https://critoxium.com/shop/

Terkini

MB Johor letak jawatan berkuatkuasa semalam, kata Dr M

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad mengumumkan Menteri Besar Johor, Osman Sapian sudah meletakkan jawatan, berkuatkuasa semalam.

Perkembangan ini menyusuli desas-desus mengenai penukaran menteri besar Johor yang mengiringi pertemuannya dengan Mahathir semalam.

“Semalam dia bagi 2 surat, 1 surat kepada saya dan 1 surat kepada Sultan Johor,” katanya pada sidang media di Parlimen hari ini.
Sebab-sebab peletakan jawatan itu akan diumumkan nanti. “Buat sementara, Johor tidak ada MB. Mungkin akan beri kepada pemangku.”

Sementara itu, Mahathir berkata kerajaan mempunyai 3 hingga 4 calon untuk mengisi jawatan menteri besar.

“Ikut perjanjian Pakatan Harapan, menteri besar Johor daripada PPBM,” katanya.

Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim hari ini mendedahkan arahan untuk menukar menteri besar sudah lama diberikan.

Tunku Ismail mengingatkan kuasa memilih menteri besar adalah hak mutlak sultan. Osman dipilih menjadi menteri besar Johor ke-16 pada 12 Mei 2018.

Mengulas lanjut, Dr Mahathir berkata buat masa ini, kerajaan belum tentukan pengganti Osman.
Beliau berkata surat peletakan jawatan kepada Sultan Johor akan diserahkan kepada Istana Johor nanti.
“Kita dimaklumkan Sultan Johor tak ada di sini, jadi kita tunggulah,” katanya.

Mengenai kenyataan-kenyataan daripada Tunku Ismail mengenai kerajaan, Mahathir berkata semua rakyat boleh mengkritik kerajaan selagi tidak melanggar undang-undang.

“Kalau buat kenyataan yang dianggap ‘sedition’ (hasutan), kita akan ambil tindakan. Tiada siapa terkecuali daripada tindakan undang-undang.

Perkara 1(2), Tabung Haji

Sementara itu, perdana menteri percaya sokongan 2/3 majoriti wakil-wakil rakyat di Parlimen untuk meminda Perkara 1(2) Perlembagaan Persekutuan boleh tercapai.

“Sekiranya ada yang tidak gembira, kita boleh runding,” katanya.

Sementara itu, perdana menteri berkata kerajaan akan membentangkan penjelasan mengenai masalah berkaitan Tabung Haji di Parlimen.

Katanya, kerajaan mahu masalah berkaitan TH dibahaskan di Parlimen.

“Di waktu ini, kita tahu ada masalah, tapi secara terperinci, kita belum dapat maklumat. Perlu tahu secara perinci apa yang berlaku dalam TH.”

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.