,000 (RM73,429).

Penyanyi wanita yang terkenal dengan lagu ‘Live a Virgin’ dan ‘Papa don’t Preach’ itu, menyumbang sebanyak NZD27,000 (RM75,600), lapor Stuff hari ini.

Portal New Zealand itu turut melaporkan remaja yang memecahkan telur di kepala Senator Fraser Anning ingin menderma sebahagian besar sumbangan kepadanya untuk mangsa serangan tersebut.

Will Connolly, 17, menarik perhatian dunia Sabtu lalu apabila tersebar video rakaman tindakannya terhadap senator Australia tersebut.

Selain tindakan berani remaja Australia, satu petisyen dalam talian mendesak Anning digugurkan daripada Parlimen mendapat sokongan ramai.

Semakan SelangorKini petang tadi turut mendapati lebih 1.2 juta orang menyokong kempen itu bagi membantah ucapannya yang menyalahkan umat Islam dan pendatang terhadap insiden itu.

Sementara itu, jenazah pertama daripada 50 mangsa tembakan sudah diserahkan kepada keluarganya.

Namun, keluarga terbabit tidak mahu menerimanya kerana menunggu satu lagi jenazah ahli keluarga yang turut terkorban.

Dalam kejadian menjelang solat Jumaat di masjid Al-Noor dan Linwood, puluhan orang ditembak, termasuk 31 lagi masih dirawat. Sembilan daripada mereka dalam keadaan kritikal.

Sabtu lalu, penembak tersebut Brenton Tarrant, 28, didakwa atas kes pembunuhan dan mungkin berdepan beberapa pertuduhan lain.

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.