https://critoxium.com/shop/

Terkini

Amanah Kelantan Perlu DiGantung

Oleh Mohd Sayuti Omar

Pengurusan Parti Amanah Negara (Amanah) Kelantan kelam kabut, berkucar "lembe" menjadikan parti itu bergelora seperti laut China Selatan menjelang tengkujuh. Kedudukannya lebih teruk daripada Keadilan dan juga Bersatu.

Perebutan jawatan, tindih menindih, berpuak-puakan sampai hilang semangat ukhwah berlaku dalam setiap entiti parti itu. Dari peringkat kawasan, membawa kepada Pemuda kemudian membawa pula kepada Awan. Betina pun bergaduh juga? Kalaulah ada dewan ulama seperti Pam, mungkin ulama juga bergasak. 

Di tengah-tengah kemelut itu ada pula orang yang menarik hand break daripada berundur untuk terus memimpin. Inilah rasanya jadi punca masalah. Dahulu orang ini juga mahu seseorang lain memimpin Amanah tetapi sampai sekerat jalan ubah fikiran. Nampaknya itu adalah proposal sahaja untuk diri sendiri.

Kekecohan ini sudah parah sangat. Puncanya kerana nafsu semua tidak mematuhi peraturan dan pelembagaan parti. Pemimpin pula asalkan dilambung tinggi, diam tanpa mempedulikan.

Barang kali ini puaka diterima parti berkenaan yang merupakan parti serpihan daripada Pam. Umum tahu yang menubuhkan Amanah Kelantan adalah mereka yang mengkhianati Pam. Kerana tidak setuju dan gagal mencapai matlamatnya hendak jatuhkan Tok Dor Hadi sebagai presiden, mereka keluar daripada Pam, kemudian menubuhkan Amanah. Amanah Kelantan lahir di atas lendir dendam,
Kekemelutan Amanah Kelantan nampaknya sukar untuk dileraikan. Pemimpin Amanah pusat pula malu alah untuk campur tangan atas alasan orang Kelantan bijak berpolitik.

Jadi kerana tahyul dan teori karut itu dibiarkan sahaja Amanah Kelantan bergomol sesama sendiri. Makan colek sama-sama tetapi ada yang ludah dalam colek.

Apa lagi pemimpin atasan rasa terhibur dengan paluan kompang, pujian dan penghantaran pulut dan telur semangat oleh pemimpin Amanah. Jadi mereka jadi terhibur dengan cerita itu sampai lupa untuk melihat perjalanan parti. Meletakkan parti atas garis benar.

Amanah Kelantan boleh diselamatkan dan perlu dilakukan untuk jaga maruah Amanah. Caranya senang sahaja gantung Amanah Kelantan, atau setidak-tidaknya kawasan dan entiti yang bermasalah. Sementara ia dapat menyelesaikan permasalahan yang berlaku, selama digantung itu, Amanah kawasan berkenaan boleh ditadbirkan oleh Amanah Nasional.

Ataupun jika Amanah tidak ada peraturan dan undang-undang untuk menggantungkan parti, dicadangkan agar ahli-ahli dan penyokong Amanah Kelantan yang rasa mereka dipermainkan, tidak dihormati, ditipu dan tidak dihargai GANTUNG sahaja parti itu. Hari ini tidak sesuatu yang pelik kalau ahli yang menggantungkan parti, kerana itulah balasan terbaik parti yang bebal dalam pengurusan. Trims.

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.