https://critoxium.com/shop/

Terkini

Setahun Islam rahmatan lil alamin, ke mana kita?



Oleh Mohd Syazreen Abdullah 
 
INDONESIA ada Islam Nusantara – Islam yang tampil dengan nilai-nilai tradisi budaya dan adat istiadat di tanah air, mengedepankan jalan moderat dan tidak ekstrem – menampilkan cara hidup sederhana dan boleh berdampingan damai dengan penganut agama lain.

Islam Nusantara menyembah baik demokrasi tanpa mendiskriminasi kelompok minoriti. Jelas seperti yang disebut sarjana Islam Azyurmardi Azra, Islam melalui proses peribumisasi sehingga Islam menjadi embedded (tertanam) dalam budaya Indonesia – membentuk sistem sosial, lembaga pendidikan literasi serta melebur dengan tradisi dan budaya.

Wacana itu dirintis bekas presiden Abdurrahman Wahid (1980) sebagai peribumisasi Islam – ajaran melalui syariat dan tasawuf, mengembangkan Islam rahmah, dan membudayakan toleransi.
Meskipun begitu, Islam Nusantara bukan sempurna. Masih boleh dikritik tetapi keindahannya tampak tertegak melalui pendekatan toleransi budaya dan fikah kontekstual. Bukan doktrin kaku dan keras. Wajah Islamnya menghormati budaya beragam dan tidak memberangus budaya.

Tanpa menafikan tentangan kepekatan Islam Arab, eksklusif dan ektremis, sebaliknya Islam Nusantara lebih jelas memperjuangkan model rahmatan lil alamin – memperaga bentuk wacana yang lebih khusus di tengah-tengah demokrasi sosial dan budaya – melentur Islam tradisi dan kebudayaan.

Tidak kurang hebat Malaysia. Ada Islam rahmatan lil alamin. Walau setahun usianya, ia menonjolkan wajah Islam rahmah terhadap semua lapisan masyarakat — pendekatan rahmah tanpa mengira agama, kaum dan budaya. Sebaliknya ia menolak wacana perkauman dan membanteras korupsi.

Ironinya, Islam Rahmatan lil alamin masih gagal menampakkan wacana konkrit dan meyakinkan kelompok majoriti – Melayu Islam. Wacana rahmatan lil alamin abstrak dan umum. Tidak khusus seperti model Islam Nusantara. Sedangkan umat memerlukan wacana kritis – wacana rahmah.

Kerana Islam rahmatan lil alamin ala Mujahid dibentuk dari atas iaitu politik. Sebaliknya, intipati Islam Nusantara mengakar dari hasil kekuatan budaya dan tradisi keilmuan (ajaran rahmah dari tradisi melalui lembaga pendidikan seperti pesantren).

Justeru wacana dari atas sukar meraih kesempurnaan tanpa terlepas dari persepsi dan politik, yang kadang kala memakan diri.

Contohnya di Malaysia, ukuran kejayaan menteri agama diukur dari prestasi mengikut selera pemikiran majoriti yang tebal dengan Islam sempit oleh kerajaan Barisan Nasional. Justeru, lawan LGBT, liberalis, pluralisme dan DAP dianggap kejayaan terhadap agama Islam.

Ironinya, prestasi Islam jadi mundur dan lemah andai melawan rasuah, membanteras korupsi dan mengangkat keadilan. Inilah cabaran setahun kerajaan Pakatan Harapan dalam mengelola urusan keagamaan.

Akibat kering wacana, akhirnya Islam Rahmatan lil alamin tidak ubah seperti wacana pemanis bibir. Luarannya sedap meratib rahmah tetapi intipatinya kering. Tiada hala tuju. Kadangkala cukup keras membantai kelompok minoriti seperti Syiah dan LGBT. Cukup kontradik.

Sampai bila Menteri di Jabatan Perdana Menteri Mujahid Yusof harus mengikut rentak sebegini? Mengikuti rentak kejumudan Melayu Islam dek kebimbangan sokongan majoriti.

