https://critoxium.com/shop/

Terkini

Larangan merokok: Alhamdulillah keputusan hakim memihak kepada KKM, kata Dr Dzulkefly

Kementerian Kesihatan (KKM) akan terus mempertahankan persekitaran sihat agar kesihatan rakyat terbela, lebih-lebih lagi keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini memihak kepada usaha kerajaan itu.

Menterinya, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad menegaskan, pihaknya akan mempertahankan polisi larangan merokok di tempat makan itu khususnya membabitkan kawasan awam.

 “Alhamdulillah! Larangan merokok di restoran. Keputusan kes permohonan semakan kehakiman yang mencabar perintah larangan merokok memihak kepada KKM dan kerajaan!
“KKM dan Menteri terus pertahankan persekitaran yang sihat agar kesihatan rakyat terbela.

“Tahniah & jutaan terima kasih kepada warga KKM dan semua NGO (badan bukan kerajaan) yang gigih dan konsisten pertahankan polisi larangan merokok di tempat makan awam,” katanya ketika menciap di Twitter miliknya, hari ini.

Terdahulu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini menolak permohonan semakan kehakiman tujuh individu yang mencabar keputusan KKM mewartakan semua tempat makan sebagai kawasan larangan merokok, bermula awal Januari lalu.

Hakim Datuk Seri Mariana Yahya membuat keputusan itu selepas meneliti semua dokumen dan hujah kedua-dua pihak dan beliau berpuas hati bahawa tindakan KKM tidak melanggar Perkara 5 dan 8 Perlembagaan Persekutuan.

Beliau memutuskan bahawa dakwaan perokok berhubung hak mereka terhakis kerana keputusan KKM mewartakan semua tempat makan sebagai kawasan larangan merokok adalah tidak berasas.

Pada 29 Januari lalu, tujuh individu memperoleh kebenaran di Mahkamah Tinggi untuk memulakan prosiding semakan kehakiman bagi mencabar keputusan KKM yang mewartakan semua tempat makan sebagai kawasan larangan merokok bermula awal Januari lalu.

Individu berkenaan ialah Mohd Hanizam Yunus, 52, Zulkifli Mohamad, 56, Mohd Laisani Dollah, 46, Mohd. Sufian Awaludin, 35, Ridzuan Muhammad Noor, 52, Mohd Yazid Mohd Yunus, 48, dan Yuri Azhar Abdollah, 39.

Dalam permohonan kebenaran difailkan pada 31 Disember 2018, tujuh perokok itu memulakan tindakan undang-undang bagi mencabar keputusan kerajaan menguatkuasakan larang merokok di semua premis makan

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.