https://critoxium.com/shop/

Terkini

Cara kita beragama kadangkala menakutkan


Oleh Wan Ji Wan Hussin

 Saya bukan kalangan yang berminat dengan dunia artis. Berita berkenaan dengan artis, saya hanya ambil tahu "begitu-begitu" sahaja.

Namun, kalau berpuluh kali berita berkenaan seseorang artis melintas di dinding Facebook, terasa juga untuk mengambil tahu.

Contohnya, berita berkenaan perkahwinan seorang artis terkenal iaitu Mira Filzah. Terpaksa saya membaca berita tersebut, walaupun kadangkala saya berfikir, apa nilai tambah yang saya dapat dengan berita tersebut.

Baru-baru ini, seorang artis wanita berasal dari Sabah diberitakan meninggal dunia, ekoran kemalangan jalan raya. Berita tersebut beberapa kali melintas di dinding Facebook saya.

Rupa-rupanya, antara yang dibincangkan, apabila seorang muslimat memberi komen dalam Facebooknya dengan menyatakan bahawa artis tersebut dianggap seperti ahli neraka, kerana tidak pakai tudung.

Komen Facebook tersebut menjadi tular, sehingga menjadi perbincangan dalam kalangan peminat dunia hiburan.

Membaca berita tersebut, saya terfikir beberapa perkara. Antaranya, alangkah baiknya, jika individu yang memberi komen tersebut mendoakan agar Allah melimpahkan Rahmat-Nya kepada artis terbabit. Tidak ketinggalan juga mendoakan, agar Allah melimpahkan rahmat-Nya kepada kita juga. Ini kerana, penentuan kita layak ke syurga adalah rahmat dan kasih sayang Allah.

Antara lain yang saya terfikir juga, berapa ramai dari kalangan kita merasa berbangga dengan agama yang kita anuti sehingga kita angkuh. Dengan itu kita mula menjatuhkan hukum syurga dan neraka kepada orang, sedangkan penentuan nasib di akhirat, hak mutlak itu hanya pada tangan Allah yang maha penyayang.

Memang kita dituntut untuk menganut agama Islam. Tetapi, kita tidak pernah dituntut, malah dilarang untuk memandang hina kepada orang lain hanya kerana kita beragama Islam.

Memang kita dituntut untuk menunaikan ibadat. Tetapi, kita tidak dituntut, malah dilarang memandang hina kepada orang hanya kerana kita menunaikan solat.

Ulama-ulama dahulu pernah menjelaskan berkenaan dengan orang yang tertipu dengan ibadatnya sendiri. Ia dinamakan sebagai talbisul iblis.

Sesungguhnya syaitan itu amat licik dalam menipu manusia. Ketika manusia sedang beribadat pun, syaitan berusaha untuk mempengaruhi. Makanya, wujud muslim beribadat dalam keadaan riyak.

Dalam hadis, nabi pernah menjelaskan berkenaan orang yang sombong dengan sebab memakai serban. Dia memakai serban untuk melambangkan dia lebih beragama berbanding orang lain.

Orang sebegini dinyatakan oleh nabi: "Allah tidak akan melihat mukanya pada akhirat kelak."

Saya kira, kita tidak perlu menjadi Tuhan dalam menentukan nasib manusia di akhirat kelak. Ini kerana, kita sendiri tidak tahu, apakah kita selamat di akhirat nanti? Apatah lagi, dibimbangi orang yang kita tuduh neraka itu adalah ahli syurga, sedangkan kita pula sebagai ahli neraka. Minta berlindung dengan Allah.

Pernah tak kita fikir, bahawa Nabi ada bersabda: "Tidak masuk syurga orang yang dalam hatinya ada takabbur sebesar zarah".

Yang ada pada kita adalah, lakukan perintah Allah dan tinggal larangan-Nya, serta sentiasa berharap, agar Allah memberikan rahmat kepada kita semua.

Semoga kita semua dikurniakan rahmat dan kasih sayang-Nya kepada kita semua.


WAN JI WAN HUSSIN ialah seorang pendakwah dan penulis.

 

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.