https://critoxium.com/shop/

Terkini

Belanjawan Perak 2020 : Pas puji kerajaan Perak kerana prihatin dengan institusi agama"


Seorang wakil rakyat Pas berterima kasih kepada kerajaan Perak atas keprihatinan pentadbiran negeri terhadap institusi agama Islam, berdasarkan peruntukan yang disediakan untuk institusi berkenaan sebagaimana yang dibentangkan oleh Menteri Besar Perak Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu dalam Belanjawan Perak 2020, Jumaat lepas.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Gunung Semanggol Razman Zakaria berkata jumlah yang diumumkan itu mencatatkan peningkatan sekitar 20 peratus berbanding sebelum ini.

“Tidak tahulah apa naratif yang mahu dimainkan, tetapi saya mahu mengucapkan banyak-banyak terima kasih kerana memberi peruntukan yang agak lebih daripada sebelumnya,” katanya ketika membahas Belanjawan Perak 2020 pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (Dun)  papda Isnin.

Ketika pembentangan belanjawan itu pada Jumaat lepas, Ahmad Faizal mengumumkan RM3 juta diperuntukkan untuk sekolah agama rakyat, RM2 juta untuk sekolah tahfiz dan pondok swasta, RM3.3 juta bagi keselamatan sekolah tahfiz, dan RM22.2 juta untuk Sekolah Menengah Tahfiz Darul Ridzuan.

Beliau yang juga Pesuruhjaya Pas  Perak turut menyarankan agar kerajaan negeri membuat perancangan bagi memperkasa institusi-institusi tahfiz di negeri Perak, yang melibatkan peningkatan kualiti modal insan dalam pengurusan masjid, imam dan sebagainya.

Razman seterusnya turut mencadangkan agar institusi masjid bukan sahaja dijadikan sebagai tempat khusus untuk beribadah semata-mata, tetapi perlu diperluaskan dengan pengajian asas agama Islam termasuk pembelajaran al-Quran supaya umat Islam dapat memahami ajaran agama dengan lebih baik.

Beliau juga memuji kerajaan negeri yang memperkenalkan Program Bantuan Umrah dengan peruntukan RM5 juta yang akan memberi manfaat kepada 1,000 asnaf tahun depan.

“Kita ucapkan terima kasih atas keprihatinan kerajaan negeri sebab tidak pernah berlaku bagi hadiah orang pergi umrah. Terima kasih kerana bagi golongan asnaf menunaikan ibadat sunat,” katanya.– BERNAMA

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.