https://critoxium.com/shop/

Terkini

‘Ponteng’ Dewan Rakyat: Timbalan speaker seru ahli Parlimen faham tanggungjawab

KUALA LUMPUR: Timbalan Speaker Dewan Rakyat Mohd Rashid Hasnon menggesa ahli Parlimen memahami peranan dan tanggungjawab sebagai wakil rakyat, susulan timbul isu ketidakhadiran mereka di Dewan Rakyat sebelum ini.

Rashid berkata, rakyat boleh mendapatkan maklumat mengenai ahli Parlimen yang tidak hadir ke Dewan Rakyat dengan menulis surat kepada pihaknya, namun berkata tidak wajar mendedahkan nama-nama berkenaan secara umum.

“Untuk peringkat kami, kami boleh dapat nama itu tetapi tidak sesuai untuk kami sebarkan atau pamerkan nama-nama mereka. Untuk pihak yang hendak tahu, boleh jumpa dengan pihak pengurusan Dewan Rakyat.

“Mereka (rakyat) boleh menulis terus kepada kami tetapi kami akan maklumkan kepada ahli-ahli Parlimen juga yang namanya dipilih, sama ada kehadiran mereka baik atau tidak,” katanya sewaktu ditemui pemberita di Parlimen, hari ini.
Terdahulu, pembangkang mencadangkan Dewan Rakyat dibubarkan susulan kehadiran mengecewakan ahli Parlimen sepanjang persidangan.

Ketua pembangkang Ismail Sabri Yaakob, berkata pihaknya kecewa apabila Dewan Rakyat yang masih bersidang terpaksa dihentikan seketika susulan korum kehadiran tidak mencukupi.

Sekurang-kurangnya 26 ahli Parlimen mesti berada di dalam dewan setiap kali berlangsung sesi perbahasan atau mengikut aturan mesyuarat Dewan Rakyat.

Rashid bagaimanapun menafikan dakwaan sesetengah pihak bahawa ahli Parlimen kerajaan tidak hadir ke Parlimen, sebaliknya menjelaskan mereka ada di kawasan itu namun tidak masuk ke Dewan Rakyat.

“Sebenarnya mereka ada dalam kawasan Parlimen, tetapi cuma tidak berada di Dewan Rakyat, memang kuorum adalah 26 ahli Parlimen, jadi saya harap peringatan diberikan kepada semua ahli Parlimen.

“Bendahara Dewan Rakyat juga boleh membantu, mereka boleh kira. Jadi, kalau ada apa-apa yang kurang, nampak hanya ada 30 orang, speaker boleh secara sedar minta bendahara keluar dan panggil mereka untuk masuk,” katanya.

Rashid berkata, isu melibatkan kekurangan kuorum di Dewan Rakyat adalah perkara yang jarang berlaku, memandangkan ahli Parlimen turut boleh mendengar perbahasan di luar Dewan Rakyat.

“Jarang, banyak negara lain yang kuorum lebih tinggi daripada ini. Kita hanya 26, pihak Parlimen memang menyediakan pembesar suara di luar kawasan yang mana mereka boleh mendengar,” katanya.

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.