Taklid politik dan telunjuk majoriti
 
Setahun kerajaan Pakatan Harapan melalui kepemimpinan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad, untuk mewujudkan masyarakat Malaysia yang plural tanpa diskriminasi, rasis dan perkauman bukanlah mudah. Tentangan itu sekaligus menganggu tumpuan pembaikan ekonomi dan kebajikan negara – masalah rakyat. Namun kita alpa dibuai pembiusan agama dan kaum.

Akhirnya Melayu Islam memilih Islam rasis, Islam perkauman, Islam kedaulatan sebagai langkah memartabatkan syiar Islam.

Begitulah cabaran menafsirkan ajaran ‘’Islam rahmah”. Meskipun kerajaan berusaha menghapuskan ajaran sempit seperti diskriminasi bangsa, agama dan kaum melalui pengesahan ICERD dan Statut Rom, namun akhirnya Islam tetap dicop tidak selamat di bawah naungan Pakatan – Islam dibuli.

Begitulah lagak ketebalan sensitiviti kaum Melayu terhadap agama. Jangan kacau keagamaan dan kedaulatan Melayu Islam, pasti mereka melawan, turun demontrasi sebagai tanda cintakan Islam.

Ironi, mereka tidak ghairah melawan isu-isu keadilan dan korupsi rejim Najib Razak. Seolah-olah agama ala-Melayu Islam lebih besar dari korupsi – walhal agama menolak korupsi. Menurut mereka, jihad menjaga agama dari dinodai puak LGBT dan DAP lebih getir berbanding perjuangan melawan korupsi Najib.

Bagaimana Islam rahmah mahu tanamkan tafsiran nilai Islam yang melawan korupsi daripada kepentingan kaum?

Walhal tafsiran agama seperti itu bakal merosakkan kedamaian – membesar-besarkan kaum dari kezaliman rasuah. Islam Rahmatan lil alamin mampu memberi solusi pada masalah besar bangsa dan negara – Islam yang tampil dengan dinamika budaya dan keberagaman agama.

Malangnya Islam Rahmatan lil alamin rapuh dek terbawa-bawa dengan corak politik dan kehendak majoriti.

Akibatnya, gagasan Islam rahmah masih gagal meyakinkan kelompok majoriti tentang konsep Islam Rahmatan lil alamin sebagai antitesis atau tentangan terhadap kekeliruan terhadap pemikiran Islam Melayu –  pemikiran acuan rejim lama yang mengikat Islam dengan kaum (Melayu) tapi Islamnya mesti ikut Arab.

Justeru, menepis pemikiran adunan itu tidak sekadar melaungkan konsep rahmah sebaliknya membunuh pemikiran terror dengan menanam nilai seperti memartabat khazanah tradisi keilmuan dan kebudayaan.

Luaskan wacana
 
Islam Rahmatan lil alamin ditonjolkan oleh Mujahid terlalu umum. Tidak spesifik. Wacana kebebasan, kemanusian, hak asasi, keadilan, demokrasi, toleransi, bukan hanya dicorong elit agamawan atau diskusi-diskusi elit – kawasan bandar dan komuniti berpendidikan. Wacana itu harus mesra dalam setiap lapisan kelompok – gerakan literasi. Kegagalan wacana mengundang polemik perkauman dan agama.

Wacana rahmah harus tertumpu kepada kebebasan, keterbukaan dan kretiviti pada ruang wacana Rahmatan lil alamin yang bersifat inklusif – seni, sastera, muzik dan kebudayaan. Jangan tambah kejumudan umat dek taklid agama pada politikal Islam sahaja. Kerana sifat politik bagai kebinatangan, keras dan bengis telah mewarnai corak kononnya Islam. Politik Islam menyempitkan pemikiran Melayu Islam dek kejumudan gerakan seperti Aswaja, Wahabi, Pas, Isma yang terang-terang tidak mengambarkan konsep Rahmatan lil alamin.

Jadi apakah umat Melayu Islam harus menunggu sinar kegemilangan agama dengan bertaklid pada Islam Abim, Ikram dan Amanah? – gerakan Islam yang konon selari dengan pendekatan Islam yang mahu ditonjolkan oleh kerajaan Pakatan Harapan – Rahmatan lil alamin.

Jawapannya, tidak. Jangan percayakan gerakan Islam. Sifat rahmah tidak terbit dari rahim gerakan Islam acuan politik walau mereka meratib jargon Rahmatan lil alamin.

