Belajar jawi tidak merugikan - Swee Tin
KUALA LUMPUR 2
Ogos - Sasterawan dan pejuang bahasa berbangsa Cina, Dr. Lim Swee Tin
tidak melihat sebarang masalah untuk memperkenalkan tulisan khat dan
jawi dalam buku teks sekolah.
Jelasnya, cadangan itu tidak merugikan sesiapa
dan malah membolehkan murid mendalami bentuk penulisan warisan bangsa
selain tulisan jawi sendiri mempunyai nilai ekonomi yang tinggi.
“Sokonglah Kementerian Pendidikan kita. Jawi di sekolah tidak menjejaskan apa-apa, tidak merugikan siapa-siapa.
“Anak-anak
kita pasti seronok dapat mempelajari, juga menguasai warisan bangsa
ini. Sejak lama dahulu saya berpendirian adalah merugikan setelah kita
tidak lagi mengajarkan jawi di sekolah,” katanya dalam akaun Facebook
milik beliau hari ini.
Kementerian
Pendidikan menerusi kenyataan pada minggu lalu menjelaskan pengenalan
tulisan khat adalah bagi memupuk gaya penulisan yang indah dan
menegaskan perkara itu tidak berkaitan dengan tulisan jawi dan pelajar
tidak dinilai di dalam peperiksaan.
Bagaimanapun
cadangan itu mendapat tentangan pertubuhan pendidikan mewakili kaum
Cina serta bantahan beberapa ahli politik khususnya DAP.
Namun bagi Swee Tin, memperkenalkan tulisan jawi di sekolah menguntungkan banyak pihak.
“Sebelum
mengenali rumi, apakah bentuk tulisan yang kita guna? Beratus tahun
jawi menadi dalam peradaban, budaya dan segar di alam Melayu.” katanya.
Tambah beliau jawi sangat indah dan tidak perlu diperlekehkan.
“Ia
hanyalah bentuk tulisan. Terlalu banyak khazanah keilmuan bangsa kita
dikembangkan dahulu melalui tulisan ini. Puluhan ribu naskhah manuskrip
kita yang berselerak di serata dunia itu dalam tulisan jawi.
“Kita perlu mengenalinya. Jawi masih punyai nilai ekonomi yang tinggi. Ia juga identiti nasional kita,” katanya.-UTUSAN ONLINE




Tiada ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.