Kerana gerakan Islam semua sama. Menyarung jubah sama seperti jubah kaum konservatif. Bezanya tidak lagi sekadar jubah putih dan bercorak lama. Mereka sarung jubah bergaya kontemporari dengan disulami corak dan warna mengikut peredaran zaman. Namun jubah tetap jubah. Janganlah hipokrit.

Menukar jubah oren tidak sesekali mengubah panggilan jubah. Ia tetap jubah. Justeru Islam di Malaysia walau atas nama Rahmatan lil alamin sekalipun tidak benar-benar inklusif. Namun itulah kesempitan pilihan yang Mujahid ada. Sebagaimana umat Melayu Islam bergantung pada pengamalan agama berdasarkan corak politik – Islam Pas, Amanah, Isma, Ikram.

Kaya tradisi ilmu, Ulama bukan politikal
 
Langkah dinamika Islam tidak dapat diformulakan tanpa landasan ontologi dan epistemologi – Kajian akademik dan ritual keagamaan. Konsep rahmatan lil alamin perlu dibangunkan dengan asas disiplin seperti perbandingan sejarah, fikah kontekstual, antropologi, kajian perbandingan agama hingga dinamika siasah.

Islam Rahmatan lil alamin bukan sekadar cerita sirah tentang sikap rahmah nabi buat itu, buat begini. Hadis tentang rahmah kata itu dan ini. Quran sebut tentang rahmah itu ini.

Sebaliknya diungkapkan oleh sarjana Michael Laffan, The Making Indonesian Islam bahawa terbentuknya dinamika Islam di Asia Tenggara hasil proses interaksi antara ulama dan silang budaya di samping jaringan sufisme – budaya ritual dan kajian keilmuan peradaban. Hasilnya, pengetahuan tentang rahmah terjadi dari interaksi kekayaan tradisi ilmu dan jaringan ulama tanah air.

Di Indonesia, kita tahu Islam Nusantara menyebarkan rahmatan lil alamin dengan langkah peribumisasi dan kebudayaan Islam – mesra kebudayaan dan tradisi. Namun di Malaysia bagaimana?

Malangnya rahmatan lil alamin dirampas oleh kelompok ikhwan yang kononnya rahmah. Sebaliknya konservatif yang tidak terperangkap pada perkauman dan agama – Amanah dan Ikram.

Maka jangan marah dan terkejut ala pejuang moderat andai Melayu Islam masih lagi menganut Islam perkauman (Melayu) dan mengamalkan praktik Islam arab. Jangan salahkan Umno akibat musibah pemikiran perkauman dan Islamisasi.

Maka antitesis terhadap konservatif bukanlah prinsip Islam Rahmatan lil alamin yang diperkuat oleh kelompok Amanah dan Ikram. Suara mereka bukan Rahmatan lil alamin sebaliknya Rahmatan lil Ikhwan.

Kelompok Amanah dan Ikram sendiri gagal merahmati kewujudan kelompok minoriti seperti LGBT atau Syiah. Mereka sekadar bertempik mahu memerdekakan kejumudan Islam ala-Isma dan PAS.
Di manakah wacana kritikal dari keilmuan anak muda Islam Amanah, Abim dan Ikram? Di manakah ijtihad ulama kelompok ini? Alih-alih sembang Maqasid Syariah bertenggek pada wacana tokoh yang di-import atau dialog antara agama.

Maka jelaslah bahawa rahmatan lil alamin ala Mujahid sebenarnya kabur. Dibayangi oleh wajah gerakan Islam yang gagal menampilkan wajah Islam rahmah dan moderat – inklusif. Carilah Islam atas kekayaan tradisi dan kebudayan kita. Jangan terperangkap dengan slogan Islam ikhwan – Islam Politik yang menjerumus Islamisasi.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi Denyut Reformasi
 
* Mohd Syazreen Abdullah adalah penulis buku Bercakap dengan Quran dan Membebaskan Allah Dari Islam. Beliau bekas penuntut pengajian Islam di Universiti Yarmouk, Jordan dan aktif menulis tentang isu-isu pemikiran agama dan budaya.

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.